Showing posts with label Pengajaran dan Pembelajaran. Show all posts
Showing posts with label Pengajaran dan Pembelajaran. Show all posts

Kaedah Belajar Membaca

Salam dan hai semua.

Sedikit ulangkaji tentang beberapa kaedah mengajar dan belajar membaca yang boleh dipraktikkan iaitu antaranya adalah seperti berikut:

1. Kaedah abjad
2. Kaedah Pandang dan Sebut (Seluruh Perkataan/ whole word)
3. Kaedah Fonetik/Fonik
4. Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK)
5. Kaedah Eklektik (Kaedah Campuran)






Kredit: #hbsixtyfamily

Kaedah Khas Pemulihan Bacaan: 


1. Kaedah VAK
2. Kaedah pelbagai deria (VAKT)
3. Kaedah Fernald
4. Kaedah Gillingham

Kaedah VAK


Kaedah VAK menggabungkan deria penglihatan dan pendengaran dengan tulisan (kinestetik atau pergerakan). Dalam kaedah ini murid melihat dan menyebut perkataan sambil menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya.

Kaedah VAK menggunakan prosedur pengajaran seperti berikut, iaitu murid:

i. memerhati perkataan yang hendak dipelajari
ii. menyebut perkataan itu
iii. cuba menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya, dan
iv. membandingkan hasil tulisan dengan perkataan asal

Prosedur VAK ini diulang-ulang sehingga perkatan dapat ditulis dengan betul.

Kaedah Membaca Pelbagai Deria – VAKT (Multisensory Reading Method)


Kaedah ini dikenali sebagai kaedah VAKT yang bermaksud;

V - visual (penglihatan)
A - audio (pendengaran)
K - kinesthetic (pergerakan)
T - tactile (sentuhan)

Kaedah ini berpegang kepada prinsip “rangsangan” dalam pembelajaran dan berdiri atas premis bahawa rangsangan ke atas beberapa deria yang sensitif akan mengukuhkan pembelajaran . Langkah-langkah pengajaran adalah seperti berikut:

- kaedah ini menggunakan surihan (tracing) untuk mengajar bacaan
- guru menulis huruf cetak yang besar di atas kertas 4 x 10 (menggunakan krayon)
- murid membuat surihan huruf dengan jari di atas kertas itu
- untuk mendapatkan kesan sentuhan semasa membuat surihan, huruf dibuat daripada kertas pasir, menggunakan talam berpasir/lumpur, mewarna dengan jari, huruf timbul yang besar dan lain-lain.

Untuk belajar huruf melalui kaedah VAKT, murid hendaklah:

i. lihat huruf (V)
ii. dengar guru sebut huruf (A)
iii. menyebut huruf (A)
iv. dengar huruf yang disebut (A)
v. rasa pergerakan otot semasa membuat surihan huruf (K)
vi. rasa permukaan huruf dgn hujung jari (T)
vii. lihat pergerakan tangan semasa tracing (V)
viii. dengar sendiri huruf yang disebut semasa membuat surihan (A)

Kaedah VAKT dijadikan asas kepada model-model pengajaran bacaan yang lebih terperinci oleh tokoh-tokoh seperti Fernald, Gillingham, dan lain-lain.

Kaedah Fernald


Kaedah ini diperkenalkan oleh Fernald G.M. dan Helen, B.K. (1943, 1988) untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk. Kaedah ini merupakan gabungan pendekatan pengalaman bahasa dan pembelajaran berasaskan pendekatan pelbagai deria (VAKT). Pendekatan ini dibentuk untuk pengajaran secara individu.

Terdapat empat peringkat pengajaran dalam kaedah Fernald iaitu:

i. Menyurih (tracing) dan menulis berdasarkan ingatan satu perkataan yang diberi,
ii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang diberi,
iii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang dijumpai dalam petikan, dan
iv. Belajar melalui perkataan asas (sight words) yang terdapat dalam teks.

Peringkat pengajaran dalam kaedeah Fernald adalah seperti berikut:

Peringkat 1:

- guru menulis perkataan dengan besar menggunakan crayon di atas kertas.
- murid surih huruf-huruf dengan jari (T – K) sambil menyebut dan mendengar sebutan perkataan itu (A).
- murid juga memandang perkataan itu semasa membuat surihan(V) .
- proses ini diulang sehingga pelajar boleh menulis perkataan tanpa melihat contoh.
- murid menulis cerita berdasarkan perkataan yang telah dipelajari.

Peringkat 2:

- murid tidak perlu surih setiap perkataan, tetapi hanya melihat perkataan yang guru tulis, menyebut, dan menulis perkataan tersebut.
- murid meneruskan menulis cerita dan menyimpan fail perkataan.

Peringkat 3:

- murid belajar perkataan baru dengan melihat, menyebut, dan menulisnya terus daripada perkataan-perkataan bercetak (teks).

- Guru tidak perlu menulis perkataan kerana pada tahap ini murid sudah boleh membaca daripada buku.
 
Peringkat 4:

- murid dapat mengecam perkataan-perkataan baru berdasarkan persamaannya dengan perkataan-perkataan yang tercetak, atau bahagian-bahagian perkataan yang sudah dipelajari.
- murid sudah boleh menggunakan kemahiran bacaan untuk mengembangkan minat membaca.

Kesimpulannya, kaedah Fernald menggunakan pengalaman bahasa murid dan kaedah VAKT. Kaedah Fernald mempunyai prinsip tertentu yang perlu dipatuhi, iaitu:

i. kejayaan hendaklah ditekankan supaya motivasi murid dapat ditingkatkan atau dikekalkan,
ii. keempat-empat peringkat perlu dikuasai mengikut urutan, dan
iii. hanya diguna untuk murid yang menghadapi masalah bacaan yang teruk sahaja seperti disleksia, murid pemulihan, dan murid PKBP.

Kaedah Gillingham


Kaedah ini diperkenalkan oleh Gillingham dan Stillman pada tahun 1970-an difokuskan untuk mengajar bacaan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah bacaan yang sangat teruk. Kaedah ini mengambil masa yang lama dan langkah-langkah pengajaran hendaklah dipatuhi dengan ketat, iaitu memerlukan lima sesi pengajaran seminggu untuk selama dua tahun (minimum).

Kaedah Gillingham menumpukan penstrukturan pengajaran yang tinggi dan berorientasikan pendekatan fonetik yang menggunakan teknik surihan (tracing) untuk mengajar huruf tunggal dan bunyi yang bersamaan dengannnya.

Kaedah Gillingham menekankan pendekatan pelbagai deria yang terdiri daripada enam kesatuan deria yang sangat penting pada peringkat permulaan mengajar huruf –huruf. Enam kesatuan asas itu adalah:

i. V-A (Visual-Auditory). Perkataan yang ditulis dan huruf-huruf dihubungkan denga bunyinya. Murid tidak perlu menyebut bunyi-bunyi itu.

ii. A-V (Auditory-Visual). Bunyi-bunyi huruf dan perkataan digabungkan dengan imej visual. Tugasan ini seakan-akan aktiviti mengeja.

iii. A-K (Auditory – Kinesthetic). Bunyi-bunyi huruf danperkataan digabungkan dengan pergerakan otot semasa menyebut dan menulis.

iv. K-A (Kinesthetic – Auditory). Tangan murid didibantu untuk menyurih atau menulis bentuk huruf sambil menyebut nama atau bunyi huruf tersebut.

v. V-K (Visual – Kinesthetic). Huruf cetak dan perkataan dikaitkan dengan pergerakan otot semasa bertutur dan menulis.

vi. K-V (Kinesthetic- Visual). Pergerakan otot semasa bertutur atau menulis dikaitkan dengan bentuk visual huruf-huruf.

Langkah-langkah pengajaran;

Langkah 1:

- Dengan menggunakan kad latih tubi, tunjuk satu huruf kepada murid.
- Guru menyebut nama huruf dan murid mengikut sebutan guru
- Apabila sudah mahir, guru menyebut bunyi huruf dan murid mengikutnya
- Soalan guru , “Apakah bunyi huruf ini?”

Langkah 2:

- Tanpa menggunakan kad latih tubi, guru membunyikan mengikut huruf.
- Soalan guru, “Berikan nama huruf yang bunyinya [ č ] . Guru menggunakan strategi ejaan lisan

Langkah 3:

- Guru menulis huruf dan menerangkan bentuknya.
- Murid menyurih ikut tulisan guru, dengar, pandang, dan membunyikan huruf itu.
- guru mula memperkenalkan tulisan sambung.

Setelah murid mahir 10 huruf (konsonan dan vokal), mereka mengadun huruf-huruf menjadi perkataan.

Keupayaan membaca dalam kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza, justeru, guru perlu memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk dan juga untuk kanak-kanak berkeperluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat sesuai digunakan. 

Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu kaedah, maka guru hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang disaran dalam kaedah itu. Sekiranya guru tidak mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan atau mengikut sebahagian darikpada langkah sahaja, maka guru tidak boleh mengatakan yang dia menggunakan kaedah tersebut.

Semua guru adalah bertanggungjawab untuk mengesan kelemahan bacaan muridnya, mengenal pasti punca masalah, dan cuba membantu mereka membina kemahiran membaca seawal mungkin supaya masalah ini dapat dipulihkan sebelum menjadi lebih teruk.

Perkongsian Aktiviti Pengajaran & Pembelajaran Kelas Pemulihan Khas di Youtube Channel Cikgu Haseni

Alhamdulillah.

Beberapa hari yang lepas, channel youtube yang baru saya bina iaitu channel Cikgu Haseni (http://www.youtube.com/c/CikguHaseni) telah layak untuk 'claim' custom URL. Terima kasih atas sokongan rakan-rakan AYU #Akademi Youtuber, famili, rakan-rakan media sosial seperti Facebook serta rakan-rakan seperjuangan saya di SK Bandar Baru Sri Damansara dan juga semua yang mengenali saya.

Antara kelebihan custom URL adalah melalui custom URL tersebut, pengguna youtube akan dibawa terus ke 'homepage' channel apabila klik pada pautan tersebut selain ia mudah diingati dan 'kena' dengan nama channel.




Senarai video kategori pendidikan setakat ini:

1. Kemahiran 7 - Aktiviti PdPc - Pembelajaran kolaboratif membaca perkataan KV+KV+KV: https://youtu.be/iIZ7whWY0RI

2. Kemahiran 31 - Aktiviti PdPc - Cantum perkataan / frasa membentuk ayat: https://youtu.be/40PcMhXv_aw

3. Kemahiran 31 - Aktiviti PdPc - Susun perkataan/ frasa membentuk ayat: https://youtu.be/3BKa0xgfjT8

4. Kemahiran 18 - BBM - Perkataan KV+KVKK (Vokal A): https://youtu.be/yvlnuJp5we0

5. Kemahiran 18 - Aktiviti PdPc - Permainan bahasa 'Word Search' KV+KVKK: https://youtu.be/fbdcvXTPA2M

6. Kemahiran 18 - Aktiviti PdPc - Gunting, Suai & Padan Gambar dengan Perkataan: https://youtu.be/9qVGu5dW1BE

7. Kemahiran 7 - Aktiviti PdPC - Gunting, cerakin, cantum, bina & baca perkataaan KV+KV+KV daripada suku kata KV: https://youtu.be/um9z7zqXoyE


Terima kasih atas sokongan semua yang telah 'like', komen dan 'subscribe' channel Cikgu Haseni. Semoga saya terus bersemangat dan istiqamah menghasilkan video-video yang lebih menarik dan bermanfaat.

#kitabantukita
#AkademiYoutuber

Digraf dan Konsonan Bergabung

Digraf

Digraf ialah dua huruf konsonan (selain a, e, i, o, u) yang hadir secara berturut-turut yang menghasilkan satu bunyi dalam perkataan.
Dalam data kami, digraf sama dengan konsonan berganding, iaitu dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi seperti ng, ny dan sy, atau disebut juga dwihuruf, dwi­lambang dan huruf rangkap - Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP

Digraf dikenali juga sebagai dwihuruf, dwilambang atau huruf rangkap. Dalam Bahasa Melayu, terdapat lima dwihuruf berbeza untuk konsonan:
  1. gh mewakili /ɣ/ (geseran velar bersuara) - dipinjam dari bahasa Arab, contohnya: ghairah, Afghan dan baligh.
  2. kh mewakili /x/ (geseran velar tak bersuara) - dipinjam dari bahasa Arab, contohnya: khidmat, akhbar dan tarikh.
  3. ng mewakili /ŋ/ (sengauan velar)
  4. ny mewakili /ɲ/ (sengauan lelangit)
  5. sy mewakili /ʃ/ (geseran belakang gusi tak bersuara)

Contoh perkataan digraf:
ng - nganga, bunga, singa
ny - nyamuk, nyanyi, nyala
kh - khabar, khas, khamis
sy - syampu, syabas, syarikat
gh - ghazal, ghairah, ghaib

Perkataan pinjaman lain 
- skuter, drama, teks, stadium, stoking, krayon, troli, zink, klip, dram, bank, trak, 








Konsonan Bergabung 

Konsonan bergabung atau konsonan rangkap pula ialah gabungan 2 huruf konsonan yang hadir secara berturutan dalam satu perkataan dan kedua-dua konsonan itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Perkataan yang mengandungi konsonan bergabung kebanyakannya adalah perkataan pinjaman daripada Bahasa Inggeris.

Contoh perkataan konsonan bergabung:
- kompleks (kom + pleks)
- konkrit (kon + krit)
- traktor (trak + tor)
- strawberi (straw + beri)
- aiskrim (ais + krim)
- terminal (ter + mi + nal)
- bankrap (ban + krap)


Kekeliruan antara Digraf dan Konsonan Bergabung / Berganding / Huruf Rangkap

Kamus Dewan memberikan takrifan digraf, iaitu dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi seperti ng, ny dan sy; atau disebut juga dwihuruf, dwi­lambang, huruf rangkap. Tidak ada maklumat yang jelas tentang konsonan berganding, konsonan bergabung dan konsonan yang berturutan dalam pangkalan data kami. Adapun perkataan lain yang mempunyai urutan huruf konsonan itulah yang disebut konsonan berganding atau konsonan bergabung, dan berkemungkinan dua huruf atau tiga huruf seperti dalam perkataan klinik dan bankrap. Tidak dinyatakan turutan huruf konsonan ini dalam satu suku kata atau sebaliknya. - Dewan Bahasa dan Pustaka, 14.12.2015

Pihak kami telah merujuk Munsyi Dewan berkenaan permasalahan bahasa ini. Sebarang perkembangan terkini mengenai digraf dan konsonan bergabung akan kami maklumkan kepada pihak puan. Sehingga kini, dalam data kami, konsonan bergabung atau konsosnan rangkap pula ialah huruf konsonan yang hadir secara berurutan dalam satu perkataan dan kedua-dua konsonan itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Contoh konsonan bergabung ialah kompleks, terminal dan konkrit. - Dewan Bahasa dan Pustaka, 14.05.2014

 

DBP, 14 Disember 2015

DBP, 14 Mei 2014


*dikemaskini pada 10.10.2020

Sumber rujukan / kredit / bacaan lanjut:

Diftong dan Vokal Berganding

Definisi Diftong


Apabila wujud dua huruf vokal (a,e,i,o,u) yang duduk bersebelahan dalam perkataan dan disebut dalam satu suku kata atau satu sebutan bunyi. Diftong dieja dengan gabungan dua huruf vokal yang dilafazkan sebagai bunyi luncuran iaitu bunyi vokal yang pertama menggeluncur ke bunyi vokal yang kedua. Sebutan bunyi vokal yang pertama adalah lebih lantang (kuat) berbanding bunyi yang kedua.

Dalam Bahasa Melayu, terdapat tiga jenis huruf diftong yang dieja dengan gabungan huruf vokal iaitu;
  1. ai
  2. au
  3. oi
Secara lebih terperinci, diftong ialah:
  1. Gabungan dua bunyi vokal yang dilafazkan secara berterusan dalam satu hembusan nafas. 
  2. Terhasil apabila bunyi satu vokal menggeluncur dengan cepatnya ke suatu vokal lain. 
  3. Ia dianggap sebagai satu suku kata, dan dilambangkan oleh dua vokal tetapi bertindak sebagai satu fonem. Ertinya, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal, kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain. 
  4. Terdapat tiga jenis diftong iaitu ai, au, dan oi. 
  5. Untuk menghasilkan bunyi diftong ai, lidah berkeadaan sebagaimana membunyikan vokal “a”, dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah membunyikan vokal “i” pula. Begitu juga cara membunyikan diftong au, dan oi. 

Contoh perkataan diftong


ai - gulai, balai, tapai, tembikai, sidai, keldai, kedai, gerai, buai, cuai, misai, petai, pantai, lantai, rantai, teratai, sungai

au - harimau, wau, pulau, surau, kerbau, pisau, limau, hijau, bangau, pau, aurat, saudara

oi - sekoi, koboi, kaloi, amboi, dodoi, boikot, konvoi







Vokal berganding (Vokal Rangkap)

Apabila wujud dua huruf vokal (a,e,i,o,u) yang duduk bersebelahan dalam perkataan, tetapi terpisah sebutan bunyinya dalam suku kata.






Secara ringkas diftong - vokal berganding:

Diftong

Dibaca sebagai satu suku kata dan dilafazkan dengan cepat. 

Kedai = ke+dai
pulau = pu+lau
amboi = am+boi

Vokal berganding

Perlu dibaca secara berasingan sebagai dua suku kata.

baik = ba+ik
kaum = ka+um
liar = li+ar 
luas = lu+as


*dikemaskini pada 9.2.2017

Sumber:

  1. http://rasfarina72.blogspot.com/2014/02/diftong-vokal-berganding-digraf-dan.html
  2. http://cikgupenmerah.blogspot.com/2012/05/apa-itu-vokal-berganding-dan-diftong.html
  3. http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2012/12/diftong-dan-vokal-berganding.html

[DOWNLOAD] Buku Panduan Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Melayu Pemulihan Khas 2012

Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas ini telah diterbitkan oleh Unit Pemulihan Khas, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia buat julung kalinya pada tahun 2012 untuk kegunaan guru-guru Pemulihan Khas.

Buku ini sebenarnya boleh diolah menjadi Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) Bahasa Melayu Pemulihan Khas kerana ia mengandungi objektif PdP, aktiviti yang boleh dijalankan semasa PdP dan senarai bahan yang digunakan.

Sebelum ini saya ada menulis tentang RPT BM Pemulihan Khas dan telah berkongsi soft copy RPT tersebut dengan guru-guru lain. Namun saya dapati apabila ia dibandingkan dengan Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas 2012, RPT yang saya kongsikan itu tidak lengkap kerana tidak mempunyai objektif PdP. Malah Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Program Pemulihan Khas 2012 adalah lebih tepat dan terkini kerana terdapat tambahan kemahiran prabacaan dan pratulisan. PdP juga dimulakan dengan pengenalan kepada huruf-huruf vokal.

Kemaskini: Program Pemulihan Khas sebenarnya tidak mempunyai RPT yang khusus, namun saya menyediakan RPT untuk memudahkan saya menyelaras PdP kelas Pemulihan Khas dengan takwim tahunan sekolah.


 

Didik Hibur atau Fun Learning dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Salam sejahtera.

Bercerita merupakan contoh aktiviti didik hibur.

Istilah didik hibur atau 'fun learning' diperkenalkan seiring dengan pelaksanaan KSSR pada tahun 2010. Ia merupakan satu pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti didik hibur boleh dilaksanakan semasa melaksanakan set induksi atau semasa penutup sesi PdP.

Nota Kaki: Singkatan bagi Pengajaran dan Pembelajaran; P&P/PnP kini telah digantikan dengan PdP (Sebut P, d, P).

Definisi


Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur.

Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati.

Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.

Pengenalan Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.

Latar Belakang Didik Hibur


Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012.

Kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Adalah diharapkan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid. Justeru pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid.

Ciri-Ciri Didik Hibur


Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:

(i) Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.

(ii) Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.

(iii) Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.

(iv) Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.

(v) Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti p&p.

(vi) Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.

(vii) Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.

(viii) Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.

(ix) Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.

(x) Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

Faktor Yang Mempengaruhi Pelaksanaan Didik Hibur: Guru


Kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:

( i ) Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid

( ii ) Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.

(iii) Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.

(iv) Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.

(v) Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.

(vi) Guru boleh membuat pelbagai suara.

(vii) Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.

(viii) Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.

(ix) Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak

(x) Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel

Aktiviti Didik Hibur


Kejayaan didik hibur secara kerkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:

( i ) Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.

( ii ) Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.

( iii ) Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.

( iv ) Aktiviti didik hibur boleh dilaksana, dijalan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.

( v ) Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.

( vi ) Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.

( vii ) Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.

Penutup


Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran

Rujukan dan kredit:
1. Portal KSSR, Dr. Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar

Apakah Pengajaran dan Pembelajaran?

pendidikan
Pembelajaran ialah proses yang dimulai dengan penanggapan rangsangan yang diterima oleh pancaindera. Setiap rangsangan itu diproses dan disimpan sebagai pengalaman. Seterusnya pengalaman yang tersimpan dapat digunakan bagi mencapai matlamat dan bagi menyelesaikan masalah.

Proses pembelajaran sebenarnya adalah binaan hipotesis dan tidak dapat dilihat dengan terus. Misalnya di dalam sebuah kelas yang berjumlah 35 orang murid dan menghadapi seorang guru yang mengajar. Walaupun guru itu mendapati yang murid-murid itu memandangnya, namun guru itu tidak dapat memastikan ada di antara muridnya tidak memahami apa yang diajar dan fikirannya melayang ke tempat lain.

Kesan pembelajaran dapat dilihat apabila berlaku perubahan tingkah laku yang terdapat pada diri seseorang daripada peringkat sebelum ia menjalani proses pembelajaran dengan sesudah ia menjalani proses pembelajaran itu.

Pengajaran adalah suatu proses berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran supaya murid dapat mempelajari dan menguasainya dengan berkesan. Melalui pengajaran, murid berubah daripada tidak tahu kepada tahu. Melalui hasil pengajaran juga, tingkah laku seseorang boleh diubah.


Sumber:  

  1. Mohd. Sharani Ahmad. Mengurus Kanak-Kanak Yang Susah Belajar. PTS Publications & Distributors. 2004
  2. Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad, Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas, Penerbit Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2011