Tajaan Sambung Belajar Program HLP/CBBP TB/HLPS Peringkat Ijazah Sarjana & Kedoktoran (Master, PhD, EdD) Untuk Guru KPM Ambilan Tahun 2023

Setiap tahun KPM akan membuka permohonan program penajaan pengajian pascasiswazah peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran (Master, PhD, EdD) kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP). Bagi pengambilan tahun 2023, hebahan permohonan telah dibuat di laman web KPM. 

Terdapat sedikit perbezaan berbanding pengambilan tahun 2022 iaitu tiada program CBBP TB (Cuti belajar bergaji penuh tanpa biasiswa) ditawarkan pada tahun saya memohon iaitu tahun 2021. Pada tahun 2021, hanya HLP dan HLPS ditawarkan, namun alhamdulillah rezeki telah ditakdirkan untuk saya yang pertama kali memohon kerana saya ditawarkan HLP iaitu cuti belajar bergaji penuh dan dengan biasiswa.


Pada hemat saya, ini bermaksud berkemungkinan lebih banyak kouta pengambilan akan dibuka kerana adanya program CBBP TB (Cuti belajar bergaji penuh tanpa biasiswa) ditawarkan.

Kawan-kawan semua, ayuh sambut segala peluang yang ada yang disediakan untuk mempertingkatkan diri, keluar dari zon selesa dan kebiasaan harian, mencabar diri dan mungkin atas apa sahaja matlamat yang kita sendiri sahaja yang tahu dan faham.

Saya kongsikan di sini beberapa maklumat penting sebagai persediaan awal kepada para guru yang berminat ingin memohon.

1. Jenis Program Penajaan


a) HLP: Hadiah Latihan Persekutuan (CBBP DB)

- cuti belajar sepenuh masa (full time)
- dikenali juga sebagai cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa
- cuti belajar bergaji penuh - gaji sebagai guru dibayar seperti biasa kecuali elaun pemangkuan tertentu
- ada biasiswa untuk yuran pengajian, elaun sara hidup (duit poket tambahan sebagai student), elaun buku, elaun tesis, elaun alat perkakas dan beberapa lagi elaun


b) CBBP TB: Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa

- cuti belajar sepenuh masa (full time)
- cuti belajar bergaji penuh - gaji sebagai guru dibayar seperti biasa kecuali elaun pemangkuan tertentu
- tiada biasiswa 


c) HLPS: Hadiah Latihan Persekutuan Separuh Masa/Sambilan

- tiada cuti belajar - bekerja seperti biasa
- ada biasiswa untuk yuran pengajian, elaun buku, elaun tesis


Kemudahan yang ditawarkan melalui HLP dan HLPS

Kouta pengambilan tahun 2022

2. Tempoh Penawaran


Buka: 23 Disember 2022, Jumaat, 3 petang
Tutup: 20 Januari 2023, Jumaat, 5 petang

3. Peringakat Pengajian (berdasarkan permohonan 2022)


a) Ijazah Sarjana (Master)
b) Ijazah Kedoktoran (PhD dan EdD)

4. Syarat Had Umur (berdasarkan permohonan 2022)


a) Ijazah Sarjana - tidak melebihi 50 tahun
b) Ijazah Kedoktoran - tidak melebihi 45 tahun

5. Syarat-Syarat Lain (berdasarkan permohonan 2022)


  • Tempoh perkhidmatan - sekurang-kurangnya 3 tahun
  • Jawatan - tetap, telah disahkan perkhidmatan
  • Purata Markah PBPPP - 85% dan ke atas tiga tahun berturut-turut
  • Status kesihatan - tiada penyakit kronik

6. Cara Memohon


Permohonan dibuat secara online melalui laman web e-Penawaran mulai tarikh tawaran dibuka iaitu pada 23 Disember 2022, jam 3 petang hari Jumaat sehingga 21 Januari 2023. 


7. Persiapan Awal & Tips


a) Sinopsis cadangan penyelidikan - tajuk kajian, permasalahan kajian, metodologi kajian

b) Bidang yang dipohon - mengikut opsyen guru yang bersesuaian

c) Sumbangan kepada perkhidmatan 3 tahun terkini - peringkat daerah/ kebangsaan/ antarabangsa

d) Penulisan/ Penerbitan 3 tahun terkini 
  • artikel, artikel jurnal, prosiding, buku, kajian tindakan, kajian ilmiah

e) Sokongan PGB (Pengetua/Guru Besar)


Sumber:

1. KPM: HLP KPM
2. Laman web e-Penawaran: https://epenawaran.moe.gov.my/