Lima (5) Nota Penting Tentang Disleksia

Hi semua! Salam #PKPB hari ke-84, hari terakhir. Esok 10 Jun 2020 bermulanya #PKPP dan kita semua sudah boleh merentas negeri.

Di sini saya kongsikan beberapa info berkaitan dengan disleksia hasil pembacaan jurnal penyelidikan. Sila kongsikan jika ia bermanfaat.

Memahami disleksia

Nota 1: Apa itu Disleksia
Menurut Persatuan Disleksia Antarabangsa, disleksia merujuk aspek kesukaran membaca. Kegagalan membaca terjadi kerana mereka tidak dapat menterjemahkan dengan betul lambang bertulis, sama ada dalam huruf itu sendiri, dalam suku kata ataupun dalam perkataan. 

Individu disleksia berfikiran multidimensi, iaitu mempunyai intuisi yang kuat dan kreatif dalam menyelesaikan masalah. Mereka sangat cemerlang dalam aktiviti “belajar dan melakukan (hands-on)”, tetapi agak sukar untuk berhadapan dengan angka, nombor, simbol dan perkataan. 

Menurut Gupta, terdapat dua juta kes disleksia di seluruh Malaysia, iaitu 25 peratus daripada populasinya melibatkan pelajar sekolah. Walau bagaimanapun, melalui sistem pembelajaran yang betul, tidak mustahil pelajar disleksia berpotensi untuk berjaya.


Nota 2: Disleksia juga boleh berjaya
Banyak individu disleksia yang berjaya dan telah mencipta nama, antaranya termasuklah Albert Einstein, Henry Ford, Walt Disney dan Leonardo Da Vinci.


Nota 3: Disleksia diwarisi?
Menururt Mercer (1997), Hammond dan Hughes (1996), serta Spaafford dan Grosser (1996), antara punca yang menyebabkan disleksia termasuklah “keturunan” atau “genetik”. Kajian telah membuktikan bahawa disleksia disebabkan oleh kromosom 1, 15 dan 16 yang boleh diwarisi secara turun-temurun. Dalam kebanyakan kes, didapati ada ahli keluarga mengalami masalah yang sama, cuma yang membezakan mereka hanyalah tahap keseriusannya.

Selain itu, disleksia juga disebabkan oleh faktor “biologi”. Biasanya, kanak-kanak disleksia dilahirkan tidak cukup bulan atau pramatang, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Sejarah inilah yang menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan kanak-kanak. Kerosakan pada otak semasa dilahirkan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami masalah pembelajaran. Namun, kes sebegini berada pada tahap yang minimum.


Nota 4: Kaedah identifikasi kanak-kanak Disleksia
(KPM 2000) menyatakan dalam proses mengenalpasti kanak-kanak bersimptom disleksia, terdapat dua kaedah yang boleh dicadangkan  iaitu:

1) Kaedah ujian
2) Kaedah senarai semak

Kaedah senarai semak bertujuan untuk mendapatkan butiran kelemahan murid jika tahap pencapaian murid ketinggalan sebanyak dua tahun di belakang pencapaian rakan sebaya (Hammond & Hughes1999). 

Bagi kaedah ujian seperti Ujian Kecerdasan (IQ), Ujian Bacaan, Ujian Saringan yang mengandungi soalan-soalan pendek berkaitan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid dan Ujian Komprehensif yang mengandungi aktiviti bacaan, ejaan, lukisan, matematik dan kecerdasan, penglibatan, literaliti, urutan dan yang berkaitan.


Nota 5: Ciri-ciri kanak-kanak disleksia
Rosana (1998) menyatakan bahawa kanak-kanak disleksia dapat dikesan melalui 8 ciri iaitu:

1) kosa kata tulisan tidak seimbang dengan kosa kata lisan 
2) lambat dalam tindakan berlisan
3) lemah dalam menyusun isi barangan
4) tahu pada sesuatu ketika dan lupa pada hari berikutnya 
5) kurang kemahiran mengeja pada tahap yang sepatutnya 
6) faham bahan pengajaran dalam kelas tetapi merosot dalam ujian
7) tidak tepat dalam bacaan
8) tidak terancang

Namun begitu Disleksia bukanlah satu kecacatan dan tiada kaitan dengan tahap kecerdikan atau IQ seseorang (Sofiah 2000). 

Disleksia tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dirawat (BOLD 2000). 

Hasil Kajian pakar perubatan mendapati dari segi fizikal, kanak-kanak disleksia adalah aktif (Zabidi 2000). Hanya pendidikan yang sistematik dan berkesan akan dapat meminimumkan permasalahan dan kekeliruan para disleksia.


Sumber rujukan:
Jurnal Penyelidikan (akan dikemaskini)


Terima Kasih

No comments:

Post a Comment