Showing posts with label Isu-Isu Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Isu-Isu Pendidikan. Show all posts

Kecerdasan Buatan atau Kepintaran Buatan atau Artificial Intelligence (AI)

Kecerdasan buatan atau kepintaran buatan atau lebih dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai Artificial Intelligence (AI) merupakan konsep yang telah lama wujud sejak tahun 1950-an lagi. AI diperkenalkan pertama kali oleh John McCarthy, seorang Profesor Matematik pada tahun 1956 dalam sebuah program AI Darthmounth Summer Research Project Artificial Intelligence (DSRPAI). Namun begitu projek tersebut kurang mendapat sambutan ketika itu dan perkembangan AI agak perlahan tetapi dengan kemajuan pesat dalam bidang komputer, perisian canggih dan keupayaan pengumpulan data yang besar, AI telah berkembang pesat.

Dari segi definisi, Kecerdasan Buatan atau AI ditakrifkan sebagai satu set program komputer dan teknologi yang meniru fungsi dan kecerdasan otak manusia (Huang, Rust, & Maksimovic 2019).

Dari segi konsep, AI adalah keupayaan mesin untuk menyelesaikan tugas dan aktiviti yang biasa dilakukan oleh manusia. AI mengumpul dan mengolah data yang diterima menjadi informasi berguna supaya dapat menyelesaikan tugas yang diberikan. AI merupakan salah satu cabang sains dan antara cabang penting dalam AI ialah pembelajaran mesin (machine learning) iaitu keupayaan mesin yang mampu ‘belajar’ untuk menjadi pintar. Konsep AI ini juga merujuk kepada keupayaan dan kemampuan komputer dan sistem untuk meniru kecerdasan manusia dalam mempelajari, berfikir, dan membuat keputusan. 

Tidak dinafikan lagi, penggunaan AI dalam pendidikan memberikan pelbagai manfaat kepada murid, pelajar dan pensyarah. Ianya boleh digunakan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran murid, pelajar serta membolehkan pensyarah dan institusi pendidikan untuk mengakses pengetahuan dan sumber-sumber pembelajaran yang lebih luas dan mendalam. Teknologi AI ini juga boleh dimanfaatkan untuk merancang pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan serta kebolehan murid dan pelajar.

Penggunaan pengajaran berasaskan teknologi AI akan memberikan kesan positif terhadap pencapaian akademik pelajar (Zhao et al., 2019). Teknologi AI yang menyediakan sejumlah besar perisian mempunyai keupayaan untuk dijadikan sebagai platform pembelajaran kendiri atau pembelajaran berbantukan guru (Abu Zaqiyah, 2018).

Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) KPM

Sebagai guru yang terlibat dengan murid-murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran khususnya saya sebagai guru Pemulihan Khas yang terlibat secara langsung dengan murid-murid yang tidak dan sukar menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M), adalah penting untuk guru mengetahui prosedur, tatacara atau langkah-langkah membuat pengesahan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) atau sekurang-kurangnya tahu di manakah tempat yang boleh ibu bapa pergi untuk merujuk anak mereka kepada pakar atau pengamal perubatan.

Salah satu tempat yang sesuai adalah Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK). Pusat 3PK merupakan pusat khidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyediakan perkhidmatan sokongan berbentuk saringan/ penilaian, terapi, konsultasi, latihan atau khidmat sokongan di sekolah kepada kanak-kanak/ murid berkeperluan khas.

Secara umumnya, proses saringan di 3PK beroperasi mengikut janji temu pada waktu pejabat. Tiada sebarang caj dikenakan bagi setiap sesi janji temu kerana perkhidmatannya disediakan secara PERCUMA. Saya berpengalaman membawa seorang anak murid saya ke pusat 3PK di Putrajaya untuk menjalani saringan MBPK. Pada ketika itu murid tersebut berada di tahun 5. Selepas beberapa kali temu janji untuk melengkapkan proses saringan, akhirnya murid tersebut disahkan sebagai MBPK oleh doktor di sebuah hospital kerajaan, walaupun pada ketika itu anak murid saya sudah berumur 12 tahun. Bekas anak murid saya kekal di sekolah asal sehingga berumur 14 tahun dan mengikuti Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) yang ada di sekolah kerana mengambil tempoh pelanjutan 2 tahun di sekolah rendah sebagai salah satu keistimewaan MBPK.

Para ibu bapa yang berkeperluan untuk mengetahui masalah yang dihadapi anak masing-masing, khususnya masalah dalam pembelajaran, bolehlah merujuk kepada pusat 3PK yang berhampiran di negeri masing-masing. Selain pusat 3PK, ibu bapa juga boleh merujuk anak ke klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan.

Sila rujuk info yang dilampirkan di bawah ini untuk maklumat lanjut.









Sumber: Pusat 3PK

Cikgu 'S' Jawab Kecaman Netizen Video Viral Bapa Pandai Masak Ketum

Salam PKPP.

Salam Maal Hijrah 1442H kepada seluruh umat Islam walau di mana sahaja berada.

Inilah antara salah satu sebab saya sangat tidak menyokong pelajar sekolah dibenarkan membawa telefon ke sekolah yang pernah menjadi isu perdebatan suatu ketika dulu. Ini kerana pada tahap seorang dewasa seperti pendidik pun masih ada yang kurang berhati-hati tentang 'bahaya' yang bakal menjengah akibat 'kecanduan' terhadap teknologi dan gajet.

Dan yang terkini berlaku beberapa hari lepas dan sedang hangat diperkatakan;










Respon, cadangan dan nasihat Kaunselor Pelajar, Akhi Fairuz Al-Jengkawi
Sila sebarkan:

Cikgu yang merakam video 'ayah saya masak ketum' mesej saya.

Ya, kita semua maklum soalan yang diajukan itu diulang kali kedua. 

Awalnya cikgu ini dah dengar jawapan masak ketum itu, namun untuk 'bukti kukuh', beliau ambil inisiatif untuk bertanya kembali dengan rakaman. 

Apa tujuannya? Nak viralkan ke media sosial? 

Jawapannya tidak. Lalu video itu HANYA dihantar kepada IBU kanak-kanak itu sahaja. Saya ulang, hanya kepada IBU murid itu sahaja. 

Kenapa? Niat cikgu ini jelas, beliau nak bantu pelajar berkenaan. Katanya, kalau ia betul-betul berlaku, harap pihak ibu tidak cover hal itu dari anak. 

Jadi siapa yang viralkan video ini ke media sosial? 

Ibu kanak-kanak berkenaan mungkin ada jawapannya. 

Biasanya kalau video 'comel' begini, mestilah cepat-cepat nak share dalam group whatsapp family. Bila dah tersebar di satu group, bayangkan apa akan jadi selepas itu. Dan kita semua dah tahu video ini telah tersebar merata. 

Jadi, siapa yang betul dan siapa yang salah dalam isu ini? 

Itu bukan tugas kita untuk mengadili. Biarlah pihak sekolah dan kementerian yang siasat. 

Untuk mengelakkan kejadian sama berulang, maka ini cadangan saya, 

1. Mohon cikgu tidak mengambil tindakan peribadi dengan menghantar video itu terus kepada parents. Ya, niat cikgu baik, tapi kita khuatir ia akan timbul salah faham. 

2. Rujuk pentadbir sekolah. Bincang apakah jalan yang terbaik untuk bantu murid ini, juga ayahnya. 

3. Paling elok, panggil si ayah dan ibu murid datang ke sekolah. Maklumkan apa yang berlaku serta tunjukkan video itu. 

4. Maklumkan pada ibu bapa apakah impak buruk yang dialami anak jika si ayah tak berubah (jika benar menurut dakwaan anak). 

5. Jika kes berat, ayah atau ibu murid terlibat dengan penyalahgunaan dadah, maka rujuk pihak polis dan JKM. 

Ok, sekarang video ini dah tersebar di dalam group wassap, facebook, page, twitter, youtube, instagram dan lain-lain media sosial. 

Apa yang kita boleh buat? Saya mohon kalian sebarkan posting saya ini. Asal nampak video berkenaan orang share, share tulisan saya ini. Nak copy paste pun tak ada masalah, saya benarkan. Terima kasih. Moga ia jadi pengajaran buat kita bersama. 

Update kes : Guru berkenaan akan report polis petang ini. Doakan yang baik-baik untuk cikgu ini, murid berkenaan dan ibubapanya. 

Akhi Fairuz Al-Jengkawi 
1. Tidak sepatutnya guru tersebut merakam video semasa PdPc berlangsung di hadapan semua murid hanya semata-mata untuk mendapatkan 'bukti'. Cikgu boleh panggil murid kemudian dan bersemuka secara peribadi dengan murid tersebut secara 'privacy' dan bolehlah mengumpul 'bukti' secukupnya.

2. Cikgu perlu berbincang terlebih dahulu dengan pentadbir sekolah mengikut hiraki bidang masing-masing untuk tindakan selanjutnya. Elakkan 'direct' isu kepada ibu bapa tanpa pengetahuan pentadbir sekolah. Jika ada sebarang isu yang timbul selepasnya, maka cikgu tidaklah berseorangan menghadapinya. 

(Untuk makluman struktur organisasi di sesebuah sekolah, bahagian hal ehwal murid adalah di bawah tanggungjawab guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid / PK HEM dan di bawahnya terdiri daripada guru displin, guru bimbingan & kaunseling, guru program anti dadah dan sebagainya).


#pengajaran


Hukuman Rotan Pelajar Bakal Dilaksanakan Mulai Tahun 2017?

Menurut laporan Utusan Online, Pengetua atau guru akan diberi kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan displin di sekolah mulai tahun 2017. Walau bagaimanapun hukuman rotan tersebut hanya boleh dilakukan secara tertutup dan tidak dibenarkan dilakukan di khalayak ramai seperti semasa perhimpunan.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon, draf penambahbaikkan peraturan displin tersebut akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi selepas kajian terhadap Peraturan-Peraturan Displin Pelajar 1959/ Ordinan Pendidikan 1957 dibuat.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof - Pengetua/Guru besar hanya dibenarkan merotan murid-murid tertakluk kepada syarat tertentu untuk kesalahan serius berdasarkan SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 7/2003 : KUASA GURU MEROTAN MURID.

Dr. Khair menjelaskan bahawa hukuman rotan sentiasa dibenarkan kerana berasaskan peruntukan yang disediakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 namun hanya dinyatakan jenis hukuman yang boleh dikenakan mengikut keseriusan sesuatu kesalahan.

Pekeliling 2003: Kuasa guru merotan murid



Wajarkah guru merotan pelajar?
SEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) masih menyiasat dari segenap aspek kes guru wanita sebuah sekolah menengah di Kuala Klawang, Jelebu yang didakwa merotan pelajarnya sehingga menyebabkan mangsa kini menerima rawatan di hospital kerana tidak dapat bergerak.

Isu kewajaran guru merotan murid telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar. Dengan timbulnya kes-kes seperti di atas, ada yang beranggapan bahawa hukuman rotan perlu dikaji semula terhadap mekanisme pelaksanaannya.

Timbul persoalan tentang kewajaran hukuman merotan yang pernah diberikan kuasanya kepada guru tetapi telah dilarang mulai tahun 1983 ketika Tan Sri Murad Mohamed Noor menjadi Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia. Beliau dengan tegasnya mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa guru dari merotan pelajar dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh hemah tetapi kesannya apa yang dapat kita lihat sehingga hari ini ialah pelajar semakin berani mempertikaikan tentang peraturan dan disiplin sekolah.

Pelbagai isu negatif yang melibatkan perlakuan negatif pelajar terhadap guru antaranya pelajar mencekik seorang guru perempuan di Pulau Pinang, isu pelajar tumbuk guru di Sabah, isu kereta guru dirosakkan pelajar di Terengganu dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, guru dalam dilema samada ingin menggunakan hukuman rotan atau tidak di sekolah.



Berkesankah hukuman rotan?

Laporan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertajuk Keganasan Terhadap Kanak-Kanak berpendapat bahawa amalan itu hanya akan memberikan kesan negatif kepada emosi serta pelajaran kanak-kanak. Laporan tersebut menyebut bahawa hukuman yang berbentuk fizikal sebenarnya tidak memberi kesan positif kepada pelajar, malah akan menjadi lebih teruk lagi apabila mereka secara tidak langsung mula beranggapan bahawa keganasan boleh diterima pakai ketika berhadapan dengan masalah.

Hanya sedikit nilai positif yang diperoleh oleh pelajar yang pernah menjalani hukuman fizikal di sekolah. Sebaliknya, apa yang lebih merisaukan adalah pelajar berkenaan hilang matlamat dalam akademik dan kurang bermotivasi untuk berjaya. Kajian tersebut dijalankan dalam tempoh lima tahun menerusi lawatan dan pemantauan intensif daripada sembilan bahagian, termasuk kerajaan, orang awam dan kanak-kanak. Di samping lawatan dan pemantauan, borang kaji selidik turut diedarkan kepada 133 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kanak-kanak yang diberi hukuman fizikal di sekolah mempunyai nilai moral yang lebih rendah dan cepat menjadi tertekan serta bersikap agresif. Ada kalanya kesalahan kecil seperti tidak melakukan kerja rumah turut berhadapan dengan hukuman tersebut.

UNICEF percaya bahawa hukuman fizikal ini perlu dihapuskan kerana ia bersifat penganiayaan dan tidak berkesan dalam mendidik pelajar menjadi lebih baik dan berdisplin. Untuk mengukuhkan lagi kajian tersebut, Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak turut mengharamkan cara hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan tanpa mengira apa jua keadaan sekalipun.


Hukuman rotan di sekolah masih relevan?

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Komander (Kehormat) Hashim Adnan berpendapat bahawa hukuman rotan di sekolah masih relevan bagi tujuan mendidik dan mendisplinkan pelajar walaupun banyak negara khususnya di barat sudah memansuhkan hukuman rotan di sekolah, namun dalam konteks negara-negara di timur termasuk Malaysia, hukuman rotan di sekolah masih diperlukan.
Kita berharap, kalau dapat, kita teruskan juga hukuman rotan ini tetapi secara berhemahlah, bukan sesuka hati...merotan itu bukan sewenang-wenangnya. Ia perlu dijalankan secara profesional dan setelah berkali-kali amaran dikeluarkan. Kalau bimbingan dan pendekatan psikologi masih tak jalan barulah rotan - Presiden NUTP

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman berpendapat adalah wajar memukul sebagai satu hukuman terhadap salah laku kanak-kanak dan ini dibenarkan sendiri dalam Islam kerana ia adalah kaedah pengajaran yang berkesan. Beliau juga berpendapat ibu bapa sepatutnya memberi sedikit kelonggaran kepada guru untuk memukul anak mereka yang melakukan kesalahan bagi membentuk displin dan keperibadian mereka. 

Hal ini kerana apabila seseorang pelajar menerima hukuman seperti rotan, pelajar tersebut akan merasa sakit dan serik untuk melanggar peraturan sekolah lagi. Manakala pelajar-pelajar lain yang melihat hukuman ini dijalankan juga akan merasa ngeri untuk melakukan kesalahan tersebut. Oleh itu masalah pelanggaran displin dapat diatasi.

Hukuman merotan dari sudut pandangan Islam?
#Akan dikupas dalam entri yang lain, Insya Allah.


Sumber:
  1. http://m.utusan.com.my/berita/nasional/hukuman-rotan-pelajar-dilaksana-2017-1.321661
  2. http://www.sinarharian.com.my/nasional/hukuman-rotan-di-sekolah-masih-relevan-1.377202
  3. http://gurucakna.blogspot.my/2012/09/isu-1-guru-merotan-murid-oleh-mohd-azri.html
  4. http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.my/2008/07/selatan-jpns-siasat-guru-rotan-pelajar.html
  5. http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam/pekeliling/2008_BTMK_135_6910_8325.pdf
  6. http://www.tv14.my/2016/05/12/hukuman-rotan-dibenarkan-jika-ikut-garis-panduan/

PM Lancar Tablet Untuk Guru Di Sarawak

Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa semua guru di sekolah rendah, menengah serta yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah dan negeri Sarawak bakal menerima komputer tablet yang dilengkapi perisian akhbar Tutor dan e-paper Utusan Malaysia. Pengumuman itu dibuat semasa Majlis Pelancaran Tablet tersebut pada 5 Mei 2016 di Kuching, Sarawak.

"Hal ini penting kerana melaluinya para guru dapat menyampaikan kandungan pendidikan dengan nilai yang lebih krea­tif selari dengan tahap pemikiran golongan pelajar yang disebut sebagai kelompok digital native. Kita tidak mahu murid lebih bermaklumat daripada guru, ini juga satu cabaran kepada kita kerana mereka terlalu pantas mendapat akses kepada Internet. Dengan adanya tabet ini, ia adalah revolusi kecil dalam bidang pendidikan negara, mudah-mudahan ini menjadi langkah yang sangat bermakna,” - Perdana Menteri Malaysia

Menurut portal Malaysia Aktif, sebanyak 42, 000 unit tablet telah diterima guru-guru di Sarawak.




Sumber:

Apa Yang Cikgu Buat Di Sekolah?

Dalam satu majlis graduasi pelajar-pelajar sekolah, seorang pengetua berucap dengan berkobar-kobar sambil jari telunjuk dijulang ke udara; 

Seorang doktor, mahu anaknya juga menjadi seorang doktor. Seorang jurutera, mahu anaknya juga menjadi seorang jurutera. Seorang ahli perniagaan, mahu anaknya bekerja di syarikatnya menjadi seorang CEO. TETAPI, seorang cikgu? Seorang cikgu juga mahu anaknya menjadi seperti mereka semua. Tiada seorang pun yang mahu MEMILIH untuk menjadi CIKGU, sangat menyedihkan, tetapi itulah hakikatnya. 





Di satu sudut dewan, di meja makan, para tetamu mula kecoh bercerita tentang kejayaan dalam kehidupan. Seorang CEO membuka mulut berbincang tentang masalah yang berlaku dalam bidang pendidikan. Dia membuka bicara;

Apa yang seorang kanak-kanak boleh belajar daripada seorang insan yang pencapaian TERBAIK dalam hidupnya hanya mampu menjadi seorang CIKGU? 

Dia berpaling kepada seorang cikgu yang duduk semeja, Haa, awak seorang cikgu kan Rina? Terus terang, apa yang awak buat di sekolah sebenarnya? 

Cikgu Rina yang terkenal dengan jujur dan lemah lembut tersenyum, Tuan betul-betul ingin tahu apa yang saya buat? Cikgu Rina menarik nafas sedalamnya lalu menyambung…

Begini, saya membuat kanak-kanak bekerja lebih rajin daripada apa yang mereka percaya. 

Saya membuat pelajar yang mendapat gred C+ seperti mendapat No.1 seluruh sekolah atas peningkatan prestasi mereka. 

Saya membuat pelajar yang mendapat A- terasa langsung tidak bermakna kerana membazirkan masa saya dengan membuat sambil lewa daripada yang terbaik mampu mereka lakukan. 

Saya membuat kanak-kanak memberikan sepenuh perhatian selama 40 minit di dalam kelas semasa saya mengajar. Sedangkan ibu bapa mereka sendiri tak mampu untuk buat mereka duduk walau 5 minit. Saya lakukan tanpa Ipod, Iphone, Ipad, Game, atau menonton TV. 

Saya membuat ibu bapa terkejut dan terharu apabila saya menghantar pesanan ringkas whatsapp untuk memberitahu apa yang anak mereka telah lakukan di sekolah. Saya ceritakan bagaimana anak mereka telah berkongsi makanan dengan rakan yang tidak ada wang belanja ke sekolah. Itu adalah tindakan mulia paling sukar untuk saya lihat sekarang. 

Saya membuat ibu bapa 'sedar' siapa sebenarnya anak mereka dan apa yang anak mereka mampu lakukan. 

Tuan nak tahu apa lagi saya buat? 





Dia berhenti seketika dan memandang mata setiap orang yang berada di meja tersebut;

Saya buat anak-anak merasa hebat.

Saya buat mereka selalu bertanya soalan.
Saya buat mereka yakin menjawab pertanyaan. 

Saya buat mereka meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan dan benar-benar memaksudkannya. 

Saya buat mereka menghormati orang lain dan bertanggungjawab atas setiap tindakan mereka.

Saya buat mereka membaca, membaca, dan membaca. 

Saya ajar mereka bagaimana nak menulis dan buat mereka menulis dan menulis sehingga mereka tidak akan salah mengeja lagi. 

Saya buat mereka tunjukkan semua kerja rumah matematik mereka. Saya buat mereka gunakan akal yang Allah berikan, bukan kalkulator yang dicipta oleh manusia. 

Saya buat bilik darjah saya sebagai tempat yang paling selamat untuk semua pelajar saya. 

Akhirnya, saya buat mereka benar-benar faham sekiranya mereka menggunakan akal dan bakat yang dikurniakan Allah kepada mereka, bekerja keras, dan mengikut kata hati mereka yang benar, mereka akan berjaya dalam hidup. 

Saya yakin dan percaya bahawa duit bukanlah segala-galanya, walaupun semua orang di sekeliling cuba mempertikaikan apa yang saya lakukan. 

Saya masih boleh mengangkat muka tegak memandang ke hadapan dan jalan terus tanpa menghiraukan semuanya kerana mereka tidak mengetahui apa yang saya telah buat untuk 'anak-anak' SAYA. 

Tuan nak tahu kenapa saya yakin dengan apa yang saya buat? 

Cikgu Rina memandang tepat wajah tuan CEO tanpa berkelip;

Saya menyentuh dan memberi kelainan dalam kehidupan mereka. Saya mengubah mereka untuk percaya diri dan menjadi yang terbaik mampu mereka lakukan. Mendidik dan menyediakan mereka untuk menjadi seorang Doktor, Jurutera, dan CEO.Sekarang, apa pula yang Tuan CEO buat pada mereka?

Tuan CEO memandang kosong wajah cikgu Rina. 





Sumber: 
  1. https://www.facebook.com/ammarkamilin/posts/10207779689193344


Guru denda murid seperti Lembu kerana tidak menyiapkan 'homework' ditukarkan ke sekolah lain

Tahun baru 2014 belum mencecah sebulan, para guru dikejutkan dengan isu guru Bahasa Inggeris di SJKC  Khai Meng, Sungkai, Perak yang mendenda 2 orang murid yang tidak menyiapkan kerja rumah (homework). Murid tersebut dirotan kemudian digantungkan loceng dan diugut makan rumput. Selepas itu kedua-dua murid tersebut diejek kawan-kawannya sebagai LEMBU

Hal tersebut menjadi kecoh selepas ibu bapa kepada murid tersebut membuat laporan polis dan kisahnya mendapat tempat di Buletin Utama TV3.

Sebagai hukuman, guru itu menggantung loceng di leher Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd Izat Iqbal Mohd Harith masing-masing, 10, serta memaksa mereka memakan rumput manakala dua lagi murid tidak didenda dan difahamkan mereka tidak sihat serta mempunyai surat doktor - Berita Harian

Seorang guru sekolah rendah di Sungkai, Perak, yang mendenda dua murid dengan merotan serta mengepin loceng pada baju mereka dan mengkiaskannya seperti lembu berloceng makan rumput, Jumaat lepas, ditukar ke sekolah lain - mStar Online

Isu itu juga mengundang reaksi pelbagai pihak sehingga menyaksikan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak memberi kaunseling kepada murid terbabit bagi mengembalikan semula semangat mereka untuk ke sekolah.




Hasil siasatan oleh pihak Jabatan Pendidikan Perak dan PPD yang terlibat, KPM telah mengeluarkan arahan supaya guru tersebut ditukarkan ke sekolah lain dan diberikan surat amaran.

Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Pelajaran

Selepas Ketua Pengarah Pelajaran membuat kenyataan akhbar, timbul pula isu lain.

Isu murid tidak menyiapkan kerja sekolah bukan merupakan kesalahan disiplin kerana ia adalah sebahagian daripada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan perlu ditangani menerusi bimbingan berterusan - Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Benarkah begitu?


Baca lagi:
  1. Kecewa guru denda anak macam lembu
  2. Murid dihukum jadi lembu
  3. http://www.youtube.com/Guru denda pelajar seperti lembu
  4. Guru denda murid makan rumput elak ditemui pemberita
  5. Denda murid ibarat lembu, Perkasa desak guru dipecat

Kisah Cikgu Idayu yang gagal dalam permohonan e-GTukar untuk kali ke-7

Isu pertukaran guru yang belum pernah selesai

Saya belum pernah memohon untuk berpindah sekolah walaupun terpaksa berulang-alik lebih 30 km sehari ke sekolah selama 4 tahun ini sejak mula 'posting' kali pertama. Namun suatu hari nanti saya pasti akan mengisi permohonan pertukaran guru.

Isu pertukaran guru setiap kali keputusan e-GTukar diumumkan selalu ada kisahnya. Pertukaran guru menjadi isu dan topik perbincangan hangat dan panas di media sosial terutamanya di Facebook.

Yang berjaya pindah...alhamdulillah.

Yang gagal berpindah seperti Cikgu Ayu bagaimana?

Alkisahnya Cikgu Idayu atau Cikgu Ayu ini pada mulanya bertugas di Sarawak dan berjaya berpindah ke Johor tetapi masih belum dapat tinggal sebumbung dengan suaminya yang bekerja di Terengganu selama hampir 8 tahun. 

Hebat sungguh dugaan buat seorang cikgu setabah Cikgu FARITA IDAYU BT JUSOH, guru kelahiran Terengganu. Berdasarkan rencana yang tersiar di Utusan Online, beliau belum dikurniakan cahaya mata dan sedang menerima rawatan akibat tertekan kerana gagal berpindah ke Terengganu setelah 7 kali membuat permohonan melalui e-GTukar. 

Keputusan Pertukaran Guru Antara Negeri/Bahagian bagi sesi Januari 2014 sudah pun keluar dan boleh disemak di Sistem Maklumat Guru Modul e-GTukar di  Aplikasi e-GTukar mulai jam 9.00 malam pada 25 Nov 2013.


Petikan rencana Kisah Benar Cikgu Ayu yang saya pendekkan seperti berikut...

Kisah benar Cikgu Idayu dan kerenah birokrasi yang menebal?



FARITA Idayu Bt. Jusoh bukanlah pegawai besar. Dia hanyalah seorang guru. Guru yang baru lapan tahun berkhidmat mendidik anak watan kita.

Menjadi guru adalah cita-citanya dari kecil. Dia bukan seperti sesetengah guru, yang menjadikan kerjaya itu sekadar makan gaji.

Oleh itu, Idayu sanggup meninggalkan kampung halaman di Terengganu dan dihantar mengajar di Sarawak. Pengkhususan beliau ialah subjek Fizik, Matematik dan Sains.

Guru muda itu gembira mengajar di situ. Semangatnya sentiasa berkobar-kobar mendidik anak bangsa.

Setelah berkahwin Cikgu Idayu dipindahkan dari Sarawak ke Semenanjung, iaitu Johor.

Dia ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Esa, Batu Pahat, Johor.

Suaminya pula bertugas sebagai Warder Penjara di Dungun. Sehingga kini mereka telah berkahwin selama lapan tahun.

Sepanjang lapan tahun mereka tidak pernah tinggal sebumbung. Sama ada suami akan ke Batu Pahat atau sebaliknya si isteri akan ke Dungun. Walaupun kejauhan, tanggungjawab zahir dan batin diteruskan sama seperti pasangan suami isteri yang lain.

Sudah tujuh tahun, sejak 2008 tanpa serik dia membuat permohonan melalui Jabatan Pelajaran Negeri dan di peringkat kementerian, namun semuanya gagal.

Di sepanjang proses permohonan itu, dia ada juga mendapatkan surat sokongan pelbagai pihak, juga gagal.

Surat sokongan?

Pertengahan tahun ini apabila rayuan pertukaran dibuka, dia antara cikgu yang paling awal berkobar-kobar dan ghairah mengisi borang. Kakitangan jabatan pun sudah kenal dengan beliau.

Beberapa hari lalu keputusan diumumkan. Buat kesekian kalinya, selama tujuh tahun, permohonannya ditolak sekali lagi.

Cikgu Idayu terus pasrah. Fikirannya cukup tertekan. Cita-cita masa kecilnya untuk menjadi guru kini sudah menjadi satu mimpi ngeri. Cikgu Idayu kini difahamkan, sedang menerima rawatan akibat tekanan.

Lebih tertekan, setelah tujuh tahun berkahwin, dia masih belum mendapat cahaya mata. “Kerana itu saya mahu duduk berdekatan dengan suami saya..."

Sebagai penulis, saya tidak pasti di mana silapnya dalam kes Cikgu Idayu ini.

Terus terang saya katakan, saya tidak mengenali cikgu itu. Saya hanya menerima suratnya - mengadu kepada saya, setelah segala usahanya selama ini gagal. Mengadu kepada saya adalah jalan terakhir beliau.

Tulis beliau kepada saya: “Keluarga kami sejak zaman nenek moyang 100 peratus menyokong, berjuang untuk UMNO. Saya minta tolong dengan menteri-menteri UMNO, takda satu tandatangan mereka yang laku... jalan akhir, nampaknya saya perlu berhenti kerja walaupun itu cita-cita saya sejak kecil mahu menjadi cikgu untuk bantu anak bangsa."

Bagi saya dalam puluhan ribuan guru di seluruh negara, dan mobilisasi guru-guru baru setiap tahun, apakah sebenarnya masalah Cikgu Idayu ini? Terus terang saya katakan saya tidak faham dengan sistem proses pertukaran itu.

Mereka memberi alasan pengkhususan saya sudah penuh di Terengganu," katanya.

Jika satu, dua tahun mungkin kita boleh terima dia gagal, tetapi apabila ia sudah masuk tahun ketujuh, maka di mana pula silapnya? Di mana pertimbangan kemanusiaan pula?

Wahai Pengarah-pengarah Pendidikan Negeri-Negeri, Ketua Pengarah Pendidikan, Ketua Setiausaha Kementerian dan menteri-menteri serta timbalan-timbalannya, tolonglah teliti kes ini.

Saya berharap janganlah dihukum Cikgu Idayu gara-gara tulisan ini. Ambillah iktibar positif daripada tulisan ini untuk memperbaiki mana-mana sistem yang lemah.

Saya difahamkan Kementerian Pendidikan memang sedar mengenai sindrom suami-isteri berpisah ini. Harap-harap kes Cikgu Idayu ini boleh diselesaikan.

Jika ini pun susah hendak diselesaikan, apakah kita sudah bersedia untuk menjadi sebuah negara maju?


# Saya juga berdoa dan berharap ada berita gembira dihujungnya buat Cikgu Ayu. Amin.




Sumber asal
  1. http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131127/re_06/Kisah-benar-Cikgu-Idayu-dan-kerenah-birokrasi-yang-menebal

Sultan Johor istihar cuti hari minggu ditukar kepada JUMAAT dan SABTU mulai 1 Januari 2014

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengisytiharkan hari cuti negeri johor ialah pada Jumaat dan Sabtu dan tidak lagi Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2014.

Keputusan itu dibuat berikutan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi membenarkan umat Islam melaksanakan solat Jumaat dengan lebih aman - Sultan Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar

Sultan Johor membuat pengumuman itu bersempana sambutan ulang tahun baginda yang ke-55. Sebelum ini iaitu sebelum tahun 1994, cuti di negeri Johor ialah pada Jumaat dan Sabtu.

Pada masa Kini 4 negeri yg mengamalkan cuti Jumaat dan Sabtu iaitu:
  1. Kelantan 
  2. Terengganu
  3. Kedah
  4. Johor

Implikasi perubahan cuti

Ia dilihat akan memberi implikasi pembangunan pesat kepada Wilayah Pembangunan Iskandar. Khazanah Nasional Berhad melabur berbilion ringgit untuk Wilayah Pembangunan Iskandar yang diilhamkan sebagaimana Shenzen, China merentasi Hong Kong. Kawasan pembangunan itu yang dilihat melonjakkan pasaran hartanah mula menarik usahawan kecil dan sederhana, malah syarikat lain juga berhasrat melabur di kawasan itu. Namun, pengumuman cuti baru itu akan memberi kesan terhadap pelaburan akan datang berikutan ia tidak seragam dengan kawasan jiran seperti Singapura dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia. Salah satu perniagaan yang dilihat mencatatkan peningkatan pengunjung adalah resort Legoland apabila cuti baru itu akan menarik pengunjung dari Johor sementara yang lain memilih berkunjung pada Ahad. - Penganalisis

UPSR 5A, terima hadiah kereta Mini Cooper bernilai RM120,000

Berita tentang seorang murid tahun 6, Siti Nur Fatini Zulaikha Zukila yang mendapat hadiah kereta mewah Mini Cooper setelah dia berjaya memperoleh 5A dalam UPSR yang diumumkan 14 November 2013 lalu tersebar luas di media sosial khususnya di Facebook. 


Gambar ini dimuat naik dalam Facebook dan blog oleh ibunya sebagai kenangan.

Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan tahniah kepada adik Siti Nur Fatini Zulaikha Zukila  diatas kecemerlangannya di dalam UPSR. 

Walaubagaimanapun, saya tidak pasti sama ada saya patut mengucapkan tahniah di atas hadiah kereta Mini Cooper yang diterimanya. Hadiah mewah itu yang bernilai RM120,000 diberikan oleh ayahnya, Zukila Deraman, 36 tahun, seorang pembekal ayam di Kota Bharu, Kelantan.


Mini Cooper, RM120,000

Siti Nur Fatini Zulaikha Zukila, 12 tahun


“Saya tidak menyangka bapa menunaikan janjinya, malah membawa kereta itu ke sekolah sebagai hadiah kejayaan saya. Ibu memuat naik gambar dalam Facebook sebagai kenangan dan saya tidak menyangka ia menjadi perhatian,”

"Saya pernah memberitahu ayah ingin memiliki kereta tersebut kerana bentuknya yang comel pada awal tahun ini dan pada pertengahan tahun, ayah berjanji akan menghadiahkan kereta tersebut jika memperoleh 5A dan ayah benar-benar mengotakan janji itu semalam."

"Saya sedar saya tidak mungkin dapat memandu kereta ini kerana masih belum mencapai usia untuk memiliki lesen tetapi sekurang-kurangnya saya boleh mengaku kereta itu kepunyaan saya."

Siti Nur Fatini berkata, dia berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut selepas bapanya berjanji menghadiahkan kereta idamannya.

(Kalau tak diberi hadiah Mini Cooper...agaknya berapa 'A' adik ini akan dapat?)


Nor Aishah Mahmud, 31 tahun, ibu Siti Nur Fatini Zulaikha Zukila

“Kereta Mini Cooper jenis dua pintu dalam gambar dimuat naik dalam Facebook itu bukan kereta sebenar yang akan dihadiahkan kepada anak. Suami akan bawa balik kereta lain, tetapi tetap jenama Mini Cooper mungkin empat pintu bagi kemudahan keluarga kami,” 

“Suami hanya menunaikan janjinya kepada anak dan kebetulan kami mampu membelinya. Gambar itu dimuat naik untuk kenangan keluarga dan tiada niat untuk menunjuk-nunjuk kemewahan."         

(Apapun...kemewahan telah ditunjukkan dengan 'menunjuk-nunjuk'kan gambar kereta mewah ituKesimpulannya...apa yang baik jadikan ikutan, apa yang tidak dan kurang baik, tinggal-tinggalkan.)




Sumber:

Catatan Dr Mohammad Agus Yusoff Tentang SPPBS ~ Dengarlah Keluhan Para Guru




CATATAN HARI MINGGU: KELUHAN PARA GURU

Dua minggu lagi cuti sekolah bermula. Biasanya guru-guru cukup gembira dengan percutian ini kerana mereka mempunyai masa untuk berehat dan bercuti bersama keluarga. Tapi kali ini kegembiraan tersebut suram kerana ramai dari mereka tertekan dengan sistem baru yang digunakan oleh Kementerian, iaitu Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Betul sistem ini diperkenalkan oleh Kementerian setelah beberapa kali mesyuarat diadakan. Betul sistem ini diperkenalkan kerajaan setelah mengambil kira kebaikannya untuk guru, murid-murid dan sistem pendidikan negara. Betul tujuan sistem ini baik untuk transformasi sistem pendidikan negara, iaitu “untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian.”

Tetapi apakah sistem ini betul-betul baik untuk meningkatkan mutu pendidikan negara? Apakah sistem ini betul-betul boleh diterima oleh para guru? Pertanyaan ini perlu diteliti sebelum mendapat jawapannya.

Saya sudah mendengar lama rungutan para guru tentang hal in sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan pada tahun lepas bagi peringkat sekolah menengah. Ada yang menulis secara peribadi meminta saya membangkitkan hal ini. Tetapi saya diam sehinggalah saya dapati kelemahan pelaksanaan sistem ini semakin ketara.

Apa yang lemahnya dengan sistem ini? 

Lemahnya bukanlah pada tujuannya yang baik: 
(i) untuk menilai potensi murid, 
(ii) memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi murid; dan 
(iii) membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Tetapi lemahnya sistem ini adalah pada penggunaan sistem memasukkan datanya yang tidak boleh ‘comply’ dengan beban data semasa.




Sistem Pangkalan Data PBS Lemah

Justeru lemahnya sistem data PBS ini, maka guru perlu memasukkan data pada waktu lewat malam. Akibatnya, pada waktu pagi guru mengantuk menyebabkan mutu mengajar menjadi lemah, sekali gus menjejas mutu pengajaran dan pembelajaran. Akibatnya, murid tidak mendapat pembelajaran yang sempurna kerana waktu guru dihabiskan pada tugas perkeranian, bukan pada tugas hakikinya. Ini kerana selain sibuk memasukkan data, guru juga sibuk mengemaskan rekod. Aduh!!!

Apa lagi? Guru juga terpaksa menyiapkan kerja-kerja PBS sendiri seperti membina instrumen soalan, menanda dan menyemak kertas soalan. Selepas itu, guru perlu mengadakan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain. Guru kadang-kadang terpaksa lepaskan murid ke aras band yang lebih tinggi biarpun arasnya belum dicapai.

Selain itu, guru perlu mengurus fail pelajar yang mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan serta memasukkan ratusan band pelajar ke dalam sistem. Bayangkan bagaimana susah dan tertekannya guru jika internet hang? Bayangkan bagaimana lelahnya guru setelah disemak semula dalam sistem, data yang dimasukkan sebelum ini tidak ada dalam pangkalan?

Maka dari sinilah, guru selalu bertanya. Siapakah yang membangunkan sistem ini? Mengapa diberi kepada pembekal yang tidak berkelayakan untuk menyediakan sistem ini kepada sekolah dan guru? Mengapa kerajaan boleh melaksanakan sistem ini dikala sistem ini masih belum mesra pengguna? Bilakah mutu sistem ini akan dipertingkatkan? Dan bermacam persoalan lagi.

Saya pernah menceritakan kelemahan sistem ini kepada kawan saya, seorang pegawai di PPD. Beliau kata kepada saya guru yang merungut dengan sistem PBS ini adalah guru yang malas dan tidak ada semangat untuk berjaya dalam bidang keguruan. Maka beliau pun mulalah bercerita kepada saya tentang kejayaan sistem ini di negara-negara lain.

Saya tidak nafikan kejayaan sistem ini di negara lain, tetapi saya katakan sistem di sini tidak mesra guru kerana sistemnya selalu 'hanged' sehingga menyebabkan guru tertekan. Ada guru yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk memasukkan data. Jadi kata saya, sistem PBS ini mungkin sesuai di negara lain, tapi belum tentu sesuai di negara kita. Anggur yang sesuai ditanam di Perancis belum tentu sesuai ditanam di Cameron Highlands.

Akhirnya, setelah mendengar keluhan para guru sejak sistem ini diperkenalkan, saya cuma ingin katakan guru yang mengeluh bukan kerana mereka tidak ‘love teaching.’ Tapi mereka mengeluh kerana sistem PBS ini membebankan dan tidak mesra pengguna. Oleh itu, jika kerajaan mahu juga meneruskan penggunaan sistem ini, teruskanlah dengan membaiki dan meningkatkan sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan dengan sistem yang tidak mesra pengguna.

Tugas mengajar ini seronok dan mulia. Maka, jangan bebankan para guru dengan perkara yang tidak sepatutnya.

Page 'Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan" di Facebook 



Sumber: