Kisah Cikgu Idayu yang gagal dalam permohonan e-GTukar untuk kali ke-7

Isu pertukaran guru yang belum pernah selesai

Saya belum pernah memohon untuk berpindah sekolah walaupun terpaksa berulang-alik lebih 30 km sehari ke sekolah selama 4 tahun ini sejak mula 'posting' kali pertama. Namun suatu hari nanti saya pasti akan mengisi permohonan pertukaran guru.

Isu pertukaran guru setiap kali keputusan e-GTukar diumumkan selalu ada kisahnya. Pertukaran guru menjadi isu dan topik perbincangan hangat dan panas di media sosial terutamanya di Facebook.

Yang berjaya pindah...alhamdulillah.

Yang gagal berpindah seperti Cikgu Ayu bagaimana?

Alkisahnya Cikgu Idayu atau Cikgu Ayu ini pada mulanya bertugas di Sarawak dan berjaya berpindah ke Johor tetapi masih belum dapat tinggal sebumbung dengan suaminya yang bekerja di Terengganu selama hampir 8 tahun. 

Hebat sungguh dugaan buat seorang cikgu setabah Cikgu FARITA IDAYU BT JUSOH, guru kelahiran Terengganu. Berdasarkan rencana yang tersiar di Utusan Online, beliau belum dikurniakan cahaya mata dan sedang menerima rawatan akibat tertekan kerana gagal berpindah ke Terengganu setelah 7 kali membuat permohonan melalui e-GTukar. 

Keputusan Pertukaran Guru Antara Negeri/Bahagian bagi sesi Januari 2014 sudah pun keluar dan boleh disemak di Sistem Maklumat Guru Modul e-GTukar di  Aplikasi e-GTukar mulai jam 9.00 malam pada 25 Nov 2013.


Petikan rencana Kisah Benar Cikgu Ayu yang saya pendekkan seperti berikut...

Kisah benar Cikgu Idayu dan kerenah birokrasi yang menebal?



FARITA Idayu Bt. Jusoh bukanlah pegawai besar. Dia hanyalah seorang guru. Guru yang baru lapan tahun berkhidmat mendidik anak watan kita.

Menjadi guru adalah cita-citanya dari kecil. Dia bukan seperti sesetengah guru, yang menjadikan kerjaya itu sekadar makan gaji.

Oleh itu, Idayu sanggup meninggalkan kampung halaman di Terengganu dan dihantar mengajar di Sarawak. Pengkhususan beliau ialah subjek Fizik, Matematik dan Sains.

Guru muda itu gembira mengajar di situ. Semangatnya sentiasa berkobar-kobar mendidik anak bangsa.

Setelah berkahwin Cikgu Idayu dipindahkan dari Sarawak ke Semenanjung, iaitu Johor.

Dia ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Esa, Batu Pahat, Johor.

Suaminya pula bertugas sebagai Warder Penjara di Dungun. Sehingga kini mereka telah berkahwin selama lapan tahun.

Sepanjang lapan tahun mereka tidak pernah tinggal sebumbung. Sama ada suami akan ke Batu Pahat atau sebaliknya si isteri akan ke Dungun. Walaupun kejauhan, tanggungjawab zahir dan batin diteruskan sama seperti pasangan suami isteri yang lain.

Sudah tujuh tahun, sejak 2008 tanpa serik dia membuat permohonan melalui Jabatan Pelajaran Negeri dan di peringkat kementerian, namun semuanya gagal.

Di sepanjang proses permohonan itu, dia ada juga mendapatkan surat sokongan pelbagai pihak, juga gagal.

Surat sokongan?

Pertengahan tahun ini apabila rayuan pertukaran dibuka, dia antara cikgu yang paling awal berkobar-kobar dan ghairah mengisi borang. Kakitangan jabatan pun sudah kenal dengan beliau.

Beberapa hari lalu keputusan diumumkan. Buat kesekian kalinya, selama tujuh tahun, permohonannya ditolak sekali lagi.

Cikgu Idayu terus pasrah. Fikirannya cukup tertekan. Cita-cita masa kecilnya untuk menjadi guru kini sudah menjadi satu mimpi ngeri. Cikgu Idayu kini difahamkan, sedang menerima rawatan akibat tekanan.

Lebih tertekan, setelah tujuh tahun berkahwin, dia masih belum mendapat cahaya mata. “Kerana itu saya mahu duduk berdekatan dengan suami saya..."

Sebagai penulis, saya tidak pasti di mana silapnya dalam kes Cikgu Idayu ini.

Terus terang saya katakan, saya tidak mengenali cikgu itu. Saya hanya menerima suratnya - mengadu kepada saya, setelah segala usahanya selama ini gagal. Mengadu kepada saya adalah jalan terakhir beliau.

Tulis beliau kepada saya: “Keluarga kami sejak zaman nenek moyang 100 peratus menyokong, berjuang untuk UMNO. Saya minta tolong dengan menteri-menteri UMNO, takda satu tandatangan mereka yang laku... jalan akhir, nampaknya saya perlu berhenti kerja walaupun itu cita-cita saya sejak kecil mahu menjadi cikgu untuk bantu anak bangsa."

Bagi saya dalam puluhan ribuan guru di seluruh negara, dan mobilisasi guru-guru baru setiap tahun, apakah sebenarnya masalah Cikgu Idayu ini? Terus terang saya katakan saya tidak faham dengan sistem proses pertukaran itu.

Mereka memberi alasan pengkhususan saya sudah penuh di Terengganu," katanya.

Jika satu, dua tahun mungkin kita boleh terima dia gagal, tetapi apabila ia sudah masuk tahun ketujuh, maka di mana pula silapnya? Di mana pertimbangan kemanusiaan pula?

Wahai Pengarah-pengarah Pendidikan Negeri-Negeri, Ketua Pengarah Pendidikan, Ketua Setiausaha Kementerian dan menteri-menteri serta timbalan-timbalannya, tolonglah teliti kes ini.

Saya berharap janganlah dihukum Cikgu Idayu gara-gara tulisan ini. Ambillah iktibar positif daripada tulisan ini untuk memperbaiki mana-mana sistem yang lemah.

Saya difahamkan Kementerian Pendidikan memang sedar mengenai sindrom suami-isteri berpisah ini. Harap-harap kes Cikgu Idayu ini boleh diselesaikan.

Jika ini pun susah hendak diselesaikan, apakah kita sudah bersedia untuk menjadi sebuah negara maju?


# Saya juga berdoa dan berharap ada berita gembira dihujungnya buat Cikgu Ayu. Amin.




Sumber asal
  1. http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131127/re_06/Kisah-benar-Cikgu-Idayu-dan-kerenah-birokrasi-yang-menebal

Terima Kasih

3 comments:

  1. Macamana kesudahan kisah cikgu ayu ni?.... dia dapat bertukar x?

    ReplyDelete
  2. saya nak tau ending nye... pls update

    ReplyDelete
  3. sudah berjaya tukar dalam tahun 2014 balik kampung. tahniah. happy ending.

    ReplyDelete