RPT dan Dilema Guru Pemulihan Khas

Salam rakan guru semua.

RPT atau Rancangan Pelajaran Tahunan atau Rancangan Pengajaran Tahunan adalah perkara wajib yang perlu ada pada setiap orang guru dalam menjalankan tugas mengajar. 

Guru perlu menyediakan RPT bagi setiap mata pelajaran yang diajar mengikut aliran atau tahun. RPT perlu disesuaikan dengan takwim dan aktiviti sekolah masing-masing.

Penyediaan RPT adalah kewajipan bagi setiap guru aliran perdana.

Bagaimana pula dengan Guru Pemulihan atau Guru Pemulihan Khas atau Guru Pemulihan LINUS? 

Adakah mereka juga wajib menyediakan RPT?

Semasa pemantauan oleh PPD beberapa minggu yang lalu, saya dimaklumkan tentang perkara ini oleh pegawai FasiLINUS.

Menurut pegawai FasiLINUS tersebut, program Pemulihan Khas atau program LINUS tidak memerlukan RPT. Sebaliknya Guru Pemulihan perlu menyediakan Rancangan Pengajaran Individu untuk 3 bulan atau pun Rancangan Pengajaran 3 bulan

Semasa saya belajar di maktab dahulu, pensyarah ada menyentuh tentang RPI tetapi beliau tidak 'memaksa' guru Pemulihan Khas untuk menyediakannya. RPI ini biasanya dipraktikkan oleh guru Pendidikan Khas. Semasa menjalankan praktikum, saya dan kawan-kawan yang lain perlu menyediakan RPT dan bukan RPI.

Menurut pegawai FasiLINUS itu lagi, bagi program LINUS pula, PdP murid perlu diselaraskan dengan kemahiran yang ada dalam sukatan KSSR. 

Contohnya, Guru LINUS Literasi tahun 2 hanya ada satu RPT iaitu RPT BM tahun 2 sahaja. Semasa menjalankan PdP, guru perlu sesuaikan kemahiran BM tahun 2 (murid perdana) dengan konstruk LINUS (murid LINUS). 

Yang membezakan murid perdana dan LINUS adalah pada objektif PdP dan aktiviti PdP yang dijalankan guru serta penilaian guru (lembaran kerja).

Rasionalnya tidak perlu RPT ialah kerana setiap murid Pemulihan / LINUS adalah berbeza keupayaan, tahap dan aras kemahiran mereka. Murid akan diajar berdasarkan konstruk yang mereka belum dikuasai. Jika beberapa orang murid mempunyai aras kemahiran yang sama atau hampir sama, maka mereka boleh diletakkan dalam satu kumpulan.

Berdasarkan pengalaman saya, saya jarang menemui satu kelas atau sekumpulan murid yang mempunyai aras kemahiran yang sama. Biasanya saya akan membahagikan mereka sekurang-kurangnya kepada 2 kumpulan yang akan diajar kemahiran/konstruk yang berbeza.

Mungkin istilah yang sesuai bagi RPT bagi program Pemulihan Khas ialah RP (Rancangan Pengajaran / Rancangan Pelajaran) yang ditiadakan huruf 'T' (Tahunan), wallahualam.






Terima Kasih

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kebiasaanya saya tidak rujuk Pegawai Fasilinus kerana Fasilinus ialah Fasilitator untuk Guru LINUS dan biasanya mereka kurang arif tentang 'pemulihan khas'. Jangan mudah diperkotak katikkan oleh Pegawai PPD, sedangkan kita dibawah jagaan Bahagian Pendidikan Khas. RPT ada, cuma kita tidak sasarkan tarikh kerana murid dibimbing berdasarkan kemahiran dan keupayaan mereka. Fasilinus pernah arahkan saya mengambil murid-murid LINUS seramai 25 orang dalam satu PNP tetapi saya menunjukkan Garis Panduan Pemulihan Khas bahawa kita tidak boleh mengambil murid lebih dari 15 orang. Terlopong Fasilinus dengan jawapan saya dan mereka memang kurang arif tentang Pemulihan Khas. Harap Maklum dan Jangan Confuse! ;D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas info. Setahu saya RPT mesti ada bil. minggu dan sebaiknya diletakkan tarikh bg setiap minggu. RPT pula kena ikut takwim sekolah seperti minggu peperiksaan, ujian, program sekolah dsb. Jika item/kolum minggu tiada, adakah ia juga dipanggil RPT?

      Delete