Pelancaran Syiling Kenangan 100 Tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia Oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah

Sempena sambutan 100 Tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Bank Negara Malaysia mengeluarkan dua (2) jenis duit syiling peringatan/ kenangan. Syiling tersebut telah dilancarkan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) pada 28 Mei 2016, Sabtu bersempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPPM 2015/2016 yang turut dihadiri isteri perdana menteri yang juga Yang Dipertua PPPM, Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Majlis Pelancaran (Ihsan: Utusan Malaysia)

Menurut Bank Negara Malaysia, syiling kenangan tersebut berwarna emas dan perak. Duit syiling berwarna perak bernilai muka RM10 dan dijual pada harga RM212 sekeping sementara yang berwarna keemasan bernilai RM1 dan dijual pada harga RM10.60 setiap keping. Ia juga boleh diperoleh bersama dalam satu set yang dijual pada harga RM265.




Semua Duit Syiling Peringatan (asli) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia adalah wang yang sah (legal Tender) dan boleh digunakan sebagai medium pembayaran. Bank Negara Malaysia menjamin akan membayar 100% nilai muka sekiranya ianya dikembalikan/ dipulangkan kepada BNM.

Namun, jika anda ingin mendapatkan nilai mukanya, adalah lebih bijak untuk menyerahkannya kepada pengumpul duit lama untuk mendapatkan nilai tambahan.

Duit syiling ini akan mula dijual pada 6 Jun 2016 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG), pejabat wilayah Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching serta cawangan di Kuala Terengganu.


Sumber:
  1. http://www.theborneopost.com/2016/05/29/tuanku-haminah-lancar-syiling-kenangan-100-tahun-pandu-puteri/
  2. http://www.sinarharian.com.my/nasional/permaisuri-agong-lancar-syiling-kenangan-pandu-puteri-1.526154
  3. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/permaisuri-agong-lancar-syiling-kenangan-100-tahun-pandu-puteri-1.335732
  4. http://www.kedahnews.com/2016/05/tuanku-hajah-haminah-dua-kanan-berkenan.html
  5. http://www.malaysiancoin.com/2016/05/pelancaran-syiling-100-tahun-pandu.html
  6. http://numiscat.blogspot.my/2016/05/mycc-2016d-100-tahun-persatuan-pandu.html