Sudut Pandang Muhyiddin Yassin [Buku]


Saya baru sahaja selesai membaca sebuah buku bertajuk Sudut Pandang Muhyiddin Yassin yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Agak menarik juga kerana ia dihasilkan menerusi wawancara dan dipersembahkan dalam bentuk soal jawab untuk memudahkan pembaca memahami isu berkaitan sistem pendidikan yang dibangkitkan dalam masyarakat dan cara kerajaan menanganinya.

Menerusi buku ini YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi jawapan serta pandangan ilmiah berkaitan dasar dan usaha kerajaan untuk membawa rakyat dan negara ke arah pembentukan negara maju menjelang tahun 2020, dengan asasnya dimulakan melalui Transformasi Pendidikan Negara.

✅Buku ini dijual pada harga RM40.00
✅285 halaman bercetak

Sinopsis Buku


Buku ini memaparkan 14 perkara dasar membabitkan transformasi dunia pendidikan di bawah teraju YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin sejak dipertanggungjawabkan menerajui Kementerian Pelajaran Malaysia bermula April 2009. Panas dengan isu, hangat dengan kontroversi, padat dengan pandangan dan sarat dengan harapan, buku ini menjawab segala persoalan yang dibangkitkan, pertikaian yang dilempar, kekeliruan yang mengaburi matlamat dan permasalahan yang hakikatnya sudah lama selesai. Pendek kata, buku ini adalah air kepada api, memadam segala ketidakpastian, sekali gus membina akar baru untuk sama-sama menjadi tunjang menyumbang kepada Negara.

Kandungan Buku

  1. Pendidikan Prasekolah
  2. Program Literasi dan Numerasi
  3. Tawaran Baru (Bai'ah)
  4. Sekolah Berprestasi Tinggi
  5. Sekolah Amanah
  6. Dasar 1Murid 1Sukan
  7. Sejarah Subjek Wajib Lulus SPM
  8. Penetapan Had 10 Mata Pelajaran dalam SPM
  9. Transformasi Pendidikan Vokasional
  10. Isu Novel Interlok
  11. Pemansuhan PPSMI dan Dasar MBMMBI
  12. Memartabat Bahasa Melayu
  13. Memantapkan Profesion Perguruan
  14. Penilaian Menyeluruh Sistem Pendidikan Negara 

PROGRAM LITERASI DAN NUMERASI (LINUS)


Di sini saya paparkan sebahagian dari wawancara YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Program LINUS.


📌Boleh dijelaskan serba sedikit mengenai Program LINUS Tan Sri?

Ia adalah satu program PEMULIHAN yang dilaksanakan bermula tahun 2010 untuk murid-murid normal yang menghadapi masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

Matlamat LINUS adalah untuk memastikan murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi selepas tempoh 3 tahun pendidikan peringkat rendah, sekaligus membolehkan pembelajaran tahun 4 diteruskan tanpa banyak kekangan.

📌Apakah ada sasaran khusus ditetapkan sebagai perlu dicapai pada setiap tahun?

Bagi kemahiran Literasi:

Tahun 1 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 500 perkataan dan ayat mudah.

Tahun 2 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 800 perkataan serta ayat mudah  menggunakan kata sendi "dan".

Tahun 3 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 1000 perkataan serta ayat mudah dengan kata sendi "dan" dalam satu perenggan.

📌Tidakkah sebelum ini telah ada beberapa program lain yang hampir sama seperti LINUS? Apakah rasionalnya Tan Sri? 

Memang telah banyak usaha dibuat bagi memperbaiki kemahiran murid dalam aspek 3M tapi sehingga kini, ia masih juga belum dapat diatasi sepenuhnya. Justeru itulah maka kerajaan berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan sejak awal dan seterusnya dipulihkan seawal tahap 1.

Mahu tidak mahu, suka tidak suka, perkara ini memerlukan perhatian dan komitmen yang amat serius. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini kerana murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M memang kita tahu akan berhadapan dengan risiko keciciran, sekaligus juga sukar memenuhi keperluan untuk melanjutkan pelajaran dan akan menjejaskan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan yang baik.

Program-program pemulihan sebelum ini tidak gagal tetapi masih belum dapat memenuhi kehendak NKRA yang ditetapkan. Program LINUS ini boleh disifatkan sebagai usaha pemurniaan semula.

 📌Apa impak jangka panjangnya jika Program LINUS ini juga kelak tidak berjaya?

Kesannya tidak akan memberi sebarang impak kepada guru, tetapi sebaliknya akan ditanggung oleh murid, terutama bila masuk ke tahun 4. Ini kerana sesi pembelajaran pada tahun 4 mengetengahkan mata pelajaran yang lebih mencabar. Apabila murid tiada kemahiran asas dan tidak cukup bersedia, mereka akan ketinggalan dan cenderung terdedah kepada pelbagai kesan negatif.

Murid yang tidak menguasai 3M akan mengalami situasi tidak minat belajar, kurang bijak menguruskan diri dan akhirnya mereka akan terpinggir terutama apabila pihak guru sendiri mula putus asa untuk membantu mereka.

📌Bagaimana sebenarnya murid yang tidak menguasai 3M ini boleh dibantu Tan Sri?

Hal ini boleh diurus jika ada kesungguhan dan komitmen serius daripada guru besar. Ini kerana mereka berperanan besar mengelakkan pengurusan sekolah bersikap lepas tangan terhadap murid-murid yang agak ketinggalan. Dalam hal ini, guru besar berperanan memastikan komitmen guru dipertingkat kerana kita semua perlu lebih prihatin membantu murid-murid tersebut. Saya yakin, jika guru besar proaktif, guru-gurunya pasti akan memberikan sokongan kuat untuk menjayakan matlamat LINUS.

 📌Sejauh mana seriusnya masalah tiada kemahiran 3M ini Tan Sri?

Bayangkan...pada tahun 2008 sahaja, 13% atau 54,000 murid tahun 1 dikenal pasti tidak boleh membaca dan menulis.

 📌Apakah struktur kelas berubah menerusi pelaksanaan LINUS?

Terdapat 3 model utama sebagai panduan untuk memudahkan pengurusan sekolah melaksanakan program ini secara lebih berkesan mengikut kesesuain sekolah, guru dan murid masing-masing.

Model pertama, jika kelas terhad, guru aliran perdana boleh berkongsi kelas dengan guru LINUS. Model kedua, dua kelas yang mempunyai murid pemulihan boleh diubah jadual waktu harian mereka bagi subjek BM dan Matematik supaya kedua-duanya dapat dipecahkan antara kelas perdana dan kelas LINUS. Model ketiga, ia membabitkan kumpulan murid yang kecil apabila kelas dipecahkan kepada tiga, murid arus perdana, Bahasa Melayu LINUS dan Matematik LINUS.


Kemahiran Bacaan Awal Bahasa Melayu Prasekolah [Buku]


Buku Kemahiran Awal Bacaan Bahasa Melayu Prasekolah diterbitkan oleh Penerbit USM pada tahun 2011 dan dikarang oleh Naimah Yusoff, Nor Hashimah Hashim dan Hashim Othman. Ia mengandungi 122 halaman bercetak hitam dan putih.

Buku ini memperkenalkan kaedah KVB iaitu Kaedah Kawalan Vokal Berstruktur dalam pengajaran kemahiran bacaan awal. Kaedah ini bersandarkan kepada dua teori utama iaitu Teori Behavioris dan Teori Kognitif.

Topik-topik dalam buku ini menyentuh tentang perkembangan bahasa kanak-kanak, kemahiran membaca pada peringkat bacaan awal dan pelaksanaan pengajaran kemahiran bacaan awal melalui pendekatan Belajar Melalui Bermain. Buku ini juga turut dilengkapi dengan contoh aplikasi pengajaran seperti Ujian Kesedian Membaca dan Ujian kemahiran Bacaan awal.

Bijak Mengeja Mahir Membaca [Buku]





Buku Bijak Mengeja Mahir Membaca ini merupakan sebahagian daripada set buku Siri  Pemulihan Khas yang diterbitkan oleh PTS Professional Publishing, 2007. Ia merupakan buku asas bacaan dan juga buku aktiviti yang mudah digunakan untuk menguasai kemahiran membaca. Ia sesuai untuk kegunaan murid  yang lemah kemahiran membaca tetapi telah mempunyai asas mengeja. Ia dijual pada harga RM14.00.

Buku ini ditulis oleh tiga orang penulis iaitu Jamaluddin bin Ahmad, Rosmiza binti Abdul Rahman & Mohd Yusof bin Saud yang berpengalaman luas sebagai guru pemulihan, JU Negeri untuk KIA2M dan pensyarah cemerlang. Isi kandungan buku ini boleh dilihat di SINI.

Buku ini saya terjumpa secara tidak sengaja di Perpustakaan Negara Malaysia di Bahagian Pinjaman Kanak-Kanak. Ke semua buku telah diconteng oleh peminjam-peminjam sebelumnya. Setakat hari ini  saya belum  temui buku ini di kedai buku yang saya kunjungi di sekitar Kuala Lumpur. Mungkin saya boleh membelinya secara atas talian (on-line).

Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas [Buku]

Buku Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas ini merupakan buku kedua yang ditulis oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad selepas buku Pengantar Pendidikan Khas.

Kedua-dua penulis buku ini merupakan pensyarah kursus Pendidikan Khas di Universiti Sains Malaysia (USM). Buku ini mempunyai 205 halaman hitam-putih dan diterbitkan oleh Penerbit USM pada tahun 2011. Buku ini dijual dengan harga anggaran RM47 - RM49.

Buku ini membawa pembaca mengenali dan memahami kaedah dan strategi pengajaran yang berkesan untuk mendidik kanak-kanak berkeperluan khas. Pelbagai kaedah pengajaran dan intervensi dikemukakan bagi mengatasi masalah menyebut, mengeja, membaca dan mengira. Huraian yang ringkas, padat dan mudah difahami dengan disertakan contoh-contoh pengajaran dan pembelajaran yang relevan pada masa kini.

📚 Tajuk Buku: Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
✅ Penulis: Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad
✅ Penerbit: Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
✅ Tahun: 2011
✅ 205 muka surat
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/509zvUUnVl
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/4pqZjBVQqk
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/4fX9WsW4Bj
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/3AiLk7bmES
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/30OvXocPZR

Kandungan Buku


Buku ini mempunyai 9 bab:

Bab 1 - Teori Pembelajaran
Bab 2 - Pengajaran Mnemonik
Bab 3 - Pengajaran Scaffolding
Bab 4 - Pengajaran Terus
Bab 5 - Pengajaran Eksplisit
Bab 6 - Pembelajaran Masteri
Bab 7- Intervensi Meningkatkan Kemahiran Ejaan Murid Berkeperluan Khas
Bab 8 - Intervensi Meningkatkan Kemahiran Bacaan Murid Berkeperluan Khas
Bab 9 - Intervensi Meningkatkan KemahiranMengira Murid Berkeperluan Khas




Kandungan buku



Pengantar Pendidikan Khas [Buku]



Siapakah yang dikategorikan sebagai murid-murid berkeperluan khas? Siapakah pula yang memerlukan pendidikan khas? Anda akan temui jawapannya di dalam buku ini.

Perbincangan, kupasan dan huraian secara mendalam bagi setiap kategori murid-murid istimewa diolah di dalam buku ini dengan menggunakan ayat yang mudah, berbantukan statistik dan ilustrasi untuk memudahkan pemahaman pembaca. Aspek etiologi, ciri, punca dan sebab berlaku atau lahirnya anak-anak istimewa ini juga dibincangkan.

Turut dibincangkan ialah identifikasi awal dan cadangan teknik atau pendekatan untuk berhadapan dengan golongan seumpama ini. Buku ini diolah mengikut sukatan pelajaran universiti dan maktab perguruan tempatan. Justeru ia sangat berguna sebagai bahan rujukan serta teks wajib bagi semua warga pendidik dan pensyarah yang berkecimpung dalam bidang pendidikan khas.

Walau bagaimanapun, pendekatan yang ringkas menjadikan buku ini juga sesuai dijadikan sebagai panduan ibu bapa dan harus dimiliki oleh semua golongan masyarakat di luar sana yang prihatin untuk lebih memahami golongan istimewa ini.

Buku Pengantar Pendidikan Khas ini ditulis oleh Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad dan diterbitkan oleh Penerbit USM Pulau Pinang pada tahun 2011. Buku ini dijual pada harga anggaran RM61 - RM69 dengan 305 halaman bercetak hitam dan putih.

📚 Tajuk Buku: Pengantar Pendidikan Khas
✅ Penulis: Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad
✅ Penerbit: Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
✅ Tahun: 2011
✅ 305 muka surat
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/VhaW7BIfx
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/lJvCDCgs
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/B4k7VCZLv
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/10dr729Of6


Kandungan Buku:


Bab 1 - Sejarah dan perkembangan Pendidikan Khas
Bab 2 - Murid-Murid Pemulihan Khas
Bab 3 - Murid-Murid Bermasalah Penglihatan
Bab 4 - Murid-Murid Bermasalah Pendengaran
Bab 5 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Disleksia)
Bab 6 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Hiperaktif - ADHD)
Bab 7 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Sindrown Down)
Bab 8 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Autisme)
Bab 9 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Kerencatan Mental)
Bab 10 - Ketidakupayaan Fizikal
Bab 11 - Murid Pintar Cerdas dan Berbakat


Kandungan buku

Walaupun buku ini hanya menyentuh satu bab sahaja berkaitan dengan Pemulihan Khas, namun  saya berpendapat bab-bab yang lain yang berkaitan dengan Pendidikan Khas juga berguna sebagai tambahan ilmu pengetahuan kepada guru Pemulihan Khas.

Sumber: 

Guru ibarat lilin, terima kasih cikgu!


Wartawan Sinar Harian
21 Mei 2012 
 

“MAK, besar nanti adik nak jadi cikgu, adik nak didik masyarakat jadi bijak,” antara ungkapan dituturkan semasa kecil yang masih terlekat di benak fikiran penulis. Guru, cikgu, teacher, sir atau lain-lain panggilan menghiasi kamus dunia pendidikan. Sejak dahulu lagi profesion perguruan dianggap kerjaya popular dan paling utama berbanding lain.

Ingat tak ungkapan ini wahai pembaca sekalian: “Lahirnya pendeta kerana guru, lahirnya imam kerana guru dan lahirnya perdana menteri kerana guru.” Semuanya guru. 

16 Mei pastinya menjadi detik indah kepada insan bergelar guru. Ucapan terima kasih cikgu akan dilontarkan murid-murid dan pelajar sebagai tanda penghargaan di atas segala pengorbanan mendidik yang amat dibutuhkan. 

Baca lagi - klik di sini: Guru ibarat lilin, terima kasih cikgu! - Rencana - Sinar Harian

Intervensi Meningkatkan Kemahiran Mengeja

Catatan Nota

Tulisan ini adalah sambungan daripada post sebelumnya iaitu punca-punca murid lemah mengeja.

Mengeja memerlukan seseorang mengingat dan mengetahui banyak perkataan. Sekiranya arahan membaca dan mengeja diasingkan, maka kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran membaca dan mengeja serentak.

Terdapat beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat digunakan oleh guru sebagai langkah intervensi untuk membantu murid mengatasi masalah dalam kemahiran mengeja.

1. Kaedah Abjad
Kaedah ini sememangnya digunakan untuk mengajar murid mengeja. Murid perlu mengenal semua abjad sebelum murid berjaya mengeja sesuatu perkataan dengan baik. Contohnya : untuk mengeja "ibu", murid perlu kenal abjad "i", "b" dan "u".

2. Kaedah Fonik/Fonetik
Kaedah ini adalah berdasarkan bunyi sebutan dalam suku kata dan menggabungkannya dengan suku kata yang lain. Untuk mengeja sesuatu perkataan, murid perlu membunyikan huruf-huruf terlebih dahulu, kemudian membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Contohnya: Perkataan bola dieja [b (beh) + o (o) = bo] dan l (leh) + a (a) = la]. Kedua-dua suku kata kemudian digabungkan iaitu [bo] + [la] dan ia menjadi [bola].

3. Kaedah Elektik
Kaedah elektik adalah kaedah campuran atau gabungan di antara dua pendekatan iaitu pendekatan membina dan pendekatan cerakinan. Beberapa kaedah digabungkan seperti kaedah bunyi, kaedah abjad dan kaedah suku kata, kaedah rangkai kata, kaedah ayat. Kaedah ini adalah mengikut prinsip psikologi membaca, maka ia dapat disesuaikan dengan kehendak dan kebolehan murid untuk membaca dalam sebarang keadaan.

Cara pengajaran

Huruf: Guru memperkenalkan huruf abjad berdasarkan bunyi huruf sahaja. Contonya, a - ayam, u - ular. Guru tidak boleh memperkenalkan nama huruf abjad. 

Suku kata:  Guru mengajar suku kata menerusi perkataan. Contohnya, ba - baju, bakul, basikal, bawang.


4. Kaedah Suku Kata
Kaedah ini dimulakan dengan suku kata yang asas iaitu KV, KVK, KVKVK dan seterusnya. 

5. Teknik Perisian Komputer
Pembelajaran membaca merupakan aktiviti kognitif yang melibatkan pengutipan maklumat  daripada teks yang dibaca. Melalui penggunaan perisian komputer, bahan-bahan boleh dihasilkan bukan sahaja dalan bentuk teks malah dalam bentuk visual dan audio. Hubungan antara teks dengan imej sebagai elemen dalam proses membaca dapat dilihat menerusi teori dwipengkodan.

Teori dwipengkodan (Paivio, 1986) menjelaskan bahawa murid yang didedahkan dengan dua mod pembelajaran (melalui visual dan verbal) dapat meningkatkan ingatan dan kefahaman. Dalam teknik ini, murid diberi peluang untuk membina makna teks yang dibaca menerusi penghasilan gambaran visual.

Namun demikian, menurut Wienstein dan Mayer (1986) serta Post dan Carreker (2002), murid tidak berupaya menghasilkan gambaran visual secara efektif jika murid tidak dibantu oleh guru menerusi galakan atau pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.

6. Mendengar Perakam Suara
Murid mendengar dengan teliti dan mengulangi cara mengeja yang dimainkan oleh pita rakaman.

7. Kaedah Multisensori
Kaedah ini adalah berdasarkan kepada pengamatan terhadap pelbagai deria seperti deria visual, deria sentuhan, deria suara, dan gabungan semua deria. Kaedah ini membantu murid terutamanya murid yang mengalami masalah pembelajaran.

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2012


Rasanya sudah agak lama saya tidak update blog ini. Maklumlah para guru sibuk dengan urusan peperiksaan penggal pertama dan kemudian disusuli dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. 

Pada tahun ini saya ditugaskan mengendalikan acara pertandingan bola jaring dan sukaneka. Antara acara-acara yang dijalankan pada Sambutan Hari Guru di sekolah saya tahun ini adalah:-

  • Nyanyian lagu tema Hari Guru - Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi pendidikan Negara
  • Nyanyian lagu Kami Guru Malaysia
  • Bacaan ikrar guru
  • Perutusan Hari Guru oleh KPM dibacakan oleh PK Kurikulum
  • Deklamasi sajak oleh PK HEM & PK Ko-Kurikulul
  • Pertandingan Bola Jaring (guru perempuan vs murid perempuan)
  • Pertandingan Bola Sepak (guru lelaki vs murid lelaki)
  • Sukaneka antara guru-guru
  • Jamuan Makan
  • Persembahan guru lelaki
  • Pertukaran hadiah antara guru-guru
  • Anugerah Guru Paling Popular (lelaki & perempuan)
  • Perlawanan boling antara guru-guru

Pertandingan Bola Jaring antara Guru dan Murid Perempuan.
Guru menewaskan murid 5-1.



Guru bermain ganas, menurut kata murid2.
Ini buktinya guru bermain ganas...hu hu hu

Guru lelaki dibuli memakai
kain pelekat oleh murid lelaki..keh keh keh
Cikgu tetap mantap walau berkain pelekat. Guru menang 3-2.



Kek Hari Guru... tak rasa pun.



Sukaneka - baling belon air.

Kamilah Juara Sukaneka


Anugerah Guru Paling Popular

Perlawanan boling antara guru-guru

Pada sambutan kali ini, ada beberapa acara tidak dapat dilaksanakan kerana kesuntukkan masa. Biasalah, gurulah penganjur, guru jugalah pelaksana dan guru itu jugalah peserta. Walaubagaimana pun, sambutan tetap meriah dan memberangsangkan. 

Hadiah? Biasalah...Hari Guru dan hadiah tidak dapat dipisahkan, ibarat seperti ubat gigi dan berus gigi. Sehari sebelum hari guru, saya telah menerima sekuntum bunga daripada murid dengan ucapan Selamat Hari Guru. Murid tersebut adalah murid kelas Moral yang saya gantikan kerana gurunya bersalin.

Ramai yang mengatakan bahawa GPK adalah guru yang paling sedikit menerima hadiah daripada murid. Tahun lepas saya sudah mengalaminya. Adakah kerana GPK tidak dihargai oleh murid-muridnya? Atau murid-murid pemulihan tidak pandai menghargai guru? Malah terdapat dalam kalangan murid pemulihan merancang tidak akan hadir ke sekolah pada 16 Mei.

Tahun ini ada seorang murid pemulihan menghadiahkan saya sebuah buku nota dan liquid paper. Dialah murid yang paling "pandai" tapi paling moody yang pernah saya ajar. Dia akan belajar ikut mood dia sahaja. Bila diberikan kerja banyak sikit, dia akan mengeluh - "ala cikgu, banyaknya kena buat".....

*****