Showing posts with label Pemulihan Khas. Show all posts
Showing posts with label Pemulihan Khas. Show all posts

[DOWNLOAD] Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Bahasa Melayu Pemulihan Khas



Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Bahasa Melayu Pemulihan Khas ini telah saya selaraskan mengikut takwim tahunan sekolah saya. Ia hanya sekadar rujukan peribadi saya sahaja. Saya kongsikan  RPT ini di sini semoga ia dapat membantu rakan-rakan guru yang lain yang memerlukan.

Kemaskini: Program Pemulihan Khas sebenarnya tidak mempunyai RPT yang khusus kerana murid mengikuti program Pemulihan Khas mengikut kemahiran yang belum dikuasai selepas ujian saringan dan ujian diagnostik dijalankan. Namun pada pandangan peribadi saya, saya lebih suka menyediakan RPT yang diubahsuai dengan menyelaras PdP kelas Pemulihan Khas dengan takwim tahunan sekolah.


Peranan Guru Pemulihan/Guru Pemulihan Khas Berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012

Sebagai Guru Pemulihan Khas (GPK), sangat penting untuk GPK mengetahui peranan yang perlu dilaksanakan untuk memastikan pelaksanaan progam pemulihan khas berjalan dengan lancar dan berkesan. 


Saya juga ada menulis tentang senarai tugas dan tanggungjawab guru pemulihan khas berdasarkan buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (edisi percubaan 2008).

Kali ini saya menulis tentang tajuk yang sama tetapi berdasarkan sumber terkini iaitu Buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012.





Terdapat 8 senarai peranan Guru Pemulihan/Guru Pemulihan Khas iaitu:
  1. Merancang dan melaksanakan Program Pemulihan Khas mengikut prosedur yang ditetapkan.
  2. Memastikan murid tahap 1 dan tahap 2 menguasai kemahiran asas 3M sebagai sasaran kerja tahunan (SKT).
  3. Menjalankan IPMBDP dan ISD kepada murid yang kebarangkalian mempunyai ciri-ciri bekeperluan khas.
  4. Membantu guru-guru mata pelajaran dalam mengenalpasti murid-murid yang perlu mengikuti program pemulihan khas.
  5. Berjumpa dan berbincang dengan guru mata pelajaran, guru bimbingan, ibu bapa dan pihak-pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tingkah laku, tahap kesihatan dan lain-lain keterangan mengenai latar belakang murid.
  6. Bertindak sebagai Setiausaha Jawatankuasa Program Pemulihan Khas serta menjadi ahli Jawatankuasa Kurikulum Sekolah.
  7. Mengadakan latihan perkembangan staf mengenai Program Pemulihan Khas di peringkat sekolah.
  8. Menghadiri kursus/bengkel/taklimat yang dianjurkan oleh KPM/JPN/PPD. 

Cuba banding beza. 

Peranan Guru LINUS dan Guru Pemulihan Berdasarkan Buku Garis Panduan dan Pengoperasian Program LINUS.  
  1. Melaksanakan saringan bagi Lisan dan Bertulis dalam tempoh yang ditetapkan bersama-sama guru LINUS.
  2. Membantu guru LINUS dalam menyediakan media pengajaran.
  3. Merancang jadual waktu dan aktiviti untuk murid LINUS tegar dan murid pemulihan.
  4. Mengajar murid LINUS tegar.
  5. Menjadi ahli jawatankuasa program LINUS di sekolah.

Ia mungkin pertambahan kepada senarai tugas dan peranan GPK rasanya...

Peranan atau Tugas Guru LINUS dan Guru Pemulihan Berdasarkan Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS

Berdasarkan Buku Panduan dan Pengoperasian Program LINUS yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, edisi cetakan pertama 2011, guru LINUS & guru pemulihan berperanan seperti berikut:


Peranan Guru LINUS
  1. Melaksanakan kursus dalaman kepada semua guru setiap kali berkursus.
  2. Melaksanakan saringan bagi Lisan dan Bertulis dalam tempoh yang ditetapkan.
  3. Mengumpul data bagi mengenal pasti murid LINUS tegar, LINUS dan arus perdana.
  4. Mentadbir kelas dengan baik dan sesuai dengan tahap keperluan murid.
  5. Mengadakan perbincangan dengan FasiLINUS untuk penambahbaikan dalam pelaksanaan program LINUS.
  6. Mengisi data selepas setiap kali saringan ke portal NKRA secara atas talian mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
  7. Mencetak dan menfailkan data yang telah diisi di portal NKRA.
  8. Sentiasa mendalami kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
  9. Menjadi ahli jawatankuasa LINUS sekolah.

Peranan Guru Pemulihan
  1. Melaksanakan saringan bagi Lisan dan Bertulis dalam tempoh yang ditetapkan bersama-sama guru LINUS.
  2. Membantu guru LINUS dalam menyediakan media pengajaran.
  3. Merancang jadual waktu dan aktiviti untuk murid LINUS tegar dan murid pemulihan.
  4. Mengajar murid LINUS tegar.
  5. Menjadi ahli jawatankuasa program LINUS di sekolah.

Peranan Pentadbir Sekolah
  1. Mengenal pasti dan menentukan guru LINUS.
  2. Membentuk dan melantik jawatankuasa kerja LINUS di sekolah dan dipaparkan di papan kenyataan.
  3. Menyediakan fail-fail pengurusan LINUS.
  4. Membuat perancangan tahunan.
  5. Memastikan saringan LINUS dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
  6. Memastikan dan mengesahkan data penguasaan murid/keputusan setiap saringan dimasukkan ke dalam portal NKRA mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
  7. Memantau pelaksanaan program LINUS dan menjalankan tindakan susulan untuk penambahbaikan.
  8. Memberi motivasi kepada guru LINUS dan guru pemulihan.
  9. Memastikan guru LINUS dan guru pemulihan menggunakan modul LINUS yang dibekalkan oleh KPM.
  10. Bekerjasama dengan ibubapa/PIBG dalam memberi kesedaran, maklumat dan kepentingan program LINUS.
  11. Mencerap pelaksanaan PdP guru LINUS dan guru pemulihan.

Beberapa Definisi Disleksia

Catatan Nota

Perkataan Disleksia berasal daripada gabungan 2 perkataan Greek/Yunani iaitu dys yang bermaksud kesukaran/kesusahan dan lexis yang bermaksud bahasa atau pertuturan. Jadi apabila ia digabungkan, ia membawa maksud kesukaran atau kesusahan dalam bahasa. Secara literalnya, dyslexia bermaksud kesukaran dalam bahasa. 

In 1887, the word “dyslexia” was coined by Berlin, a German doctor, from 2 Greek words : Dys ( difficulty ) and Lexia ( the use of words ).




Beberapa definisi disleksia.

Definisi Pertama
Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia

Murid-murid disleksia ialah murid-murid yang mengalami masalah pembelajaran yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran mengeja, membaca dan menulis.

Definisi kedua
World Federation of Neurology pada tahun 1986
a disorder manifested by difficulty in learning to read despite conventional instruction, adequate intelligence and sociocultural opportunity. 
Disleksia ialah satu kecelaruan pada kanak-kanak di mana, meskipun mereka melalui pengalaman bilik darjah konvensional, gagal menguasai kemahiran bahasa seperti membaca, menulis dan mengeja yang selaras dengan kemampuan intelektual mereka. (terjemahan)

Definisi ketiga
National Institute of Neurological Disorders and Stroke
Dyslexia is a brain-based type of learning disability that specifically impairs a person's ability to read. These individuals typically read at levels significantly lower than expected despite having normal intelligence. Although the disorder varies from person to person, common characteristics among people with dyslexia are difficulty with spelling, phonological processing (the manipulation of sounds), and/or rapid visual-verbal responding. In adults, dyslexia usually occurs after a brain injury or in the context of dementia. It can also be inherited in some families and so on, and recent studies have identified a number of genes that may predispose an individual to developing dyslexia.

Definisi keempat
Persatuan Disleksia Malaysia

Dyslexia is a reading difficulty in a child or adult who otherwise has good intelligence, strong motivation and adequate schooling……Dyslexia reflects a problem within the language system in the brain” (Shaywitz, 2003)

Definisi kelima
A.D.A.M. Medical Encyclopedia.
Developmental reading disorder, also called dyslexia, is a reading disability that occurs when the brain does not properly recognize and process certain symbols. 

SUMBER

Persatuan Disleksia Malaysia
Pubmed Online Jurnal
What's It Like Being Dyslexic (Video)
Buku Pengantar Pendidikan Khas
Buku Apa Itu Disleksia



Garis Panduan dan Senarai Pekeliling Berkaitan Dengan Program Pemulihan Khas (kemaskini)

Garis Panduan Guru Pemulihan Khas

Terdapat garis panduan dan beberapa bahan rujukan yang boleh digunakan oleh GPK dalam melaksanakan dan mentadbir program pemulihan khas.

  1. Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012, Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, KPM.(Edisi terkini)
  2. Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2008 , Unit Pemulihan Khas, Jabatan Pendidikan Khas, KPM. (Edisi Percubaan)
  3. Buku Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M), Jabatan Pendidikan Khas, KPM, 1999. (cetakan kedua 2003). Buku ini mengandungi set soalan ujian saringan, ujian diagnostik, ujian pengamatan dan ujian pencapaian bagi mata pelajaran BM dan Matematik.

KPM


Punca dan Bidang Kuasa Guru Pemulihan Khas


1) Surat Siaran Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Bil. KP(BS) 8594/PK/Jld. II(32) bertarikh 22 Januari 1985 (Guru Khas Pendidikan Pemulihan)

2) Surat Siaran Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Bil. KP(BS) 8502/5/PK/Jld V(26) bertarikh 28 Januari 1986 (Kelas Khas Pemulihan Di Sekolah Rendah)

3) Surat Siaran Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Bil. KP(BS) 8502/5/PK/Jld V(29) bertarikh 17 Mac 1986 (Pengawasan dan Penyeliaan Program Pemulihan)

4) Surat Siaran Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Bil. KP(BS) 8502/5/PK/Jld V(34) bertarikh 30 Jun 1989 (Guru Khas Pemulihan dan Penubuhan Kelas Khas Pemulihan di Sekolah Rendah)

5) Surat Siaran Bahagian Perkembangan Kurikulum KP(BPK)400-32/6 jld.3(61) [Pelaksanaan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) Tahap 1 Di Sekolah Randah]

6) Surat Siaran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KP(BPSH-SPDK)201/005/02 jld. 4(1)bth. 23 Mac 2012 [Tatacara Pelaksanaan Saringan dan Tahap Penguasaan Literasi dan Numerasi (LINUS) Murid Tahap 1, Sekolah Rendah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)]

7) Surat Siaran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KP(BPSH-SPDK)201/005/02 jld. 4(18)bth.3 Julai 2012 (Guru Pemulihan di Bawah NKRA Pendidikan - LINUS)

8) Surat Siaran Bahagian Pendidikan Khas KPM.BPKHAS.300-2/2/3(24)bth. 29 Oktober 2012 (Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012)

[DOWNLOAD] Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2012

Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan Surat Siaran Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas Tahun 2012 sebagai panduan yang jelas dalam melaksanakan Program Pemulihan Khas di sekolah dengan berkesan. Surat Siaran ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan. Surat siaran tersebut iaitu KPM.BPKHAS.300-2/2/3 (24) bth. 29 Oktober 2012 berkuatkuasa mulai 29.10.2012.

Bagi memudahkan Guru Pemulihan Khas, garis panduan ini boleh dicapai melalui internet di Portal Rasmi Bahagian Pendidikan Khas mulai 1 Disember 2012.



MUAT TURUN


Penambahbaikan utama garis panduan 2012
  1. Melibatkan murid tahap 1 (LINUS) dan murid tahap 2 (PROTIM).
  2. Pelaksanaan PBS (penilaian berasaskan sekolah) ke atas murid pemulihan.
  3. Pengurusan fail :
                          Tahap 1 - mengikut sistem fail dalam program LINUS
                          Tahap 2 - mengikut garis panduan 2012








Kredit: 

Memahami Konsep Ejaan dan Mengeja


Konsep ejaan dan mengeja perlu mendapat perhatian istimewa guru bahasa Melayu yang mengajarkan bacaan permulaan.

Guru prasekolah, guru Bahasa Melayu dan guru Pemulihan perlu menyemak pemahaman mereka tentang konsep ejaan dan mengeja. 

Guru Pemulihan termasuklah guru Pemulihan Khas, guru pemulihan dalam bilik darjah, guru Literacy and Numeracy Screening (LINUS) dan beberapa nama lain yang mungkin muncul pada masa hadapan.

Pemahaman yang jelas tentang kedua-dua konsep ini dapat membantu mereka melaksanakan tugas untuk mengajarkan bacaan permulaan kepada kanak-kanak dengan berkesan.

Baca lebih lanjut di 

Ruang, Sudut atau Kiosk Kelas Pemulihan Khas

Sekali lagi saya telah mengubah susunan perabot bilik pemulihan sekolah saya. Saya selalu merasa tidak puas hati dengan susunan dan keceriaan bilik pemulihan. Itu yang membuatkan saya selalu mengubah kedudukan dan susunan almari dan meja.

Sekali fikir, malas dah nak ubah tapi esoknya lain pula yang difikir. Buat masa ini saya harus berhenti mengubah kedudukan perabot memandangkan bulan puasa. Lagi pun saya perlu utamakan pembinaan BBM untuk P&P yang masih banyak perlu dibuat.

Julai 2012, bilik pemulihan khas sekolah saya lebih kemas berbanding bulan Februari 2012. Saya ada menulis tentang tajuk ini sebelum ini di sini : Bilik Pemulihan Khas Februari 2012

Pelan Lakar Kelas Pemulihan mengikut garis panduan pelaksanaan Program Pemulihan Khas Edisi Percubaan 2008
Pada hemat saya, bilik Pemulihan Khas sekolah saya di mana saya yang bertanggungjawab ke atasnya masih belum mencapai piawaian seperti yang digariskan di dalam buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (Edisi Percubaan, 2008) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Khas, KPM.

Sehingga Julai 2012, hanya terdapat ruang P&P, ruang Bahasa Melayu, ruang Matematik dan ruang pengurusan. Ruang BM dan Matematik pula digabungkan untuk menjimatkan ruang di samping memudahkan saya mengemas bilik. Ruang Multimedia masih belum dibina kerana tiada kemudahan komputer. Walaupun terdapat TV dan Radio, ia amat jarang digunakan semasa P&P. Ruang pengamatan pula masih dalam proses (Bila nak siap hanya Allah yang tahu.... ). Mungkin cuti hujung tahun ini saya akan memberikan fokus sepenuhnya terhadap pelan lantai kelas. (saya memang lemah dalam interior decoration).



Bahagian belakang kelas/bilik yang memuatkan ruang BM dan Matematik serta ruang pengurusan untuk guru. Di sinilah tempat murid-murid saya melepaskan tension selepas berhempas-pulas belajar.

Meja guru
Dua buah almari tempat menyimpan fail, buku rujukan dan buku aktiviti serta BBM
Ruang Bahasa Melayu dan Matematik digabungkan. Bahan-bahan bacaan dan permainan seperti jigsaw puzzle, dam ular, congkak, blocks diletakkan di sini. Sepatutnya ia diasingkan.
Bahan untuk BM lebih banyak berbanding Matematik
Sempoi jer...Ruang P&P hampir menggunakan separuh daripada keluasan bilik berbanding ruang-ruang lain.
Banyak lagi saya kena touch-up bilik ini...Adush! Skirting meja pun dah koyak rabak. Baru jer buat tu, lasak sungguh murid-murid pemulihan ni..
Murid tahun 4 (PROTIM) sedang membuat aktiviti mengeja berdasarkan gambar yang ditunjukkan oleh guru menggunakan LCD projector.
LCD diletakkan di atas meja kerana tidak di mounting di siling semasa dinaiktaraf 4-5 tahun dulu. Pandai-pandailah GPK jadi technician....hu hu


Kaedah Mengatasi Masalah Tidak Lancar Membaca Murid-Murid Pemulihan Khas

Antara kaedah pengajaran yang boleh digunakan guru Pemulihan Khas bagi mengatasi masalah murid-murid Pemulihan Khas yang belum membaca dengan lancar:
  • Guru menunjukkan kad bergambar.
  • Semua murid menyebut nama benda yang dilihat.
  • Guru menunjukkan dan membaca kad-kad perkataan.
  • Murid akan mengikut sebutan dan bacaan guru.
  • Murid memadankan kad-kad perkataan dengan gambar.
  • Semua murid akan membaca kad-kad perkataan beberapa kali dengan bimbingan guru.
  • Kemudian, murid-murid akan membaca tanpa dibimbing.
  • Setelah mahir dalam bacaan, setiap murid akan mula menulis ayat pada buku.

Sumber rujukan: 


Kaedah Pengajaran Kemahiran Membaca Bahasa Melayu: Kaedah Kawalan Vokal Berstruktur


Kaedah Kawalan Vokal Berstruktur (KVB) adalah satu kaedah pengajaran kemahiran membaca Bahasa Melayu yang berasaskan kawalan vokal (ba, ca, da, ga, ha, ja, ka, la, ma, ..... za). 

Kaedah-kaedah lain seperti Kaedah Abjad, Kaedah Fonik, Kaedah Gabungan Bunyi Kata, Kaedah Eklektik adalah berasaskan kawalan konsonan ( ba, bi, bu, be, bo).

Kaedah KVB mendedahkan kesedaran makna dan fonik secara serentak dan berstruktur dan sistematik. Ia disesuaikan dengan perkembangan kognitif kanak-kanak. Kaedah fonik didapati lebih banyak membantu kanak-kanak dalam kemahiran bacaan awal berbanding kaedah bukan fonik. Kaedah pengajaran fonik yang bersistematik sangat baik untuk kanak-kanak prasekolah dan tadika.

Contoh pengajaran menggunakan kaedah KVB
  1. Guru memperkenalkan nama dan bunyi huruf [m], [a], [t], [s] dan [y] melalui perkataan (m,a,t,a,) dan (s,a,y,a).
  2. Murid membatangkan suku kata bermula dengan vokal /a/ (tanpa mengeja). Contoh: ma, ta, sa, ya 
  3. Murid membina perkataan. Contoh: mata, mama, saya 
  4. Murid membaca ayat mudah. Contoh: mata saya, mata mama, mata mama saya

Sumber rujukan: 

Kaedah Pengajaran Kemahiran Membaca Bahasa Melayu: Kaedah Gabungan


Gabungan Kaedah Fonik dengan Kaedah Pandang dan Sebut 

Kaedah yang dicadangkan ini menggabungkan ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ dalam satu pelajaran membaca pada peringkat awal. Kaedah pandang dan sebut juga dikenali sebagai Kaedah Seluruh Perkataan.

Kaedah gabungan yang dicadangkan ini berasaskan kepada perkara-perkara berikut:

a) Sistem ejaan bahasa Melayu adalah mengikut abjad dan fonemik – ertinya ada hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya.
b) Suku kata perkataan Bahasa Melayu adalah jelas (jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain – dengan bahasa Inggeris misalnya).
c) Ciri-ciri yang baik daripada ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ boleh digabungkan.
d) Murid-murid Melayu yang baru melangkah masuk ke darjah 1 rata-rata telah pun mempunyai perbendaharaan Bahasa Melayu yang mencukupi untuk terus belajar membaca.

Melalui kaedah ini guru tidak perlu menunggu murid mengetahui semua nama huruf, bunyi huruf dan suku kata sebelum mereka membaca perkataan-perkataan atau ayat. Malahan guru tidak begitu perlu memperkenalkan dan mengajar abjad dan bunyi huruf dari a hingga z secara tertib biasa.

Kaedah gabungan ini mencadangkan murid diperkenalkan kepada bunyi beberapa huruf vokal dan konsonan, dan kemudian terus membunyikan suku kata dan perkataan-perkataan yang bermakna, dalam satu hingga dua pelajaran. Dengan cara begini dalam dua atau tiga pelajaran sahaja, murid akan terus dapat membaca beberapa perkataan dan ayat, dan ini membuatkan murid merasa bangga kerana mereka boleh membaca serta faham apa yang dibaca.

Untuk menjelaskan kaedah ini secara terperinci, lihat beberapa contoh berikut:

1. Mulakan dengan memperkenalkan bunyi dua atau tiga huruf vokal: a, o, u dengan menggunakan kad imbasan (flash card). Buat latihan membunyikan huruf ini beberapa kali, selang-seli.

2. Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan, misalnya: d, k, m dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih tubi beberapa kali supaya semua murid dapat melafazkan bunyi tiap-tiap lambang itu dengan jelas.

3. Gabungkan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata:

  da di du ka ki k u sa si su

4. Seterusnya bina beberapa perkataan yang bermakna, misalnya:

ba..... ba.... baba
bu..... bu.....bubu
da..... da..... dada
ku..... ku..... kuku


5. Ulangi langkah ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan menjadi ayat dan latih murid membacanya:

baba bubu
dada kuku

6. Perkenalkan gabungan lain:

a ..... ku..... aku
a..... da..... ada
i..... ni..... ini
i..... tu...... itu
bu..... ku..... buku
ba..... ba..... baba
bu..... ka..... buka
ba..... ju..... baju

7. Suruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa perkataan di atas:

aku ada buku
aku buka baju
ini buku aku
itu baju aku

8. Kemudian gantikan ‘aku’ dengan ‘baba’ dan ulang membacanya.

9. Seterusnya baca ayat-ayat ini pula:

buku dia
buku baba
buku aku/ku

10. Gantikan ‘buku’ dengan ‘baju’, ‘baju’, dan ‘kuku’ dan ulang bertubi-tubi dengan kad imbasan.

11. Perkenalkan gabungan bunyi lain pula seterusnya.

i ... bu ..... ibu
bu ... di ..... budi
u ... da ..... uda

budi ibu
budi ibuku
budi uda

di ... a ..... dia
ka ... ki ..... kaki

kaki dia
kaki ibu
kaki kuda

12. Suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunakan berbagai-bagai perkataan yang dicipta:

ibu buku
baba uda bubu
udaku ada kuda
dia kaki kuda
buku uda

Kaedah gabungan ini boleh diajar di dalam tiga hingga empat hari, selama sejam sehari. Dalam seminggu sahaja murid-murid boleh mengenal huruf-huruf a, e, i, o : b, d, k dan membaca suku kata, perkataan-perkataan dan ayat yang dibentuk daripadanya.

Cadangan yang dikemukan ini berguna kepada guru pemulihan khas sebagai panduan dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran.


*** Artikal ini saya perolehi dan ubahsuai daripada laman blog Pelangi Petang.

Kemahiran Bacaan Awal Bahasa Melayu Prasekolah [Buku]


Buku Kemahiran Awal Bacaan Bahasa Melayu Prasekolah diterbitkan oleh Penerbit USM pada tahun 2011 dan dikarang oleh Naimah Yusoff, Nor Hashimah Hashim dan Hashim Othman. Ia mengandungi 122 halaman bercetak hitam dan putih.

Buku ini memperkenalkan kaedah KVB iaitu Kaedah Kawalan Vokal Berstruktur dalam pengajaran kemahiran bacaan awal. Kaedah ini bersandarkan kepada dua teori utama iaitu Teori Behavioris dan Teori Kognitif.

Topik-topik dalam buku ini menyentuh tentang perkembangan bahasa kanak-kanak, kemahiran membaca pada peringkat bacaan awal dan pelaksanaan pengajaran kemahiran bacaan awal melalui pendekatan Belajar Melalui Bermain. Buku ini juga turut dilengkapi dengan contoh aplikasi pengajaran seperti Ujian Kesedian Membaca dan Ujian kemahiran Bacaan awal.

Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas [Buku]

Buku Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas ini merupakan buku kedua yang ditulis oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad selepas buku Pengantar Pendidikan Khas.

Kedua-dua penulis buku ini merupakan pensyarah kursus Pendidikan Khas di Universiti Sains Malaysia (USM). Buku ini mempunyai 205 halaman hitam-putih dan diterbitkan oleh Penerbit USM pada tahun 2011. Buku ini dijual dengan harga anggaran RM47 - RM49.

Buku ini membawa pembaca mengenali dan memahami kaedah dan strategi pengajaran yang berkesan untuk mendidik kanak-kanak berkeperluan khas. Pelbagai kaedah pengajaran dan intervensi dikemukakan bagi mengatasi masalah menyebut, mengeja, membaca dan mengira. Huraian yang ringkas, padat dan mudah difahami dengan disertakan contoh-contoh pengajaran dan pembelajaran yang relevan pada masa kini.

📚 Tajuk Buku: Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
✅ Penulis: Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad
✅ Penerbit: Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
✅ Tahun: 2011
✅ 205 muka surat
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/509zvUUnVl
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/4pqZjBVQqk
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/4fX9WsW4Bj
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/3AiLk7bmES
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/30OvXocPZR

Kandungan Buku


Buku ini mempunyai 9 bab:

Bab 1 - Teori Pembelajaran
Bab 2 - Pengajaran Mnemonik
Bab 3 - Pengajaran Scaffolding
Bab 4 - Pengajaran Terus
Bab 5 - Pengajaran Eksplisit
Bab 6 - Pembelajaran Masteri
Bab 7- Intervensi Meningkatkan Kemahiran Ejaan Murid Berkeperluan Khas
Bab 8 - Intervensi Meningkatkan Kemahiran Bacaan Murid Berkeperluan Khas
Bab 9 - Intervensi Meningkatkan KemahiranMengira Murid Berkeperluan Khas




Kandungan buku



Pengantar Pendidikan Khas [Buku]



Siapakah yang dikategorikan sebagai murid-murid berkeperluan khas? Siapakah pula yang memerlukan pendidikan khas? Anda akan temui jawapannya di dalam buku ini.

Perbincangan, kupasan dan huraian secara mendalam bagi setiap kategori murid-murid istimewa diolah di dalam buku ini dengan menggunakan ayat yang mudah, berbantukan statistik dan ilustrasi untuk memudahkan pemahaman pembaca. Aspek etiologi, ciri, punca dan sebab berlaku atau lahirnya anak-anak istimewa ini juga dibincangkan.

Turut dibincangkan ialah identifikasi awal dan cadangan teknik atau pendekatan untuk berhadapan dengan golongan seumpama ini. Buku ini diolah mengikut sukatan pelajaran universiti dan maktab perguruan tempatan. Justeru ia sangat berguna sebagai bahan rujukan serta teks wajib bagi semua warga pendidik dan pensyarah yang berkecimpung dalam bidang pendidikan khas.

Walau bagaimanapun, pendekatan yang ringkas menjadikan buku ini juga sesuai dijadikan sebagai panduan ibu bapa dan harus dimiliki oleh semua golongan masyarakat di luar sana yang prihatin untuk lebih memahami golongan istimewa ini.

Buku Pengantar Pendidikan Khas ini ditulis oleh Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad dan diterbitkan oleh Penerbit USM Pulau Pinang pada tahun 2011. Buku ini dijual pada harga anggaran RM61 - RM69 dengan 305 halaman bercetak hitam dan putih.

📚 Tajuk Buku: Pengantar Pendidikan Khas
✅ Penulis: Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad
✅ Penerbit: Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
✅ Tahun: 2011
✅ 305 muka surat
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/VhaW7BIfx
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/lJvCDCgs
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/B4k7VCZLv
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/10dr729Of6


Kandungan Buku:


Bab 1 - Sejarah dan perkembangan Pendidikan Khas
Bab 2 - Murid-Murid Pemulihan Khas
Bab 3 - Murid-Murid Bermasalah Penglihatan
Bab 4 - Murid-Murid Bermasalah Pendengaran
Bab 5 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Disleksia)
Bab 6 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Hiperaktif - ADHD)
Bab 7 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Sindrown Down)
Bab 8 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Autisme)
Bab 9 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Kerencatan Mental)
Bab 10 - Ketidakupayaan Fizikal
Bab 11 - Murid Pintar Cerdas dan Berbakat


Kandungan buku

Walaupun buku ini hanya menyentuh satu bab sahaja berkaitan dengan Pemulihan Khas, namun  saya berpendapat bab-bab yang lain yang berkaitan dengan Pendidikan Khas juga berguna sebagai tambahan ilmu pengetahuan kepada guru Pemulihan Khas.

Sumber: 

Intervensi Meningkatkan Kemahiran Mengeja

Catatan Nota

Tulisan ini adalah sambungan daripada post sebelumnya iaitu punca-punca murid lemah mengeja.

Mengeja memerlukan seseorang mengingat dan mengetahui banyak perkataan. Sekiranya arahan membaca dan mengeja diasingkan, maka kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran membaca dan mengeja serentak.

Terdapat beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat digunakan oleh guru sebagai langkah intervensi untuk membantu murid mengatasi masalah dalam kemahiran mengeja.

1. Kaedah Abjad
Kaedah ini sememangnya digunakan untuk mengajar murid mengeja. Murid perlu mengenal semua abjad sebelum murid berjaya mengeja sesuatu perkataan dengan baik. Contohnya : untuk mengeja "ibu", murid perlu kenal abjad "i", "b" dan "u".

2. Kaedah Fonik/Fonetik
Kaedah ini adalah berdasarkan bunyi sebutan dalam suku kata dan menggabungkannya dengan suku kata yang lain. Untuk mengeja sesuatu perkataan, murid perlu membunyikan huruf-huruf terlebih dahulu, kemudian membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Contohnya: Perkataan bola dieja [b (beh) + o (o) = bo] dan l (leh) + a (a) = la]. Kedua-dua suku kata kemudian digabungkan iaitu [bo] + [la] dan ia menjadi [bola].

3. Kaedah Elektik
Kaedah elektik adalah kaedah campuran atau gabungan di antara dua pendekatan iaitu pendekatan membina dan pendekatan cerakinan. Beberapa kaedah digabungkan seperti kaedah bunyi, kaedah abjad dan kaedah suku kata, kaedah rangkai kata, kaedah ayat. Kaedah ini adalah mengikut prinsip psikologi membaca, maka ia dapat disesuaikan dengan kehendak dan kebolehan murid untuk membaca dalam sebarang keadaan.

Cara pengajaran

Huruf: Guru memperkenalkan huruf abjad berdasarkan bunyi huruf sahaja. Contonya, a - ayam, u - ular. Guru tidak boleh memperkenalkan nama huruf abjad. 

Suku kata:  Guru mengajar suku kata menerusi perkataan. Contohnya, ba - baju, bakul, basikal, bawang.


4. Kaedah Suku Kata
Kaedah ini dimulakan dengan suku kata yang asas iaitu KV, KVK, KVKVK dan seterusnya. 

5. Teknik Perisian Komputer
Pembelajaran membaca merupakan aktiviti kognitif yang melibatkan pengutipan maklumat  daripada teks yang dibaca. Melalui penggunaan perisian komputer, bahan-bahan boleh dihasilkan bukan sahaja dalan bentuk teks malah dalam bentuk visual dan audio. Hubungan antara teks dengan imej sebagai elemen dalam proses membaca dapat dilihat menerusi teori dwipengkodan.

Teori dwipengkodan (Paivio, 1986) menjelaskan bahawa murid yang didedahkan dengan dua mod pembelajaran (melalui visual dan verbal) dapat meningkatkan ingatan dan kefahaman. Dalam teknik ini, murid diberi peluang untuk membina makna teks yang dibaca menerusi penghasilan gambaran visual.

Namun demikian, menurut Wienstein dan Mayer (1986) serta Post dan Carreker (2002), murid tidak berupaya menghasilkan gambaran visual secara efektif jika murid tidak dibantu oleh guru menerusi galakan atau pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.

6. Mendengar Perakam Suara
Murid mendengar dengan teliti dan mengulangi cara mengeja yang dimainkan oleh pita rakaman.

7. Kaedah Multisensori
Kaedah ini adalah berdasarkan kepada pengamatan terhadap pelbagai deria seperti deria visual, deria sentuhan, deria suara, dan gabungan semua deria. Kaedah ini membantu murid terutamanya murid yang mengalami masalah pembelajaran.

Punca - Punca Murid Lemah Mengeja


Catatan Nota

Bahan yang saya tulis ini saya perolehi melalui pembacaan sebuah buku. Buku tersebut bertajuk Kaedah dan Strategi Pengajaran kanak-Kanak Berkeperluan Khas, Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad, Penerbit USM Pulau Pinang, 2011. Walaupun ia ditulis khusus untuk murid-murid berkeperluan Khas, tetapi saya rasa ia juga sesuai untuk diaplikasikan kepada murid-murid  Program Pemulihan Khas.

Apa yang dimaksudkan dengan ejaan dan kemahiran mengeja secara terperinci boleh dibaca melalui tajuk sebelum ini  pada pautan DI SINI.


APA ITU EJAAN?

Ejaan adalah satu bentuk pelaziman melalui penulisan. Ia mempunyai 26 huruf atau abjad roman dan mengandungi lebih daripada 40 fonik.


SIAPA MURID YANG BERMASALAH DALAM EJAAN?

Murid-murid yang sering mengalami masalah dalam ejaan terdiri daripada murid disleksia, murid yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan (sumbing, gagap, masalah artikulasi dan masalah suara). Murid-murid ini tidak mahir dalam ejaan bukan kerana mereka MALAS belajar tetapi kerana mereka mempunyai masalah dalam menyebut perkataan tersebut. Contohnya murid disleksia sering melihat huruf dengan terbalik. Oleh itu, murid sering meghadapai masalah dalam ejaan.


PUNCA-PUNCA MURID LEMAH DALAM EJAAN

1. Lemah dalam pengamatan penglihatan atau visual.

Pengamatan bermaksud hasil tindakbalas keseluruhan sistem deria setelah menerima rangsangan daripada sumber lain. 

Pengamatan visual pula berkait dengan keupayaan deria penglihatan untuk menerima rangsangan dan seterusnya menghantar maklumat tersebut ke otak untuk ditafsirkan. Jika pengamatan penglihatan murid menghadapi masalah, maka perkataan atau huruf-huruf yang dilihat murid akan mengalami kesalahan dan kesilapan. Contohnya, jika murid membaca secara songsang dari belakang ke depan, murid akan keliru dan akan menyebabkan kemahiran membaca murid semakin lemah dan teruk.

Contoh: Makan dibaca sebagai nakaM


2. Tidak dapat mengingati dan membayangkan bentuk sebenar sesuatu huruf atau perkataan.

Murid tidak dapat mengecam bentuk huruf dan perkataan. Terdapat beberapa huruf yang kelihatan seakan-akan sama walaupun bunyinya adalah berbeza.

Bagi murid disleksia, masalah yang dihadapi dalam mengecam bentuk huruf dan konfigurasi perkataan sangat ketara. Simbol-simbol perkataan yang bercetak sukar diterjemahkan. Murid melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan secara terbalik. Kekeliruan inilah yang menyebabkan murid sangat lemah dalam kemahiran mengeja.

Contoh: Keliru membezakan huruf "b" dan "d", huruf "p" dan "q".


3. Masalah memori auditori dan visual.

Murid menghadapi masalah untuk mengingati bunyi dan suku kata. Mereka sering memerlukan arahan yang jelas dan mudah bagi membantu mereka mengenal pasti bunyi sesuatu perkataan dan membina kemahiran fonologi. Murid yang menguasai kemahiran ejaan dengan baik akan menyimpan perkataan dalam memori dan mengingat kembali perkataan tersebut tanpa memerlukan petunjuk visual. Manakala murid yang lemah dalam ejaan amat memerlukan latihan dan aktiviti untuk menguatkan ingatan visual.


4. Lemah dari segi Analisis pendengaran.

Murid sukar mengingat bunyi abjad, bunyi suku kata perkataan dan juga sukar menyusun atau menggabungkan suku kata bagi membunyikan perkataan. Murid juga tidak dapat mengaitkan bunyi huruf dengan huruf yang dilihat disebabkan kurang pendengaran.

Contoh: Sukar membezakan bunyi huruf vokal dan huruf konsonan.


5. Sebutan huruf yang salah.

Murid menyebut nama huruf dalam 'telo' bahasa ibunda atau 'loghat' daerah. Selain itu, murid menghadapi masalah dalam sebutan huruf "e" pepet dan "e" taling.

Contoh: "Makan" disebut "make", "perang" ( peperangan) disebut "perang" (warna).

Minggu LINUS dan PROTIM


Minggu ini sekolah saya sibuk dengan aktiviti ujian saringan LINUS dan praujian PROTIM tahun 4, 5 dan 6. Ujian saringan khas LINUS sudah pun dijalankan dengan jayanya, cuma murid sahaja yang tidak berjaya menjawab ke semua 20 soalan dengan betul. Sekolah saya cuma ada 2 kelas sahaja. Satu kelas untuk murid-murid pandai dan satu lagi kelas sebaliknya.

Hampir separuh daripada murid-murid kelas kurang pandai gagal menjawab semua soalan dengan betul. Kebanyakkannya salah dibahagian mengisi tempat kosong dan membina 3 ayat berpandukan gambar.

Berita gembira, 2 orang murid pemulihan berjaya menjawab ke semua soalan dengan BETUL. Saya andaikan 3 orang murid-murid saya lulus ujian saringan ini, namun salah seorang tidak hadir pula hari ini.

Saya merasa sedikit terkilan dengan beberapa aksi rakan-rakan sejawatan saya yang cuba membantu murid-murid menjawab soalan tadi. Kalau hanya nak membantu saya kira masih boleh berkompromi, tapi kalau tolong ejakan perkataan, itu bukan membantu namanya, itu sudah dikira memberikan jawapan. Mungkin rakan saya itu terlalu "takut" sekiranya murid tidak melepasi ujian saringan khas ini.

Pada saya, biarkan murid menjawab soalan mengikut kemampuan masing-masing. Sekiranya budaya spoon feed ini terus diamalkan, maka murid akan malas berfikir dan malas mencari jawapan. Mereka akan anggap peperiksaan itu sama seperti mereka membuat latihan di kelas. Semasa membuat latihan, mereka boleh meniru jawapan kawan, mereka boleh berbincang dengan kawan, mereka boleh bertanyakan guru "bayangan" jawapan atau pun guru terus memberikan jawapan (lagi parah).

Jadi apa guna kita menjalankan ujian dan peperiksaan?

Wujudkah ketelusan dan kejujuran semasa kita MENGUJI kemampuan murid-murid? Muridkah keutamaan kita atau diri kita sendiri atau peratus KPI?

Ada ketikanya kita boleh membantu, ada ketikanya kita perlu mendidik mereka belajar cara berfikir!!!


Saringan Khas LINUS Kohort 1 dan 2 Tahun 2012

Berikut adalah beberapa maklumat mengenai Saringan Khas LINUS bagi murid-murid tahun 2 dan 3. 

Maklumat ini saya perolehi di http://linushilirperak.blogspot.com/

Saringan Khas perlu dijalankan untuk memastikan murid-murid Tahun 2 dan 3 menguasai 3M dan sebagai persediaan murid ke Tahun 3 dan 4 pada 2013.
 
Saringan Khas merupakan verifikasi untuk murid-murid Aliran Perdana (menguasai hingga Konstruk 12-Membina ayat mudah).
 
Jawatankuasa PEMANDU NKRA , telah mengeluarkan arahan agar murid-murid tahun 2 dan 3 dijalankan Saringan Khas.
 
Di dalam Saringan Khas, tidak ada Konstruk 1,2, dan 4. Ada elemen membaca, menulis, mengira dan memahami. Masa 30 minit diperuntukkan, untuk melihat penguasaan dan bukan pencapaian.
Saringan Khas akan melibatkan murid-murid Tahun 2 dan Tahun 3.
 
Guru Bahasa Melayu dan guru Matematik Tahun 3 boleh membuat 'Pre-Test' berdasarkan Instrumen Rintis Saringan Khas. Lihat Menu Muat Turun Linus dan Klik Maklumat Saringan Khas Tahun 3.
 
Semasa Saringan Khas sebenar dijalankan, tiada bimbingan dan bantuan boleh diberikan kepada murid kerana ia berbeza dengan Saringan Linus biasa.

Perjawatan Guru Pemulihan Khas

Saya pernah bertanya tentang status jawatan guru pemulihan khas kepada guru emis sekolah saya apabila hendak mengisi maklumat asas guru. Jawapan yang diberikan tidak jelas, seolah-olahnya guru tersebut tidak ada kepastian. Setelah menyemak semula maklumat-maklumat yang terdahulu dan hasil carian di internet, saya dapati perjawatan Guru Khas Pemulihan adalah di bawah kategori Jawatan Luar Norma.

Catatan saya tentang jawatan luar norma boleh baca di sini - Apakah Jawatan Luar Norma?

Perjawatan Guru Khas Pemulihan Di Sekolah Rendah

1) Semua sekolah rendah kecuali sekolah kecil (under enrolment) diperuntukkan satu (1) perjawatan Guru Khas Pemulihan.

2) Peruntukan Guru Khas Pemulihan tidak termasuk dalam perkiraan peruntukan guru asas (n x 1.5).

3) Guru Khas Pemulihan tidak terlibat sebagai guru penganti kepada guru asas atau sebagai guru kelas sesuatu darjah. (Realitinya tidak berlaku, berdasarkan pengalaman saya, GKP adalah guru pertama yg dicari sebagai guru ganti)

4) Guru Khas Pemulihan berkhidmat sepenuh masa melaksanakan program pendidikan pemulihan.

5) Penutupan Kelas Khas Pemulihan atau pemberhentian program pendidikan pemulihan perlu mendapat kelulusan bertulis daripada Pengarah Pendidikan Negeri.


Kelulusan Ikhtisas Guru Pemulihan Khas

Guru Opsyen Pemulihan

• Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas (Pemulihan )
• Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pemulihan
• Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI ) Pendidikan Pemulihan
• Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBC/KDC) Pendidikan Pemulihan

Guru bukan Opsyen Pemulihan

• Guru terlatih tanpa opsyen (lantikan sekolah) – DG 32/29
• Diploma Khas Pendidikan Pemulihan (KDP) – 1 Tahun
• Sijil Perguruan Khas (KSPK) 1 Tahun
• Sijil Perguruan Khas (KSPK) 6 bulan
• Sijil Kursus Dalam Cuti (KDC ) Pendidikan
• Sijil Kursus KSPK 14 minggu.

Senarai Tugas dan Peranan Guru Pemulihan Khas

Program LINUS di bawah sub NKRA Pendidikan Negara

Apa yang saya catatkan di sini adalah berkaitan dengan bidang tugas Guru Pemulihan Khas/Guru Khas Pemulihan sebelum wujudnya program LINUS pada tahun 2010. Setelah adanya program LINUS, bidang tugas guru pemulihan khas telah bertambah di mana guru pemulihan khas juga berperanan mengajar murid-murid LINUS kategori tegar ( tidak menguasai konstruk 1 dan 2). Murid- murid kategori ini adalah murid-murid yang belum menguasai kemahiran mengenal abjad dan suku kata KV.

Catatan tentang senarai tugas Guru Pemulihan Khas ini berdasarkan dua sumber rujukan yang saya baca iaitu: 
  1. Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2008 (Edisi Percubaan), Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.
  2. Buku Panduan Pelaksanaan Program pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M), Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1999.
Terdapat sedikit perbezaan jumlah waktu mengajar seminggu bagi guru pemulihan khas jika merujuk kepada  kedua-duanya.


SENARAI TUGAS GURU PEMULIHAN KHAS  

Catatan senarai tugas Guru Pemulihan Khas ini adalah berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2008 (Edisi Percubaan), Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.
  1. Merancang dan melaksanakan program pemulihan khas mengikut prosidur yang telah ditetapkan.
  2. Membantu guru-guru mata pelajaran dalam hal mengenal pasti murid-murid yang memerlukan pengajaran pemulihan.
  3. Berjumpa dan berbincang dengan guru mata pelajaran, guru bimbingan, ibubapa, doktor, pegawai kebajikan dan pihak-pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tingkah laku, tabiat, kesihatan dan lain-lain keterangan mengenai latar belakang murid
  4. Bertindak sebagai setiausaha Jawatankuasa Program Pemulihan Khas serta menjadi ahli Jawatankuasa Kurikulum Sekolah.
  5. Mengadakan latihan perkembangan staf di peringkat sekolah atau daerah.
  6. Tugas-tugas yang berkaitan dengan kebajikan murid - murid. 

Agihan waktu mengajar guru pemulihan khas adalah seperti berikut:

Tahun
Mata pelajaran
Jumlah
Bahasa Melayu
Matematik
1



2
8 kali x 30 minit=240
7 kali x 30 minit=210
450 minit
3
8 kali x 30 minit=240
7 kali x 30 minit=210
450 minit
Jumlah
480 minit
420 minit
900 minit
*900 minit + 120 minit (waktu persediaan) = 1020 minit seminggu

Waktu Panduan dan Persediaan (4 X 30 minit =120 minit) hendaklah dimasukkan dalam jadual waktu dan dinyatakan aktivitinya dalam Buku Rekod Mengajar. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam Waktu Panduan dan Persediaan adalah seperti berikut :
  1. Membuat rundingan dengan ibu bapa atau penjaga murid.
  2. Membuat persediaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran.
  3. Mengemas kini rekod-rekod
  4. Runding cara dengan guru kelas atau guru mata pelajaran tentang perkembangan murid di kelas biasa.
  5. Perbincangan dengan guru besar untuk meningkatkan pencapaian murid.
  6. Mengemas kini sudut-sudut pameran pembelajaran.


TUGAS GURU PEMULIHAN KHAS

Catatan ini pula adalah berdasarkan Buku Panduan Pelaksanaan Program pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M), Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1999.

A. Senarai tugas

1) Menjalankan kerja-kerja pemulihan khusus untuk murid-murid lemah yang terpilih dari tahun 1 hingga tahun 6. Keutamaan hendaklah diberikan kepada murid-murid tahun 1, 2 dan 3.

2) Membantu guru-guru asas dalam hal-hal:
  • Mengenal pasti muri-murid lemah yang memerlukan pengajaran pemulihan sama ada di kelas biasa atau kelas khas
  • Merancang dan menyediakan aktiviti-aktiviti dan bahan-bahan pemulihan.
  • Mengatur jadual waktu untuk pengajaran pemulihan
  • Mengajar bersama-sama dengan guru asas sekiranya keadaan memerlukan. 

3) Berjumpa dan berbincang dengan guru asas/ibu bapa/doktor/pegawai kebajikan atau pihak lain berkaitan  untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang latar belakang dan biodata murid yang belum menguasai kemahiran asas 3M yang telah dicalonkan untuk mengikuti program pemulihan khas.

4) Melaksanakan penilaian berterusan terhadap kemajuan murid-murid kelas pemulihan khas dan merekodkan kemajuan murid, latar belakang murid, laporan kesihatan, hasil temu bual dan rujukan.

5) Menjadi ahli jawatankuasa KBSR sekolah

6) Mengadakan bengkel di peringkat sekolah atau daerah untuk guru-guru, guru-guru besar dan pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Negeri mengenai teknik-teknik pengajaran pemulihan serta bahan-bahannya sekiranya keadaan mengizinkan.

7) Lain-lain tugas yang diberikan dari semasa ke semasa.


B. Jadual Waktu

Guru Pemulihan Khas dikehendaki mempunyai agihan masa seperti berikut:
  • Masa untuk mengajar – 990 minit 
  • Masa untuk persediaan dan panduan – 120 minit (dimasukkan ke dalam Jadul Waktu)
  • Masa luang (free period) sama seperti yang diberi kepada guru-guru lain di sekolah yang berkenaan.

Jumlah masa terlibat dengan program pemulihan ialah 1110 minit seminggu. Masa untuk persediaan dan panduan hendaklah digunakan untuk:
  • Membuat rundingan dengan ibu bapa atau penjaga murid
  • Membuat persediaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran
  • mengemas kini rekod-rekod
  • Bimbingan dan kaunseling kepada murid-murid
  • Runding cara dengan guru kelas atau guru mata pelajaran tentang perkembangan murid di kelas biasa
  • Runding cara dengan guru besar untuk meningkatkan mutu pencapaian murid
  • Mengemas kini sudut-sudut pameran pembelajaran
  • Sentiasa berusaha mempertingkatkan kemajuan pencapaian kemahiran murid


PERANAN GURU PEMULIHAN KHAS 

1) Peranan Penilaian (Assessment Role) 
  • Menyedia dan menjalankan ujian saringan untuk mengenal pasti murid-murid yang menghadapi masalah penguasaan kemahiran asas 3M. 
  • Menjalankan ujian diagnostik untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh murid secara khusus.
  • Menjalankan penilaian berterusan dan merekod dengan rapi dan sistematik.

2) Peranan Preskriptif (Prescriptive Role)
  • Merancang, menyedia dan melaksanakan program secara individu bagi murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran yang tertentu. 
  • Mengadakan bengkel atau demonstrasi pengajaran pemulihan sekiranya diperlukan.

3) Peranan Pengajaran (Therapeutic Role) 
  • Mengajar dengan menggunakan berbagai pendekatan dan kaedah serta penggunaan bahan dan aktiviti yang berfungsi agar objektif-objektif pembelajaran khusus dapat dicapai. 
  • Menilai dan merekod prestasi murid dari semasa ke semasa. 
  • Mengajar bersama-sama dengan guru kelas secara ‘team-teaching’ atau ‘khidmat damping sekiranya perlu.

4) Peranan Khidmat Bantu (Supportive Role)
  • Membantu guru-guru merancang dan mengubah suai aktiviti-aktiviti dan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran. 
  • Membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada guru-guru mengenai teknik-teknik mengajar kanak-kanak yang menghadapi m,asalah pembelajaran.

5) Peranan Perhubungan (Liaison Role) 
     Berhubung dengan:
  • Pentadbir sekolah –Guru Besar dan Penolong Kanan
  • Guru-Guru lain – guru kelas dan guru subjek 
  • Ibu bapa dan waris 
  • Masyarakat
  • Khidmat sokongan – pegawai perubatan, kaunselor dan agensi luar.

6) Peranan Kaunseling (Counseling Role)
  • Memupuk hubungan mesra (rapport) dengan murid dalam suasana yang bebas dari ancaman
  • Menolong mengubah tingkah laku murid ke arah yang positif.

7) Peranan Advokasi (Advocative Role)
  • Wujudkan jaringan hubungan sesama guru pemulihan khas sama ada di peringkat PKG, daerah malah sehingga ke peringkat negeri.
  • Dedahkan apa yang dibuat kepada rakan sejawat, pentadbir sekolah dan juga para waris melalui program ‘reach out’ atau ‘outreach’.