Sebagai guru yang terlibat dengan murid-murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran khususnya saya sebagai guru Pemulihan Khas yang terlibat secara langsung dengan murid-murid yang tidak dan sukar menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M), adalah penting untuk guru mengetahui prosedur, tatacara atau langkah-langkah membuat pengesahan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) atau sekurang-kurangnya tahu di manakah tempat yang boleh ibu bapa pergi untuk merujuk anak mereka kepada pakar atau pengamal perubatan.
Salah satu tempat yang sesuai adalah Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK). Pusat 3PK merupakan pusat khidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyediakan perkhidmatan sokongan berbentuk saringan/ penilaian, terapi, konsultasi, latihan atau khidmat sokongan di sekolah kepada kanak-kanak/ murid berkeperluan khas.
Secara umumnya, proses saringan di 3PK beroperasi mengikut janji temu pada waktu pejabat. Tiada sebarang caj dikenakan bagi setiap sesi janji temu kerana perkhidmatannya disediakan secara PERCUMA. Saya berpengalaman membawa seorang anak murid saya ke pusat 3PK di Putrajaya untuk menjalani saringan MBPK. Pada ketika itu murid tersebut berada di tahun 5. Selepas beberapa kali temu janji untuk melengkapkan proses saringan, akhirnya murid tersebut disahkan sebagai MBPK oleh doktor di sebuah hospital kerajaan, walaupun pada ketika itu anak murid saya sudah berumur 12 tahun. Bekas anak murid saya kekal di sekolah asal sehingga berumur 14 tahun dan mengikuti Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) yang ada di sekolah kerana mengambil tempoh pelanjutan 2 tahun di sekolah rendah sebagai salah satu keistimewaan MBPK.
Para ibu bapa yang berkeperluan untuk mengetahui masalah yang dihadapi anak masing-masing, khususnya masalah dalam pembelajaran, bolehlah merujuk kepada pusat 3PK yang berhampiran di negeri masing-masing. Selain pusat 3PK, ibu bapa juga boleh merujuk anak ke klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan.
Sila rujuk info yang dilampirkan di bawah ini untuk maklumat lanjut.
Sumber: Pusat 3PK
No comments:
Post a Comment