Kecerdasan Buatan atau Kepintaran Buatan atau Artificial Intelligence (AI)

Kecerdasan buatan atau kepintaran buatan atau lebih dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai Artificial Intelligence (AI) merupakan konsep yang telah lama wujud sejak tahun 1950-an lagi. AI diperkenalkan pertama kali oleh John McCarthy, seorang Profesor Matematik pada tahun 1956 dalam sebuah program AI Darthmounth Summer Research Project Artificial Intelligence (DSRPAI). Namun begitu projek tersebut kurang mendapat sambutan ketika itu dan perkembangan AI agak perlahan tetapi dengan kemajuan pesat dalam bidang komputer, perisian canggih dan keupayaan pengumpulan data yang besar, AI telah berkembang pesat.

Dari segi definisi, Kecerdasan Buatan atau AI ditakrifkan sebagai satu set program komputer dan teknologi yang meniru fungsi dan kecerdasan otak manusia (Huang, Rust, & Maksimovic 2019).

Dari segi konsep, AI adalah keupayaan mesin untuk menyelesaikan tugas dan aktiviti yang biasa dilakukan oleh manusia. AI mengumpul dan mengolah data yang diterima menjadi informasi berguna supaya dapat menyelesaikan tugas yang diberikan. AI merupakan salah satu cabang sains dan antara cabang penting dalam AI ialah pembelajaran mesin (machine learning) iaitu keupayaan mesin yang mampu ‘belajar’ untuk menjadi pintar. Konsep AI ini juga merujuk kepada keupayaan dan kemampuan komputer dan sistem untuk meniru kecerdasan manusia dalam mempelajari, berfikir, dan membuat keputusan. 

Tidak dinafikan lagi, penggunaan AI dalam pendidikan memberikan pelbagai manfaat kepada murid, pelajar dan pensyarah. Ianya boleh digunakan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran murid, pelajar serta membolehkan pensyarah dan institusi pendidikan untuk mengakses pengetahuan dan sumber-sumber pembelajaran yang lebih luas dan mendalam. Teknologi AI ini juga boleh dimanfaatkan untuk merancang pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan serta kebolehan murid dan pelajar.

Penggunaan pengajaran berasaskan teknologi AI akan memberikan kesan positif terhadap pencapaian akademik pelajar (Zhao et al., 2019). Teknologi AI yang menyediakan sejumlah besar perisian mempunyai keupayaan untuk dijadikan sebagai platform pembelajaran kendiri atau pembelajaran berbantukan guru (Abu Zaqiyah, 2018).

No comments:

Post a Comment