Kursus Pembinaan Jadual Waktu Sekolah Tahun 2012

 

Salam sejahtera.

Pada 24 November 2011 bersamaan hari Khamis yang lepas, saya telah menghadiri satu kursus iaitu kursus bagaimana hendak menjana jadual waktu kelas dan individu (setiap guru) bagi  kegunaan tahun 2012. Kursus ini dianjurkan oleh Majlis Pemuafakatan Guru Penolong kanan (MEKAR) PPD Petaling Perdana.

Ia diadakan di SK Dato Onn Jaafar, Kompleks Sekolah Wawasan, USJ 15, Subang Jaya, Selangor. Kursus bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 3.30 petang di auditorium sekolah tersebut.

Kursus ini memang amat berguna terutamanya kepada guru-guru yang terlibat dengan pembinaan jadual waktu di sekolah. Ia menggunakan sejenis perisian antarabangsa iaitu aSc  Timetables. Saya sebagai Penyelaras Jadual Waktu Sekolah bertanggungjawab untuk menyiapkan dan seterusnya mengedarkan jadual waktu sebelum 7 hari sesi persekolahan 2012 bermula.

Waduh, stress-stress!

Semasa hari kursus, saya hanya sempat memasukkan data mentah seperti nama setiap guru, matapelajaran yang akan diajar dan nama setiap kelas yang terlibat. Saya tidak sempat pun untuk menjana jadual waktu semasa kursus. Hampir kesemua guru mengalami keadaan yang sama seperti saya, tambah-tambah lagi guru-guru sekolah menengah. Dalam hati saya berbisik, alangkah beruntungnya saya kerana menjadi guru sekolah rendah.

Ada beberapa perkara yang membuatkan saya sedikit terkilan dengan pihak penganjur, antaranya :

1. Hampir semua peserta menggunakan komputer riba (notebook , laptop) manakala tempat duduk yang disediakan adalah kerusi yang mempunyai meja kecil bahagian tepi. Saiz komputer riba saya yang besar memang menyukarkan saya untuk melakukan kerja yang sepatutnya.

2. Bilangan peserta kursus yang ramai menambahkan lagi 'kesesakan' di dalam bilik tempat kursus.

3. Wayar-wayar penyambung ke komputer riba masing-masing berselerakan di atas lantai yang tidak sama aras ketinggiannya.

4. Kedudukan kerusi sangat rapat antara satu sama lain. Pendek kata sesak nafas saya dibuatnya.

5. Penceramah kelihatan kurang bersedia sehingga beliau lupa cara-cara bagaimana hendak mengoperasikan sistem tersebut pada bahagian-bahagian tertentu. (Fuhh!)

Walau apapun, saya berterima kasih kepada pihak MEKAR atas usaha mereka membantu para guru yang dilantik sebagai AJK Jadual Waktu Sekolah dalam membina jadual waktu dengan lebih sistematik dan mudah.