[DOWNLOAD] Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS

Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS penting untuk rujukan guru LINUS dan juga guru Pemulihan sebagai panduan dalam mentadbir dan melaksanakan program LINUS.

Antara isi kandungan buku ini ialah:
  • Latarbelakang program LINUS
  • Peranan FasiLINUS, guru LINUS, guru Pemulihan
  • Dokumentasi (Fail yang perlu disediakan)
  • Jawatan kuasa
  • Carta Alir
  • Contoh borang dan laporan


Klik di bawah untuk muat turun




Peranan atau Tugas Guru LINUS dan Guru Pemulihan Berdasarkan Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS

Berdasarkan Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, edisi cetakan pertama 2011, guru LINUS & guru pemulihan berperanan seperti berikut:


Peranan Guru LINUS
  1. Melaksanakan kursus dalaman kepada semua guru setiap kali berkursus.
  2. Melaksanakan saringan bagi Lisan dan Bertulis dalam tempoh yang ditetapkan.
  3. Mengumpul data bagi mengenal pasti murid LINUS tegar, LINUS dan arus perdana.
  4. Mentadbir kelas dengan baik dan sesuai dengan tahap keperluan murid.
  5. Mengadakan perbincangan dengan FasiLINUS untuk penambahbaikan dalam pelaksanaan program LINUS.
  6. Mengisi data selepas setiap kali saringan ke portal NKRA secara atas talian mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
  7. Mencetak dan menfailkan data yang telah diisi di portal NKRA.
  8. Sentiasa mendalami kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
  9. Menjadi ahli jawatankuasa LINUS sekolah.

Peranan Guru Pemulihan
  1. Melaksanakan saringan bagi Lisan dan Bertulis dalam tempoh yang ditetapkan bersama-sama guru LINUS.
  2. Membantu guru LINUS dalam menyediakan media pengajaran.
  3. Merancang jadual waktu dan aktiviti untuk murid LINUS tegar dan murid pemulihan.
  4. Mengajar murid LINUS tegar.
  5. Menjadi ahli jawatankuasa program LINUS di sekolah.

Peranan Pentadbir Sekolah
  1. Mengenal pasti dan menentukan guru LINUS.
  2. Membentuk dan melantik jawatankuasa kerja LINUS di sekolah dan dipaparkan di papan kenyataan.
  3. Menyediakan fail-fail pengurusan LINUS.
  4. Membuat perancangan tahunan.
  5. Memastikan saringan LINUS dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
  6. Memastikan dan mengesahkan data penguasaan murid/keputusan setiap saringan dimasukkan ke dalam portal NKRA mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
  7. Memantau pelaksanaan program LINUS dan menjalankan tindakan susulan untuk penambahbaikan.
  8. Memberi motivasi kepada guru LINUS dan guru pemulihan.
  9. Memastikan guru LINUS dan guru pemulihan menggunakan modul LINUS yang dibekalkan oleh KPM.
  10. Bekerjasama dengan ibubapa/PIBG dalam memberi kesedaran, maklumat dan kepentingan program LINUS.
  11. Mencerap pelaksanaan PdP guru LINUS dan guru pemulihan.

Didik Hibur atau Fun Learning dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Salam sejahtera.

Bercerita merupakan contoh aktiviti didik hibur.

Istilah didik hibur atau 'fun learning' diperkenalkan seiring dengan pelaksanaan KSSR pada tahun 2010. Ia merupakan satu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti didik hibur boleh dilaksanakan semasa melaksanakan set induksi atau semasa penutup sesi PdP.

Nota Kaki: Singkatan bagi Pengajaran dan Pembelajaran; P&P/PnP kini telah digantikan dengan PdP (Sebut P, d, P).

Definisi


Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur.

Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati.

Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.

Pengenalan Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.

Latar Belakang Didik Hibur


Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012.

Kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Adalah diharapkan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid. Justeru pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid.

Ciri-Ciri Didik Hibur


Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:

(i) Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.

(ii) Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.

(iii) Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.

(iv) Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.

(v) Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti p&p.

(vi) Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.

(vii) Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.

(viii) Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.

(ix) Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.

(x) Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

Faktor Yang Mempengaruhi Pelaksanaan Didik Hibur: Guru


Kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:

( i ) Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid

( ii ) Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.

(iii) Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.

(iv) Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.

(v) Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.

(vi) Guru boleh membuat pelbagai suara.

(vii) Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.

(viii) Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.

(ix) Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak

(x) Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel

Aktiviti Didik Hibur


Kejayaan didik hibur secara kerkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:

( i ) Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.

( ii ) Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.

( iii ) Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.

( iv ) Aktiviti didik hibur boleh dilaksana, dijalan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.

( v ) Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.

( vi ) Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.

( vii ) Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.

Penutup


Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran

Rujukan dan kredit:
1. Portal KSSR, Dr. Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar

Semakan Keputusan KISSM 2012 (Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia)

Bagi bakal guru (IPG) dan juga guru (JPN), keputusan KISSM bagi tahun 2012 telahpun dikeluarkan oleh KPM. Semakan keputusan boleh dibuat mulai 20 Disember 2012.


Aplikasi Semakan Keputusan Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) - Calon JPN dan Calon IPG
Semakan Keputusan Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) adalah bagi calon berikut:

Peserta KISSM Kohort Mei, Jun dan November Bagi Tahun 2012 Kelolaan Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran  Malaysia.
Peserta KISSM Kumpulan I Kohort 3, 4 dan 5 Kelolaan Jabatan Pelajaran Negeri, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Keputusan KISSM 2012

Langkah-langkah membuat semakan keputusan KISSM 2012: 
  1. Pergi ke http://apps.moe.gov.my/smg/05/050002/ 
  2. Klik pada KEPUTUSAN [BARU
  3. Anda akan dibawa ke http://apps.moe.gov.my/smg/05/050002/cari-keputusan.cfm 
  4. Isikan no. K/P tanpa ada tanda sempang (-)
  5. Klik SEMAK
  6. No.K/P dan nama akan dipaparkan
  7. Klik ikon berwarna hijau untuk paparan keputusan dan cetakan.
  8. Anda LULUS!
  9. Beri salinan kepada Pembantu Tadbir untuk urusan pengesahan jawatan....

kredit: abaiis.blogspot.com

Di sekolah saya terdapat 3 orang guru yang menduduki KISSM tahun lepas dan alhamdulillah ketiga-tiga mereka telah LULUS. Saya pula menduduki KISSM ketika masih di IPG dan juga telah lulus.

LULUS KISSM sangat penting bagi seorang guru untuk disahkan ke dalam perkhidmatan (sah jawatan DG41) dan diberi pilihan memilih skim pencen.



Tugas Guru Semasa Cuti Akhir Tahun dan Sebelum Bermulanya Sesi Persekolahan 2013

Bermula pada 17.12.2012, saya dan semua guru yang lain diwajibkan hadir ke sekolah. Ini adalah rutin yang harus dilalui oleh seorang guru sebelum  sesi persekolahan bermula. Kebiasaannya, pada tahun-tahun sebelum ini, kami diwajibkan berada di sekolah sepanjang minggu pertama cuti akhir tahun untuk menjalankan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi kursus-kursus yang telah dihadiri pada tahun semasa. 

Pada tahun ini, Guru Besar membenarkan kami bercuti terus tetapi hadir bertugas di sekolah dua minggu lebih awal sebelum sekolah dibuka.



Agak-agaknya apa yang dilakukan oleh guru selama 2 minggu berada di sekolah? Berikut adalah catatan saya bagi menjawab persoalan tersebut:

Minggu 1
17.12.2012 - LDP KSSR tahun 3 (MT, PSV)
18.12.2012 - LDP KSSR tahun 3 (Sains, BI, PJ)
19.12.2012 - Mesyuarat Guru Kali 1/2013
20.12.2012 - Mesyuarat Induk Kurikulum Kali 1/2013
21.12.2012 - Mesyuarat Induk HEM Kali 1/2013
                    - Mesyuarat Induk Kokurikulum Kali 1/2013

Semua mesyuarat tersebut mengambil masa antara 3 - 4 jam.

Minggu 2
26.12.2012 - Mesyuarat Panitia Kali 1/2013 (BM, BI, SNS, Aga, BA)
27.12.2012 - Mesyuarat Panitia Kali 1/2013 (MT, KT, PSK, KH)
28.12.2012 - Mesyuarat Panitia Kali 1/2013 (PSV, MZK, MORAL, PJK)
31.12.2012 - Mesyuarat Pendidikan Khas
                    - Mesyuarat Prasekolah
                    - Persediaan kelas, bilik-bilik khas dan bilik guru
                    - Penghantaran Buku Rekod Mengajar


Buku Rekod Mengajar Tahun 2013

Itulah dia rutin seorang guru setiap tahun!


Beberapa Definisi Disleksia

Catatan Nota

Perkataan Disleksia berasal daripada gabungan 2 perkataan Greek/Yunani iaitu dys yang bermaksud kesukaran/kesusahan dan lexis yang bermaksud bahasa atau pertuturan. Jadi apabila ia digabungkan, ia membawa maksud kesukaran atau kesusahan dalam bahasa. Secara literalnya, dyslexia bermaksud kesukaran dalam bahasa. 

In 1887, the word “dyslexia” was coined by Berlin, a German doctor, from 2 Greek words : Dys ( difficulty ) and Lexia ( the use of words ).




Beberapa definisi disleksia.

Definisi Pertama
Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia

Murid-murid disleksia ialah murid-murid yang mengalami masalah pembelajaran yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran mengeja, membaca dan menulis.

Definisi kedua
World Federation of Neurology pada tahun 1986
a disorder manifested by difficulty in learning to read despite conventional instruction, adequate intelligence and sociocultural opportunity. 
Disleksia ialah satu kecelaruan pada kanak-kanak di mana, meskipun mereka melalui pengalaman bilik darjah konvensional, gagal menguasai kemahiran bahasa seperti membaca, menulis dan mengeja yang selaras dengan kemampuan intelektual mereka. (terjemahan)

Definisi ketiga
National Institute of Neurological Disorders and Stroke
Dyslexia is a brain-based type of learning disability that specifically impairs a person's ability to read. These individuals typically read at levels significantly lower than expected despite having normal intelligence. Although the disorder varies from person to person, common characteristics among people with dyslexia are difficulty with spelling, phonological processing (the manipulation of sounds), and/or rapid visual-verbal responding. In adults, dyslexia usually occurs after a brain injury or in the context of dementia. It can also be inherited in some families and so on, and recent studies have identified a number of genes that may predispose an individual to developing dyslexia.

Definisi keempat
Persatuan Disleksia Malaysia

Dyslexia is a reading difficulty in a child or adult who otherwise has good intelligence, strong motivation and adequate schooling……Dyslexia reflects a problem within the language system in the brain” (Shaywitz, 2003)

Definisi kelima
A.D.A.M. Medical Encyclopedia.
Developmental reading disorder, also called dyslexia, is a reading disability that occurs when the brain does not properly recognize and process certain symbols. 

SUMBER

Persatuan Disleksia Malaysia
Pubmed Online Jurnal
What's It Like Being Dyslexic (Video)
Buku Pengantar Pendidikan Khas
Buku Apa Itu Disleksia



Keperluan 7 Hari Berkursus dan Kaedah Pengiraan Hari Berkursus Bagi Penjawat Awam

Semua penjawat awam perlu menghadiri kursus sekurang-kurangnya tujuh (7) hari setahun. Keperluan 7 hari berkursus setahun ini termaktub di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2005 - Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam. 

Entri ini sebenarnya ada perkaitan dengan entri tentang eSPLG - Sistem Pengurusan Latihan Guru yang  saya tulis sebelum ini.


Kenapa perlu berkursus?
Menyedari pentingnya usaha-usaha pembangunan sumber manusia dalam sektor awam, Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam telah ditetapkan iaitu setiap anggota perkhidmatan awam perlu melengkapkan diri / dilengkapkan dengan sikap (attitude), kemahiran (skills) dan pengetahuan (knowledge) yang bersesuaian, melalui program pembangunan sumber manusia yang terancang yang berteraskan pembangunan kompetensi dan pembelajaran berterusan.

sekadar hiasan

7 hari setahun? Bagaimana pengiraannya?

Ada 3 kaedah atau cara:

1. Latihan - kursus, seminar, konvensyen, bengkel, forum, simposium, kolokium, lawatan rasmi/korporat/sambil belajar, klinik kaunseling.
6 jam berterusan = 1 hari berkursus 
(tidak terhad tetapi terpakai bagi kursus jangka pendek tidak melebihi 3 bulan sahaja).
2. Sesi pembelajaran - Executive Talk, perhimpunan bulanan anjuran jabatan, sesi perkongsian ilmu, menyampaikan ceramah dan sebaginya.
6 jam terkumpul = 1 hari berkursus 
(maksima 5 hari/30 jam terkumpul setahun)
3. Pembelajaran kendiri - pembacaan buku atau bahan ilmiah
1 pembentangan = 1 hari berkursus 
(maksima 3 hari setahun)

Kaedah pembacaan buku (Book Review)
  • Sekiranya tidak memenuhi keperluan 7 hari berkursus dalam setahun (maksudnya tak cukup 7 hari atau 42 jam)
  • Bilangan buku bergantung kepada bilangan hari kursus yang diperlukan bagi mencukupkan 7 hari.
  • Melibatkan pembentangan dan penulisan sinopsis buku yang dibaca. 
  • Pembentangan mengambil masa antara 10 - 15 minit.
  • Pembentangan boleh dilakukan semasa mesyuarat, perhimpunan bulanan yang dipengerusikan oleh Ketua Jabatan atau orang yang lebih kekanan pangkatnya.
  • Pembentangan melibatkan sesi soal-jawab.

[DOWNLOAD] Garis Panduan eSPLG atau Sistem Pengurusan Latihan Guru


Sistem Pengurusan Latihan Guru atau eSPLG merupakan sistem aplikasi secara atas talian (on-line) yang dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) untuk mengurus, mentadbir dan merekod semua maklumat/data latihan yang dihadiri oleh warga guru. 

Sebelum ini, para guru menggunakan kad kecil yang berwarna biru untuk merekod latihan seperti kursus, bengkel, taklimat, seminar, konvensyen, forum, simposium, lawatan sambil belajar atau lawatan rasmi yang dihadiri sama ada yang diadakan di luar sekolah atau di dalam sekolah. Kad pelaporan ini perlu diisi secara manual. Kad pelaporan ini kecil, maka guru-guru selalunya akan terpaksa membuat salinan terlebih dahulu sebelum mengisinya sebagai persediaan awal mengelak "liquid" digunakan.




Kenapa eSPLG penting? 
SPLG dibangunkan bagi mengurus, mentadbir dan merekod semua maklumat/data latihan yang dilaksanakan di peringkat pelaksana di samping merekod kursus-kursus, sesi pembelajaran dan pembelajaran kendiri yang dihadiri oleh guru-guru melalui modul Kehadiran Kursus Luar (KKL) dan modul ‘Book Review’ (BR).

Bila mula guna eSPLG? 

Merujuk kepada surat siaran KPM bertarikh 10 Julai 2012 -
PELAKSANAAN PENGGUNAAN SISTEM PENGURUSAN LATIHAN GURU (SPLG)
Sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Bil. 3/2011 pada 15 November 2011 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan bahawa sistem pengurusan latihan guru iaitu Sistem Pengurusan Latihan Guru (SPLG) sahaja digunakan untuk mengumpul maklumat tentang kursus dan latihan guru.

Surat Siaran ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memberi makluman mengenai pelaksanaan penggunaan Sistem Pengurusan Latihan Guru (SPLG) kepada semua Bahagian, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai satu sistem yang menguruskan semua pentadbiran kursus dan latihan dalam perkhidmatan bagi semua guru dan warga pendidik Kementerian Pelajaran Malaysia.

Apa yang perlu guru lakukan?
  1. Mendaftar eSPLG di alamat URL berikut http://apps1.moe.gov.my/splg/
  2. Pilih Modul Individu, kemudian klik pada ikon Modul Individu. Anda akan dibawa ke capaian baru untuk pendaftaran iaitu http://apps1.moe.gov.my/splg/i_SPLG/index.cfm
  3. Login menggunakan nombor Kad Pengenalan tanpa ada tanda sempang (-). Kata laluan adalah 4 digit terakhir nombor K/P anda. Selepas berjaya login, kata laluan boleh ditukar kepada yang baru dengan memilih menu tukar kata laluan.
  4. Kemaskini eProfil - pilih profil 1
  5. Daftar kehadiran kursus luar (KKL) iaitu kursus yang dihadiri di luar sekolah seperti di PPD, JPN.
  6. Daftar Book Review (BR) jika keperluan 7 hari kursus setahun tidak mencukupi.
  7. Semak dan cetak pelaporan.

Untuk maklumat yang lebih jelas, anda boleh muat turun bahan-bahan berikut di Folder eSPLG atau di Portal rasmi eSPLG.
  1. Garis panduan SPLG
  2. Modul Individu eSPLG
  3. Modul eProfil
  4. Pelaksanaan kaedah latihan pembacaan buku (Book Review)
  5. Kaedah pengiraan hari berkursus
  6. Nota tentang eSPLG dalam bentuk slaid powerpoint

Blog Cikgu Hijau Berwajah Baru Bersempena Menyambut Tahun Baru 2013



Blog Cikgu Hijau berubah wajah sempena nak menyambut tahun baru 2013 tak lama lagi. Kali ini BCH menggunakan simple template. Dengan latarbelakang dot-dot yang berwarna hijau, BCH rasanya nampak sesuai dengan namanya dan pemilik blog yang menggemari warna hijau yang memberikan perasaan cool.

Mungkin selepas ini BCH akan menghias diri supaya nampak lebih menarik dengan header baru...insyaAllah. Sudah lama saya mengidam mahu membina header blog tetapi tidak berkesempatan (maklumlah tak berapa pandai...sebenarnya tak pandai pun...tapi takpe, boleh belajar).

Hari ini juga saya telah belajar satu perkara baru iaitu cara membuat print screen.  Alhamdulillah ia berjaya juga setelah beberapa kali mencuba. Semunya disebabkan saya hendak tunjukkan layout template baru saya di blog ini.

Itulah...USAHA TANGGA KEJAYAAN!

Garis Panduan dan Senarai Pekeliling Berkaitan Dengan Program Pemulihan Khas (kemaskini)

Garis Panduan Guru Pemulihan Khas

Terdapat garis panduan dan beberapa bahan rujukan yang boleh digunakan oleh GPK dalam melaksanakan dan mentadbir program pemulihan khas.

  1. Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012, Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, KPM.(Edisi terkini)
  2. Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2008 , Unit Pemulihan Khas, Jabatan Pendidikan Khas, KPM. (Edisi Percubaan)
  3. Buku Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M), Jabatan Pendidikan Khas, KPM, 1999. (cetakan kedua 2003). Buku ini mengandungi set soalan ujian saringan, ujian diagnostik, ujian pengamatan dan ujian pencapaian bagi mata pelajaran BM dan Matematik.

KPM


Punca dan Bidang Kuasa Guru Pemulihan Khas


1) Surat Siaran Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Bil. KP(BS) 8594/PK/Jld. II(32) bertarikh 22 Januari 1985 (Guru Khas Pendidikan Pemulihan)

2) Surat Siaran Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Bil. KP(BS) 8502/5/PK/Jld V(26) bertarikh 28 Januari 1986 (Kelas Khas Pemulihan Di Sekolah Rendah)

3) Surat Siaran Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Bil. KP(BS) 8502/5/PK/Jld V(29) bertarikh 17 Mac 1986 (Pengawasan dan Penyeliaan Program Pemulihan)

4) Surat Siaran Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Bil. KP(BS) 8502/5/PK/Jld V(34) bertarikh 30 Jun 1989 (Guru Khas Pemulihan dan Penubuhan Kelas Khas Pemulihan di Sekolah Rendah)

5) Surat Siaran Bahagian Perkembangan Kurikulum KP(BPK)400-32/6 jld.3(61) [Pelaksanaan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) Tahap 1 Di Sekolah Randah]

6) Surat Siaran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KP(BPSH-SPDK)201/005/02 jld. 4(1)bth. 23 Mac 2012 [Tatacara Pelaksanaan Saringan dan Tahap Penguasaan Literasi dan Numerasi (LINUS) Murid Tahap 1, Sekolah Rendah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)]

7) Surat Siaran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KP(BPSH-SPDK)201/005/02 jld. 4(18)bth.3 Julai 2012 (Guru Pemulihan di Bawah NKRA Pendidikan - LINUS)

8) Surat Siaran Bahagian Pendidikan Khas KPM.BPKHAS.300-2/2/3(24)bth. 29 Oktober 2012 (Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012)

[DOWNLOAD] Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012

Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan Surat Siaran Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas Tahun 2012 sebagai panduan yang jelas dalam melaksanakan Program Pemulihan Khas di sekolah dengan berkesan. Surat Siaran ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan. Surat siaran tersebut iaitu KPM.BPKHAS.300-2/2/3 (24) bth. 29 Oktober 2012 berkuatkuasa mulai 29.10.2012.

Bagi memudahkan Guru Pemulihan Khas, garis panduan ini boleh dicapai melalui internet di Portal Rasmi Bahagian Pendidikan Khas mulai 1 Disember 2012.



MUAT TURUN


Penambahbaikan utama garis panduan 2012
  1. Melibatkan murid tahap 1 (LINUS) dan murid tahap 2 (PROTIM).
  2. Pelaksanaan PBS (penilaian berasaskan sekolah) ke atas murid pemulihan.
  3. Pengurusan fail :
                          Tahap 1 - mengikut sistem fail dalam program LINUS
                          Tahap 2 - mengikut garis panduan 2012








Kredit: 

[DOWNLOAD] Jadual Pembayaran Gaji Tahun 2013

Baca dengan senyuman!

Jabatan Akauntan Negara telah mengeluarkan jadual pembayaran gaji bulanan bagi kakitangan awam bagi gaji tahun 2013 melalui Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM Bilangan 4 Tahun 2012).


MUAT TURUN

Jadual Pembayaran Gaji Kakitangan Awam Tahun 2013


Kredit to mediasantai.com

[DOWNLOAD] Kalendar Tahun 2013

Kalendar ini agak menarik disebabkan ia mengandungi cuti umum bagi negeri dan persekutuan, cuti sekolah bagi Malaysia dan Singapura.

Untuk cetak atau simpan.

Klik IMEJ untuk besarkan, kemudian right click dan pilih 'save image as'.
 





































[DOWNLOAD] Cuti Umum Tahun 2013













Baca dengan senyuman!

Cuti umum bagi setiap negeri di Malaysia:

# Hari Kelepasan Am Persekutuan 2013 (Klik untuk download)

[DOWNLOAD] Cuti Sekolah & Kalendar Persekolahan 2013

Sesiapa yang ingin tahu tarikh cuti sekolah pada tahun 2013 bolehlah merujuk kepada perincian penggal persekolahan 2013 yang telah dikeluarkan oleh KPM pada bulan Oktober lepas.

Bagi negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu, persekolahan akan bermula pada 1 Januari 2013. Bagi negeri selain Kelantan, Kedah dan Terengganu, persekolahan akan bermula pada 2 Januari 2013.


MUAT TURUN

Perincian penggal persekolahan 2013

Takwim bagi negeri kumpulan B



[DOWNLOAD] Pekeliling Bayaran Khas Prestasi Kali Kedua Tahun 2012 (Bonus)

Sila baca dengan senyuman!

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling perkhidmatan bilangan 2/2012 yang berkaitan dengan pembayaran bonus bagi tahun 2012 seperti yang telah diwar-warkan semasa pembentangan bajet 2013 yang lalu.















Imbuhan Tahunan dan Bayaran Khas Prestasi Kali Kedua tahun 2012  
Klik di bawah untuk muat turun surat pekeliling









Happy First Birthday to Blog Cikgu Hijau | Semoga Hidup Lebih Dirahmati

Genap setahun sudah usia Blog Cikgu Hijau sejak posting pertama saya pada 26.11.2011. Cepat sungguh masa berlalu. Harapan saya, isi kandungan blog ini akan terus memberi manfaat kepada rakan-rakan pembaca dan pengunjung yang singgah.


Selamat Hari Jadi Blog Cikgu Hijau!


[DOWNLOAD] Lembaran Kerja Perkataan KVKV (12 Lembaran Kerja)

Salam semua.

Silakan muat turun jika bermanfaat.




Panduan penggunaan

Latihan ini diberikan selepas P&P dijalankan dan semasa menjalankan ujian tahap penguasaan. Gambar yang terdapat dalam latihan adalah sama seperti gambar yang diajar semasa P&P dengan menggunakan tayangan slaid powerpoint.

Mula-mula saya beri kepada murid lembaran kerja yang mempunyai pilihan jawapan. Murid akan mengisi petak kosong berdasarkan jawapan yang diberi.

Jikalau murid dapat menjawab hampir ke semua soalan dengan betul, barulah saya akan memberikan mereka bahagian yang kedua yang tidak mempunyai pilihan jawapan. Jika tidak, murid akan mengulangi menjawab lembaran kerja yang sama sehinggalah jawapan mereka betul sekurang-kurangnya 12 perkataan.

Ia bertujuan untuk mengukuhkan ingatan murid selain untuk memastikan murid benar-benar menguasai kemahiran mengeja dan menulis perkataan KVKV yang diajar.

Harap membantu.


Pembinaan Jadual Waktu Kelas dan Subjek Menggunakan Perisian aSc TimeTables

Salam sejahtera.

Cuti akhir tahun 2012 sudah pun bermula namun bagi guru yang bertanggungjawab membina dan menyusun jadual waktu kelas serta mata pelajaran, waktu cuti sekolah hampir tidak dapat dirasai sehinggalah tugas membina jadual waktu siap sepenuhnya.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai guru yang terlibat membina jadual waktu, perkara akan menjadi rumit dan amat membebankan jika tugasan diberikan dan perlu disiapkan dengan seberapa segera. Pembinaan jadual waktu akan bertambah 'memeningkan kepala' apabila terdapat perubahan di saat-saat akhir.

Pada tahun ini, saya diberikan draf agihan dan pecahan waktu mengajar guru mengikut kelas dan mata pelajaran selepas keputusan pertukaran guru dikeluarkan pada 3/11/2012 untuk memastikan tiada perubahan pada jadual berlaku. Kemudian, apabila draf dipaparkan kepada semua guru, ada dalam kalangan guru yang tidak berpuas hati dan akhirnya ia dirombak semula. Begitulah senario proses pembinaan jadual waktu yang 'memenatkan'.

Akhirnya waktu cuti sekolah menjadi waktu yang paling sesuai untuk membina jadual waktu dengan tenang dan tanpa diganggu.
 

Perisian aSc TimeTables




Dalam membina jadual waktu, pelbagai cara dan kaedah akan digunakan untuk menyusun jadual waktu kelas serta mata pelajaran supaya jaudal waktu tersebut mengikuti standard yang telah ditetapkan serta memastikan jadual waktu tersebut tidak bertembung dengan guru-guru lain dalam satu kelas yang sama. 

Ia adalah tugas yang amat rumit dan memerlukan pemerhatian serta kecekapan yang tinggi. Apatah lagi kalau jumlah guru yang sedikit dan pembahagian mata pelajaran tidak adil. Tentu amat menyulitkan.

Namun, masalah ini dapat dikurangkan dan pembinaan jadual waktu menjadi lebih terancang dan mudah dengan menggunakan perisian aSc Time Tables. Perisian ini boleh digunakan dengan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia. Ini akan memudahkan penguna memahami cara mengunakan perisian ini. Bagi pengguna baru, tutorial juga ada disertakan. Tutorial ini akan mengajar pengguna menggunakan perisian ini dengan betul.

Perisian aSc TimeTables boleh dimuat turun secara percuma namun mempunyai banyak kekurangan iaitu banyak fitur (features) tidak aktif. Perisian versi percuma ini sudah cukup bagi membina jadual waktu namun adalah lebih baik ia dibeli untuk mendapat perisian yang lebih lengkap.

Pembinaan Draf Jadual Waktu


Terdapat beberapa langkah awal yang perlu dilakukan secara manual. Antaranya ialah:

1. Penentuan guru-guru kelas.
 
2. Penelitian terhadap prasyarat-prasyarat khas yang ditentukan seperti di dalam pekeliling khususnya KSSR dan KBSR.
 
3. Prasyarat khusus untuk GB, GPK, Guru Penyelaras Bestari, Guru Data, Guru Perpustakaan & Media, Guru Disiplin dan yang berkaitan.
 
4. Prasyarat pembahagian susunan dan berapakah waktu single dan double.
 
5. Prasyarat dalaman seperti menggabungkan 2 kelas Pendidikan Moral menjadi 1 kelas sahaja pada waktu Pendidikan Islam.
 
6. Menentukan guru yang berpasangan, seperti guru jQAF dan Guru Pemulihan Khas.
 
7. Mentiadakan waktu PJ pada hari Isnin kerana perhimpunan rasmi.
 
8. Menjadikan kelas PJ tahap 2 serentak 3 atau 2 kelas dengan diajar oleh guru lelaki dan guru perempuan supaya memungkinkan pengasingan murid L/P jika diperlukan.
 
9. Menjadikan kelas B. Cina 1 kelas dan B. Tamil 1 kelas pada waktu serentak dengan waktu B. Arab.
 
10. Penetapan kelas ke bilik-bilik khas seperti makmal komputer, makmal sains, bilik moral, bilik pemulihan.
 
11. Menyediakan draf induk secara manual atau dalam microsoft excell yang mengandungi:
 
  • Kolum 1: Kelas-kelas dari darjah 1 hingga 6
  • Kolum 2: Guru kelas masing-masing
  • Kolum 3: Guru-guru untuk subjek BM
  • Kolum 4: Guru-guru untuk subjek BI dan subjek-subjek seterusnya.

Pembinaan Jadual Waktu Menggunakan Perisian aSc TimeTables


1. Download aSc software di sini (free unlimited trial!). Lebih baik perisian dibeli melalui pengedar yang sah.
2. Install
3. Mulakan software
4. Semak tutorial
5. Mulakan satu jadual baru (create new)
6. Isikan data asas
7. Isikan data semua matapelajaran
8. Isikan data semua kelas
9. Isikan data semua bilik khas spt makmal, bilik media dll
10. Isikan data semua nama guru
11. Isikan data pengajaran (lessons)
12. Semak semua data mengikut peruntukan KBSR dan KSSR.
13. Uji dan jana (Test & generate)
14. Jadual pun siap. ( jadual boleh dimurnikan lagi secara manual)


Perincian Data Input


Perkara penting:
 
1. Bagaimana saya boleh menyusun data guru, kelas, matapelajaran dan bilik khas mengikut susunan abjad?
 
2. Time-off, iaitu waktu rehat guru yang boleh ditetapkan secara khusus.

Data Mata Pelajaran

 
1. Menentukan waktu: single, double atau mungkin triple period.
 
2. Menentukan sesuatu matapelajaran di Bilik Khas spt Makmal Sains.

3. Menentukan time-off bagi sesuatu mata pelajaran seperti menghalang P. Jasmani (PJ) yang tidak sesuai pada hari Isnin kerana murid diwajibkan berpakaian rasmi pada hari Isnin. Manakala P. Kesihatan dibolehkan.

Data Kelas 


1. Menentukan time- off iaitu waktu rehat kelas terutamanya perbezaan bagi tahap 1 dan tahap 2.
 
2. Menentukan Division, iaitu pembahagian murid di dalam kelas kepada beberapa kumpulan spt murid P.Islam dan Murid P.Moral, mungkin juga murid pemulihan.
 
3. Menentukan Joint kelas, iaitu penggabungan 2 division menjadi satu kelas, spt menggabungkan dua atau tiga kelas P.Moral menjadi satu kelas yang berasingan pada waktu yang sama.

Data Guru


1. Menentukan Time- off iaitu waktu rehat guru terutamanya GB, GPK dan guru tahap 1 dan 2.
 
2. Menentukan guru-guru kelas.
 
3. Menyemak jumlah waktu mengajar setiap guru dalam seminggu.
 
4. Menentukan jumlah waktu mengajar maksima guru dalam sehari supaya tidak lebih 8 waktu.
 
5. Menentukan nama ringkas guru.

[DOWNLOAD] Pekeliling Guru Pemulihan Di Bawah NKRA Pendidikan - LINUS
















Klik di bawah untuk muat turun pekeliling

Antara isi kandungan Surat Siaran Kementerian Pelajaran Malaysia Bilangan 24 Tahun 2012 bertarikh 3 Julai 2012 (Guru Pemulihan Di Bawah NKRA Pendidikan - LINUS)

1) Makmal NKRA Pendidikan telah mencadangkan supaya dibuat penambahbaikan terhadap nisbah guru pemulihan di sekolah-sekolah, daripada seorang guru pemulihan di setiap sekolah kepada guru pemulihan  bagi 15 orang murid yang tidak menguasai asas literasi dan numerasi. Dalam hal ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Januari 2012 telah bersetuju supaya semua cadangan Makmal NKRA Pendidikan dilaksanakan. 

2) Murid tahap 1 yang tidak menguasai literasi dan numerasi ialah murid yang tidak melepasi konstruk 12 bagi literasi dan numerasi.

3) Murid tahap 2 yang tidak menguasai literasi dan numerasi ialah murid yang masih tidak boleh membaca, menulis dan mengira berdasarkan ketetapan yang diguna pakai sebelum LINUS dilaksanakan.

4) Penempatan guru pemulihan di semua sekolah adalah menggunakan nisbah seorang guru pemulihan kepada 15 orang murid yang masih tidak menguasai literasi atau numerasi termasuk murid tahap 2 (sekiranya ada).

5) Sekiranya sekolah mempunyai murid yang tidak menguasai literasi atau numerasi kurang daripada 15 orang, maka sekolah tersebut layak menerima hanya seorang guru pemulihan sahaja.

6) Jika sekolah mempunyai murid yang tidak menguasai literasi atau numerasi melebihi 15 orang tetapi kurang 30 orang, maka sekolah tersebut layak menerima hanya seorang guru pemulihan. Namun sekiranya genap 30 orang murid, maka sekolah tersebut layak menerima 2 orang guru pemulihan.

7) Semua JPN, PPD dan sekolah hendaklah memastikan bahawa semua guru yang dilantik sebagai guru pemulihan mempunyai opsyen pemulihan atau sekurang-kurangnya telah mengikuti latihan untuk mengajar kelas pemulihan.

8) Dengan berkuatkuasanya surat siaran ini, maka surat siaran KPM.BPKHAS.300-2/212 bertarikh 4 Ogos 2010, Peranan Guru Pemulihan Khas Dalam Pelaksanaan Program LINUS adalah terbatal. 



Petua Buat Para Guru


Ingatan untuk diri saya: 

 
"Kalau guru mengajar sambil duduk 
Murid belajar sambil mengantuk
 
Kalau guru mengajar sambil berlakon
Murid belajar dengan tekun
 
Kalau guru mengajar tanpa alat
Murid belajar dengan ralat
 
Kalau guru mengajar banyak bercakap
Ada murid bertambah gagap
 
Kalau guru menjadi pemudah cara
 Ramai murid pandai berbicara
 
Kalau guru mengajar tanpa menilai
Takkan tahu murid bodoh dan pandai
 
Kalau guru berbudi bahasa
Dikenang murid sepanjang masa.."
 
 
 
 
"Guru jangan sekali-kali menganggap dirinya 
orang yang paling berjasa kepada pelajar, 
sekalipun pelajar berterima kasih kepadanya. 
 
Sebaliknya dia hendaklah menganggap 
pelajarnya berjasa kepadanya kerana 
dengan adanya mereka, ia dapat mendekati Allah 
dengan menanamkan ilmu kepada mereka..."
 
 
kredit
http://myhemsmti.blogspot.com