TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ
MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN DAN
PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
DI MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN HARI
GURU KALI KE-42
PADA 16 MEI 2013; PUKUL 8.30 MALAM
BERTEMPAT DI STADIUM TERTUTUP NILAI,
NEGERI SEMBILAN
TEMA: “GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI,
1AGENDA”
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan,
Menteri Besar Negeri Sembilan;
Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh
Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II
Yang Berhormat Datuk Marry Yap
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I
Yang Berhormat P. Kamalanathan
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II
Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Pengarah Jabatan
Pelajaran Negeri Sembilan
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia,
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian
Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan,
Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.
PENDAHULUAN
1. Alhamdullillah,
bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan berkat izin dan limpah kurnia-Nya,
dapat kita berhimpun pada malam ini untuk sama-sama meraikan para guru dan
seluruh warga Kementerian Pelajaran Malaysia sempena sambutan Hari Guru 2013.
Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima
kasih yang tidak terhingga kepada YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji
Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus atas kesudian menjadi tuan
rumah dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program sambutan Hari
Guru pada tahun ini.
2. Saya juga mengucapkan
tahniah kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan atas kejayaan memimpin Barisan
Nasional memenangi negeri ini dalam pilihanraya umum yang baru lalu. Saya juga
mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh, Yang
Berhormat P Kamalanathan dan Yang Berhormat Mary Yap atas pelantikan sebagai
Menteri II dan Timbalan-Timbalan Menteri di Kementerian Pelajaran dan Pengajian
Tinggi. Saya berharap agar dengan pelantikan Yang Berhormat sekalian di
Kementerian kita ini akan dapat membantu saya melaksanakan tugas yang lebih
mencabar selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang pendidikan dari
peringkat pra-sekolah hingga ke tahap pengajian tinggi. InsyaAllah dengan
kerjasama yang erat antara anggota pentadbiran yang baru dilantik oleh YAB
Perdana Menteri dan seluruh warga Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi
yang digabungkan, kita akan dapat bersama-sama melaksanakan amanah memacu
kecemerlangan pendidikan di negara kita dengan sebaik mungkin.
3. Saya juga ingin
merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB
Perdana Menteri yang telah sekali lagi memberikan kepercayaan kepada saya untuk
memimpin Kementerian Pelajaran yang amat penting kepada perpaduan rakyat dan
kemajuan negara kita. Keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggabungkan
Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung
dengan pelantikan seorang Menteri Kedua adalah satu keputusan tepat yang
melambangkan keprihatihan kepimpinan beliau untuk melihat bidang pendidikan di
negara kita dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih
berkesan kepada kemajuan negara. InsyaAllah, dengan penggabungan kedua-dua
Kementerian ini kita akan dapat melaksanakan dasar-dasar yang lebih seragam di
semua peringkat pendidikan di samping berkongsi sumber dan kepakaran di sekolah
dan institusi pengajian tinggi untuk melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara
kita. Usaha-usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih
efisyen apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembeng
secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan berganda dalam
pendidikan negara.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
4. Tarikh 16 Mei
merupakan hari yang begitu istimewa buat setiap insan bergelar guru. Hari ini
memberi peluang kepada kita semua untuk menyatakan penghargaan dan penghormatan
terhadap jasa bakti guru kita di seluruh negara. Tidak kira samada anda adalah
guru yang bertugas di tadika, di sekolah, di kolej atau di universiti, anda
semua adalah insan istimewa yang telah membimbing anak bangsa sehingga mereka
menjadi warganegara yang berjaya. Justeru, sempena tarikh keramat ini, saya
ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada
semua guru tidak kira walau di mana anda berada di seluruh pelusuk negara.
5. Sebagai Menteri
Pelajaran saya menyeru para guru yang dikasihi untuk terus berjihad dan
bertekad bersama-sama kerajaan Barisan Nasional yang telah sekali lagi diberi
mandat oleh rakyat untuk menerajui negara bagi menerus dan mempergiatkan usaha
mendidik generasi muda menjadi insan dan warganegara yang berguna. Kerajaan
sentiasa menghargai peranan para guru dalam membina modal insan, memelihara
perpaduan kaum dan berbakti kepada negara.
6. Tidak dapat kita
nafikan, kesejahteraan dan kehidupan selesa yang kita nikmati pada hari ini
adalah hasil sumbangan dan berkat kegigihan serta pengorbanan guru dalam bidang
pendidikan. Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan
seimbang dan holistik tidak akan tercapai tanpa peranan besar yang dimainkan
oleh para guru. Segala dasar dan pelan pendidikan yang terbaik tidak dapat
direalisasikan tanpa komitmen dan dedikasi para guru. Segala cabaran dan
rintangan yang dihadapi oleh generasi masa kini memerlukan bimbingan para guru.
Bahkan, tugas guru pada alaf ini menjadi semakin penting kerana bidang
pendidikan merupakan penentu kejayaan sesebuah negara. Cabaran besar untuk
mendidik murid agar menghargai nilai keinsanan, menghormati perbezaan adat dan
budaya serta memperkukuh perpaduan dan jati diri memerlukan guru yang bukan
hanya mahir mengajar tetapi juga bijak membimbing.
7. Lebih-lebih lagi
dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, peranan guru membina sebuah
masyarakat yang harmonis dan bersatu padu menjadi semakin mencabar. Walaupun
negara kita telah merdeka lebih 56 tahun dan masyarakat pelbagai kaum dapat
hidup secara bersama dalam suasana yang aman dan harmoni, tugas untuk
memelihara perpaduan kaum adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan
secara berterusan. Kita tidak boleh lalai dan leka kerana kecenderungan ke arah
polarisasi kaum sentiasa wujud dan jika tidak dibendung ia akan memberikan kesan
yang amat buruk terhadap keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.
8. Oleh sebab itu,
antara peranan utama pendidikan sepertimana yang termaktub dalam Dasar
Pendidikan di negara kita ialah untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu
padu menerusi satu sistem pendidikan kebangsaan. Kewujudan sekolah-sekolah
kebangsaan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama
adalah wahana penting untuk membolehkan murid pelbagai kaum mengikuti
pendidikan menggunakan kurikulum yang sama, bertutur dalam bahasa yang sama dan
bergaul sesama mereka dalam suasana yang penuh mesra dan akrab.
9. Dalam konteks ini,
pendidikan merupakan wahana penting pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu
padu. Sekolah-sekolah kebangsaan merupakan wahana pemersatu yang mempunyai
peranan penting untuk menyatukan semua kaum di negara kita. Kita perlu sentiasa
memikirkan bagaimana institusi pendidikan di peringkat sekolah dan universiti
dapat membina perpaduan yang lebih jitu dalam kalangan rakyat. Setiap institusi
pendidikan di negara kita perlu mewujudkan suasana yang kondusif untuk
membolehkan murid daripada pelbagai latar kaum dan agama bergaul sesama mereka
dengan lebih mesra dan akrab. Kita perlu runtuhkan tembok prejudis yang tebal
dengan menggalakkan interaksi yang harmonis antara murid pelbagai kaum. Pada
masa yang sama, kita mesti meneruskan usaha memperkasa sekolah kebangsaan
sebagai sekolah perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
ilmu dan bahasa perpaduan rakyat.
10. Menerusi sistem pendidikan
kebangsaan, kita mesti lahirkan warga negara yang patriotik dan berakhlak
mulia, yang memahami sejarah asal usul negara bangsa, yang mengormati
perlembagaan dan undang-undang negara, yang menjunjung sistem demokrasi
berperlembagaan, dan menghayati semangat serta prinsip rukunegara. Pendidikan di
negara kita bukanlah semata-mata alat untuk melahirkan modal insan yang berjaya
memacu kemajuan negara, tetapi juga melahirkan insan mulia dalam sebuah
masyarakat majmuk yang menghayati sejarah, menghormati perbezaan agama, adat
dan budaya serta menghargai nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
11. Tugas penting ini tergalas di
bahu para guru. Mudah-mudahan jasa dan bakti guru yang dicurahkan pada hari ini
akan menentukan rupa wajah masa depan negara kita yang lebih bersatu-padu.
GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
12. Pada tahun ini, kita memilih
“GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA” sebagai tema Hari Guru. Pada hemat saya,
tema ini amat bertepatan dengan hasrat Kementerian untuk mentransformasi sistem
pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 yang telah kita lancarkan. Tema ini merupakan cerminan harapan rakyat
dalam melahirkan generasi masa hadapan yang lebih cemerlang di negara kita.
Seluruh warga pendidik wajar memahami hasrat dan kehendak dalam PPPM dengan
berusaha memberikan pendidikan berkualiti menjangkau ke seluruh lapisan
kanak-kanak sesuai dengan prinsip pendidikan untuk semua tanpa membezakan kaum,
status sosial, taraf ekonomi, dan agama.
13. Kementerian Pelajaran telah
merangka pelan pembangunan yang komprehensif untuk mencapai matlamat PPPM. 100
inisiatif utama telah dibentuk bagi pelaksanaan PPPM 2013-2025 yang
merangkumkan dasar-dasar utama kerajaan termasuk Pelan Transformasi Kerajaan,
Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10. Saya juga amat
bersyukur kerana sasaran enam inisiatif untuk 100 hari gelombang pertama PPPM
telah pun berjaya dicapai.
KEJAYAAN 100 HARI PERTAMA PPPM
14. Antaranya, 61,000 orang guru
Bahasa Inggeris telah diuji melalui Cambridge Placement Test (CPT) bagi
mengenal pasti tahap profisiensi guru dalam bahasa Inggeris. Berdasarkan
analisis keputusan CPT yang telah dilaksanakan, kohort pertama yang terdiri
daripada 5,000 guru telah memulakan latihan bagi meningkatkan lagi tahap
profisiensi mereka. Seterusnya, program latihan Professional English Language
Teaching (Pro-ELT) dilaksanakan secara berfasa melibatkan guru-guru Bahasa
Inggeris yang berkenaan.
15. Kementerian berharap agar guru
yang mengikuti program latihan secara tersusun dan sistematik akan dapat
melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah
dengan lebih berkesan. Seterusnya, sudah pasti murid akan beroleh manfaat dan
mampu bersaing di persada antarabangsa apabila mereka lebih fasih serta yakin
untuk berbahasa Inggeris.
16. Peningkatan kualiti guru juga
dilaksanakan dengan mewujudkan 339 Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan
1,278 Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang ditempatkan di Pejabat
Pelajaran Daerah di seluruh negara menjelang 2014. SiPartners+ dan SISC+
diwujudkan untuk mengiktiraf kepakaran guru melalui Program Transformasi
Pejabat Pelajaran Daerah. Pembimbing guru dan kepimpinan sekolah yang dirintis
di Kedah dan Sabah telah berjaya membantu meningkatkan kesedaran guru kepada
amalan pengajaran yang lebih efisyen di samping pengurusan sekolah yang lebih
cekap. Melalui transformasi PPD, saya yakin guru mendapat sokongan yang terbaik
sehingga dapat meningkatkan kualiti sekolah dengan pengurangan sebanyak 50
peratus sekolah dalam band 6 dan 7 di negeri Sabah dan Kedah. InsyaAllah,
menjelang tahun 2015 kita akan berjaya mencapai sasaran sifar bagi kedua-dua
band tersebut.
17. Dengan kejayaan mencapai matlamat
inisiatif 100 hari pelaksanaan PPPM, saya suka mengingatkan agar kita semua
janganlah lalai dan leka. Usaha yang berterusan perlu digiatkan bagi memastikan
anak didik kita menguasai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman pembelajaran
yang berkualiti. Justeru, usaha bagi merealisasikan kesemua 19 inisiatif PPPM
perlu kita laksanakan sedaya upaya dengan penuh komitmen agar menjelang 2015
segala perancangan strategik berjaya dilaksanakan sepenuhnya. Saya amat
mengharapkan jasa baik dan bantuan guru-guru untuk berganding bahu bersama-sama
saya menjayakan inisiatif PPPM yang telah kita usahakan.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
PERANAN GURU DALAM PPPM
18. Dalam melaksanakan hasrat PPPM,
para guru berperanan untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap
bertaraf dunia. Untuk itu, para guru perlu memiliki satu wawasan unggul untuk
mentransformasi pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu
berinovasi. Bagi menyahut hasrat ini, para guru perlu sentiasa berusaha untuk
meningkatkan keberhasilan sekolah dan kemenjadian murid. Saya akur, guru selama
ini memang telah berakauntabiliti dalam meningkatkan pencapaian murid dan
kejayaan sekolah. Namun, akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi sekolah
masing-masing perlu terus dipertingkatkan kerana dalam dunia yang kompetitif
hari ini persaingan menjadi semakin sengit. Kebolehan kita untuk berjaya
bergantung pada kelebihan daya saing kita yang ditentukan oleh kemampuan minda
dan keupayaan berfikir pada aras tinggi. Oleh itu, kemahiran berfikir aras
tinggi (KBAT) meliputi pemikiran kritikal, keupayaan berkomunikasi, kemampuan
penerokaan persekitaran serta keyakinan kendiri perlu sentiasa dijana menerusi
pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik.
19. Bagi menilai keberkesanan KBAT,
sebanyak 30 peratus soalan dalam peperiksaan pusat seperti UPSR, PMR, SPM dan
STPM/STAM menjurus kepada elemen KBAT. Dalam kalangan murid juga, KBAT dinilai
melalui peperiksaan antarabangsa seperti TIMSS dan PISA sesuai dengan hasrat
Kementerian untuk melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat global.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dilaksanakan dalam tempoh dua
tahun ini diharap dapat mengesan kelebihan atau kegagalan penguasaan murid dari
peringkat awal. Melalui PBS, saya yakin guru dapat mencungkil kemahiran
berfikir aras tinggi murid dan menggalakkan perekaciptaan dalam kalangan
mereka.
20. Pendeta Za’aba pernah menegaskan
bahawa ilmu pengetahuan adalah asas terpenting yang menyelamatkan manusia
daripada belenggu kemunduran. Justeru, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu
sentiasa dimantapkan agar kita kekal relevan dalam persaingan menuju negara
maju. Oleh sebab itu, guru-guru juga harus berani meneroka pelbagai cabang ilmu
untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan. Warga guru
wajar mencontohi Cikgu Zainuddin Zakaria dari SMK Taman Bukit Maluri Kepong
yang telah memenangi tempat pertama dalam kategori “Educator’s Choice” semasa
persidangan ‘Microsoft 8th Partners in Learning Asia and Pacific Forum’ di New
Zealand menerusi hasil penciptaan beliau yang menggunakan Teknologi Maklumat
dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran.
LATIHAN DAN LALUAN KERJAYA GURU
21. Pemerkasaan guru melalui latihan
yang berterusan amat penting bagi menghasilkan tenaga kerja mahir. Modal insan
minda kelas pertama dipertaruhkan untuk memacu pembangunan negara dalam
merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, amatlah wajar aspek pendidikan guru
menjadi agenda utama kementerian. Pelan induk Pembangunan Profesionalisme
Berterusan (CPD) baharu dan pangkalan data pengesanan CPD bagi memantap dan
mengukuhkan ilmu pengetahuan akan dilaksanakan. CPD dapat membangunkan kapasiti
dan mengukuhkan nilai profesional untuk meningkatkan kualiti diri dan
kompetensi dalam profesion seiring dengan aspirasi negara. Peningkatan
keupayaan dan kompetensi guru termasuk pemimpin sekolah diberi keutamaan bagi
menjamin keberhasilan pencapaian murid. Dalam usaha memastikan guru berpeluang
untuk mendapatkan latihan yang cukup, Latihan Berasaskan Sekolah perlu
dirancang dan dilaksanakan di setiap sekolah.
22. Kerajaan amat berterima kasih
atas usaha dan ketekunan guru meningkatkan kualiti pendidikan. Demi
memartabatkan profesion keguruan, kerajaan telah menggariskan beberapa
inisiatif untuk meningkatkan taraf para guru. Melalui PPPM 2013-2025, pelan
untuk menaik taraf profesion keguruan akan dirangka supaya 420,000 guru
berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi. Laluan kerjaya yang terbaik
akan disediakan untuk guru. Namun guru-guru hendaklah berada di tahap prestasi
cemerlang dalam Penilaian Instrumen Bersepadu dan melengkapkan diri melalui CPD
yang bersesuaian sebelum dipertimbang dan diperakukan untuk kenaikan pangkat.
Walau bagaimanapun, untuk memastikan pendidikan negara terus berkualiti, guru
berprestasi rendah akan melalui CPD yang sistematik dan berstruktur atau sesi
kaunseling mengikut keperluan. Bagi guru-guru yang masih lagi tidak menunjukkan
sebarang peningkatan atau perubahan walaupun telah melalui CPD berkenaan akan
melalui proses penempatan semula mengikut kesesuaian.
23. Guru-guru yang baru dilantik
atau novis juga perlu bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat
mengharungi perubahan persekitaran yang dinamik. Guru perlu mengajar murid
untuk mempraktikkan ilmu dan mengaplikasikan serta mencetuskan idea baharu.
Bagi menghasilkan modal insan yang setanding dengan aras antarabangsa
sekurang-kurangnya pada tahap ‘kategori tiga teratas’ dalam sistem pendidikan
terbaik dunia, maka profesion keguruan perlu ditransformasikan. Selaras dengan
PPPM 2013-2025, Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu membawa perubahan melalui
penggunaan prinsip Strategi Lautan Biru dengan mencipta pasaran atau produk
yang belum ada saingan, menjadikan saingan tidak relevan, fokus kepada bukan
pelanggan sedia ada dan mencipta serta meneroka permintaan baharu. Dengan
perkataan lain, IPG perlu mengorak langkah memperluaskan pasaran latihan
perguruan ke luar negara dan secara tidak langsung melebarkan kebolehpasaran
graduan IPG sendiri. Sudah sampai masanya IPG menghasilkan kurikulum pendidikan
guru bertaraf antarabangsa supaya latihan perguruan dapat diperluaskan dengan
menawarkan latihan perguruan kepada negara dunia ketiga.
24. Sesungguhnya guru juga akan
menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai bagi memastikan kualiti kerja
meningkat. Sesungguhnya guru juga akan menikmati persekitaran kerja yang lebih
sesuai bagi memastikan kualiti kerja meningkat. Melalui PPPM 2013-2025, guru
akan didedahkan dengan budaya kerjasama dan kecemerlangan profesional. Mereka
perlu saling bekerjasama dalam menangani isu dan berkongsi amalan terbaik.
Dengan itu, guru akan mempunyai keluwesan pedagogi yang lebih besar di dalam
bilik darjah bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran murid. Untuk
memastikan guru lebih fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran dan murid
mendapat faedah semaksimum mungkin, maka kita sedang menjalankan kajian rintis
di Melaka bagi menempatkan pembantu tadbir N17 di sekolah bagi menguruskan
tugas perkeranian guru data, perpustakaan dan media. Guru data dan guru
media akan melepaskan tugas berkenaan secara beransur-ansur untuk memberi fokus
kepada pengajaran dan pembelajaran secara sepenuh masa. Dapatan awal kajian
rintis menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sekiranya kajian rintis ini
berjaya, maka insyaAllah kita akan memperluaskan khidmat sokongan pembantu
tadbir N17 ini ke semua sekolah secara berperingkat-peringkat. Kita yakin, masa
mengajar guru yang berkualiti adalah sangat berharga dalam meningkatkan kualiti
pendidikan secara keseluruhannya.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
TRANSFORMASI KURIKULUM
25. Kita sedar bahawa penghayatan
nilai-nilai rohani adalah satu tonggak utama dalam pendidikan. Sementara kita
ghairah mengejar kemajuan duniawi, pembentukan insan yang beriman dan
bersahsiah mulia jangan kita abaikan. Saya amat bersyukur dalam PPPM 2013-2025,
aspek kerohanian juga ditekankan bagi menjana modal insan berakhlak mulia.
Pembentukan murid dengan nilai-nilai murni berasaskan ajaran agama amat penting
bagi memastikan negara memperoleh generasi pemimpin masa hadapan yang telus,
bertanggungjawab dan berintegriti. Justeru, Transformasi Kurikulum Pendidikan
Islam digubal dengan mewujudkan Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz sebagai
Kurikulum Kebangsaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat
bermula dengan Tingkatan Enam Dini pada tahun 2014 dan Tingkatan 1 pada tahun
2015. Pendaftaran Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat sebagai Sekolah
Agama Bantuan Kerajaan jelas membuktikan bahawa KPM komited untuk mengangkat
martabat pendidikan Islam di negara ini. Di samping itu, KPM turut mengambil
perhatian terhadap penerapan nilai-nilai murni menerusi pelaksanaan kurikulum
Pendidikan Moral.
26. Selain itu, kemahiran vokasional
dan perekaciptaan dalam kalangan murid diperluaskan dalam Pelan
Transformasi Pendidikan Vokasional. Pelan tansformasi ini telah dilancarkan
merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif serta sebelas tindakan bagi
meningkatkan nilai pasaran kerja murid dan melonjakkan kualiti pendidikan
vokasional setaraf dengan negara maju. Sesungguhnya, transformasi vokasional
telah menunjukkan kejayaan apabila KPM menerima permohonan memberangsangkan
dengan 110,000 pemohon untuk mengikuti kursus di Kolej Vokasional dan Sekolah
Menengah Teknik. Buat masa ini kita dapat menampung 23,000 orang pelajar bagi
program aliran vokasional, kemahiran dan teknikal. Usaha sedang dibuat untuk
menyediakan lebih banyak tempat bagi memenuhi permintaan yang tinggi dalam
aliran ini.
27. Bagi meningkatkan kualiti
pendidikan vokasional, jalinan kerjasama dengan Institut Latihan Kemahiran Awam
dan Swasta telah dilaksanakan. Jalinan kerjasama ini memantapkan lagi proses
pembelajaran dan latihan pelajar sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar.
Penglibatan dalam perkongsian ini akan membolehkan KPM memperoleh teknologi
serta kepakaran, selain mengelak berlakunya masalah ketidaksepadanan antara
latihan kemahiran yang disediakan dan bidang pekerjaan yang ditawarkan oleh
pihak industri.
KEJAYAAN GURU DARI ASPEK LATIHAN DALAM BIDANG SUKAN
28. Pada hari ini, kita dapat
membuktikan landasan yang dibina oleh KPM dari peringkat akar umbi telah
menghasilkan atlet murid yang cemerlang dan berpotensi tinggi bukan sahaja di
peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa. Banyak kejayaan yang
telah diraih oleh atlet kita di temasya sukan di dalam dan luar negara. Sebagai
contoh, di Kejohanan Balapan dan Padang MSSM 2012, sebanyak 10 rekod baru
dicipta. Begitu juga dalam Kejohanan Renang MSSM 2013, sebanyak 12 rekod baru
dicipta. Perenang muda seperti Welson Sim dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan
Yap Siew Hui dari SMK Khatolik Petaling Jaya bakal mewakili negara pada masa
terdekat. Ini jelas menunjukkan peningkatan prestasi atlet kita bermula di
peringkat kebangsaan. Di persada antarabangsa pula, atlet murid kita juga telah
menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam Kejohanan ASEAN Schools Games 2012.
Saya begitu bangga kerana Malaysia menjadi johan dalam sukan balapan dan
padang.
29. Atlet kita juga cemerlang dalam
kejohanan badminton Sekolah-Sekolah Asia apabila pasukan negara muncul sebagai
juara di rantau Asia. Di kejohanan bolasepak Sekolah-Sekolah Asia Bawah 15
Tahun, kontinjen negara telah diumumkan sebagai naib johan. Di samping itu,
terdapat juga atlet murid dari Sekolah Sukan Bukit Jalil mewakili remaja negara
dalam sukan skuasy seperti Ng Eain Yow yang telah menjuarai kejohanan Skuasy
Remaja Terbuka British. Begitu juga dengan atlet murid sukan renang dan
menembak yang telah menyinar dalam Australian Youth Olympic Festival dengan
meraih pingat emas. Atlet murid perempuan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil kita
pula cemerlang dalam kejohanan bola jaring ‘Tri-Nations’ di Hong Kong dengan
menjuarai kejohanan tersebut. Atlet murid ini bakal mengharumkan nama negara di
persada antarabangsa. KPM sentiasa menghargai jasa guru dalam mengharumkan nama
sekolah, daerah, negeri serta negara dengan usaha gigih dan mencungkil
bakat-bakat baru dalam bidang sukan selama ini.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
30. Seperti yang saya sebutkan di
awal ucapan, kelestarian, kemajuan dan kemakmuran negara juga terletak pada
keupayaan guru untuk memupuk perpaduan dan keharmonian kaum yang berkekalan.
Bagi meningkatkan lagi penghayatan murid pelbagai kaum terhadap nilai
patriotisme, guru perlu melaksanakan pelbagai program yang menjurus ke arah
penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara. Usaha memperkenalkan dan
mempopularkan lagu-lagu patriotik dalam kalangan murid merupakan satu langkah
yang baik untuk mewujudkan integrasi nasional di semua jenis sekolah. Di
samping itu, sukalah saya mengingatkan guru-guru agar menjadi suri teladan dan
contoh yang baik kepada murid dalam usaha menghayati nilai-nilai murni serta
nilai patriotisme itu sendiri. Dalam konteks ini, guru juga harus sentiasa
menyuntik rasa bersyukur dan berterima kasih dalam sanubari murid atas
kemakmuran dan kestabilan negara yang sedang kita nikmati hingga ke hari ini.
31. Saya juga berasa teruja untuk
mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan keberanian guru-guru kita di
Lahad Datu. Saya ucapkan terima kasih terutama kepada Cikgu Saabi binti Hasin
dari SK Lok Buani Lahad datu yang menjadikan rumahnya sebagai sekolah sementara
untuk anak-anak murid belajar dan membiayai pula perbelanjaan makan minum
mereka. Selain itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Catherine
Gonolon dari SK Fajar Harapan Lahad Datu yang sanggup berada di kawasan
pertempuran dan mengajar murid-murid dari sekolah yang berlainan. Inilah antara
contoh guru yang kita sanjung tinggi. Saya berharap tiada lagi guru yang
mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi yang boleh menjatuhkan maruah dan
kredibiliti guru yang sememangnya disanjung tinggi oleh masyarakat kerana
sanggup berbakti tanpa mengira suasana, masa dan tempat. Tahniah dan syabas
saya ucapkan kepada guru-guru yang sanggup berkorban dalam apa jua keadaan demi
mendidik anak bangsa.
32. Setimpal dengan jasa dan
pengorbanan guru yang tidak terhingga, kerajaan menyediakan Anugerah Tokoh Guru
pada setiap tahun bertujuan untuk mengenang jasa dan bakti guru yang telah
bersara, namun tetapi masih aktif berbakti kepada negara. Pada tahun ini, kita
memperkenalkan Anugerah Ikon Guru bagi mengiktiraf jasa guru yang masih berkhidmat
dan telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua bakal para penerima anugerah.
33. Akhir kalam, saya mengucapkan
Selamat Hari Guru dan terima kasih cikgu. Marilah kita bersama-sama menjayakan
transformasi pendidikan bagi memenuhi hasrat dan aspirasi negara kita untuk
menjadi sebuah negara maju. Seiring dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu “1
Agenda, 1 Aspirasi”, saya mengajak warga guru sekalian untuk bekerja bersama-sama
saya bagi memastikan pendidikan di negara kita menjadi antara yang terunggul
dan terbaik di dunia. Kepada Allah kita berserah dan kepadaNya jua kita memohon
pertolongan.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-42 tahun
2013.
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
Adakah Anda Perlu pinjaman kredit kewangan yang mendesak?
ReplyDelete* Pemindahan Sangat pantas dan cepat ke akaun bank anda
* Bayaran balik bermula lapan bulan selepas anda mendapatkan wang
dalam akaun bank anda
* Kadar faedah yang rendah sebanyak 2%
* Pembayaran balik jangka panjang (1-30 tahun) Panjang
* Syarat-syarat pinjaman yang fleksibel dan bayaran bulanan
* Memohon - Dapatkan Kelulusan - Akaun dikreditkan dengan jumlah pinjaman
Dapatkan Kelulusan dalam 10 min.just hubungi kami di
E-mel homeofequity@gmail.com
PERMINTAAN UNTUK PINJAMAN
================================
Nama: ...................
Nama kedua: ..................
Hubungi Alamat: .................
Negara: ...................
Umur: ..........................
Jantina: ....................
Nombor Telefon: ..............
Status: .................
Pendudukan: ...............
kedudukan: .................
pendapatan bulanan: ..............
Jumlah Pinjaman: .................
Tujuan Pinjaman: ...............
jangka masa: ....................
Adakah anda memohon untuk pinjaman sebelum: ............
anda memahami Bahasa Inggeris: ..........
sila mengisi dan menghantar borang tersebut kepada:
E-mel homeofequity@gmail.com
Yang ikhlas,
Nicholas Payne
C.E.O Modal Ekuiti