Intervensi Kemahiran Asas Membaca | Program Ganjaran SASUBA (Saya Suka Membaca)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)


Sekarang ini semua guru mata pelajaran perlu melaporkan tahap pencapaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi akhir tahun 2021 bagi setiap murid untuk setiap mata pelajaran yang diajar khususnya sepanjang tempoh pelaksanaan PDPR yang lalu.

Bagi murid yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum iaitu TP3, guru perlu menjalankan intervensi bagi meningkatkan tahap penguasaan murid sekurang-kurangnya kepada tahap penguasaan minimum iaitu TP3.

Sebagai Guru Pemulihan Khas, sudah pastinya saya turut terlibat bersama-sama guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik merancang intervensi yang sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan.

Di sini saya kongsikan program intervensi yang sedang saya jalankan bagi meningkatkan kemahiran asas membaca murid yang terlibat dengan Program Pemulihan Khas. Program ini mudah dan praktikal dilaksanakan.

Setakat ini, murid menunjukkan motivasi dan minat yang sangat tinggi untuk membaca dan menghabiskan bacaan kad-kad bacaan bergred yang disediakan. Program ini merupakan program yang pernah saya laksanakan beberapa tahun lepas (5-6 tahun lepas) dan impak pelaksanaannya sangat membantu murid menguasai kemahiran asas membaca.

Antara faktor kekangannya, guru tidak dapat memberikan masa yang mencukupi kepada murid untuk membaca kad-kad bacaan bergred yang disediakan.

Intervensi Kemahiran Asas Membaca: Program Ganjaran SASUBA


📌Nama program: Program Ganjaran SASUBA (Saya Suka Membaca)
📌Matlamat program: Intervensi PBD - meningkatkan tahap penguasaan kemahiran asas membaca.

📌Objektif program:
 
1) Galakan membaca kepada murid.
2) Tingkatkan tahap penguasaan kemahiran asas membaca - aktiviti pengayaan.
3) Tingkatkan motivasi dan minat murid terhadap aktiviti membaca.
4) Pupuk sikap bersaing sesama rakan sebaya secara sihat.

📌Bahan-bahan:

1) Kad bacaan bergred
  • bahan bacaan diperingkatkan mengikut kemahiran
  • setiap kemahiran terdiri daripada 10 siri kad
  • setiap siri kemahiran dibezakan melalui warna
   
2) Borang rekod bacaan
3) Ganjaran - hadiah dan mata ganjaran (point)
  • murid boleh menuntut hadiah selepas berjaya membaca 10 siri kad bacaan bergred bagi satu-satu kemahiran.
  • murid boleh mengumpul mata ganjaran untuk mendapatkan nilai hadiah yang lebih tinggi.

📌Pelaksanaan: Semasa PDP sebagai aktiviti pengayaan, penutup PDP.
📌Impak pelaksanaan: Jangka panjang