Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) gesa Kementerian Pendidikan mansuh PBS dan menolak pelaksanaan e-Prestasi


Petikan daripada Sinar Harian 9 November 2013:

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang didapati  amat membebankan 400,000 guru di negara ini.

Presiden KPPK,  Hashim Adnan berkata, guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat. Beliau juga berkata, prestasi guru turut dinilai melalui PBS, dan sistem akses yang sering terganggu menyebabkan kebanyakan guru tidak cukup tidur kerana ingin memasukkan data bagi memastikan mereka diberi penilaian sempurna.

Justeru, beliau berkata, mesyuarat Exco KPPK baru-baru ini memutuskan untuk menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan sistem itu, yang diperkenal pada 2011.

"Sepatutnya PBS dilaksanakan di beberapa buah sekolah sebagai perintis untuk menilai keberkesanannya, dan bukan terus dilaksanakan di seluruh negara," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Presiden KPPK Tey Meng Seng dan Setiausaha Agung KPPK Lok Yim Pheng.

Beliau turut menyifatkan PBS sebagai sebuah kereta baharu yang kelihatan cantik namun pemandunya tidak boleh menggerakkan kenderaan itu kerana ketiadaan tayar.

Hashim berkata, KPPK juga menolak pelaksanaan E-Prestasi, yang sepatutnya dilaksana pada 2015 namun dipercepat ke tahun ini, bagi menilai prestasi guru kerana masih ramai yang kabur tentangnya.

E-Prestasi menimbulkan rungutan bukan sahaja dalam kalangan guru malah pengetua dan guru besar kerana mereka sering dipersalah jika sistem itu gagal menghantar laporan kepada kementerian.

"Sebaiknya sebelum melaksanakan apa jua sistem, keberkesanannya perlu diuji dan bukan menyalahkan guru apabila terdapat kegagalan," katanya.

Beliau juga berkata, KPPK bimbang pelaksanaan sistem yang menyukarkan akan menyebabkan guru tertekan sehingga memberi kesan negatif terhadap tugasan dan pelajar mereka. 



Terima Kasih

No comments:

Post a Comment