Showing posts with label Pemulihan Khas. Show all posts
Showing posts with label Pemulihan Khas. Show all posts

Pendekatan Mengajar Kemahiran Membaca Bahasa Melayu


Perbezaan Pemulihan Khas dan Pendidikan Khas

Catatan Nota

Seringkali guru-guru asas keliru membezakan di antara Pemulihan Khas dan Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran. Salah tanggapan ini kadang kala menyebabkan murid-murid dilabelkan secara salah.
"Setiap insan itu istimewa, tidak kira siapa pun murid- murid kita, mereka berhak mendapat pendidikan yang terbaik demi masa depan mereka."

Dunia pendidikan sekarang lebih fokus kepada murid-murid yang istimewa ini. Tidak kira mereka berada dalam kelas Pemulihan Khas atau Pendidikan Khas, mereka diberi keutamaan dan penumpuan yang lebih untuk mencapai sifar dalam menangani masalah 3M. 

Pelbagai cara dan kaedah yang dijalankan untuk membantu murid-murid menguasai kemahiran 3M. Bagi murid Pendidikan Khas mereka juga diberi pendedahan dan pengajaran yang lebih kurang sama dengan Pemulihan Khas


Murid Pemulihan Khas
Yang nyata, murid pemulihan khas ialah murid normal yang menghadapi kesulitan pembelajaran dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Murid- murid ini tercicir dalam penguasaan 3M berbanding rakan sebaya mereka. Murid Pemulihan Khas akan datang ke kelas Pemulihan Khas ketika waktu mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik sahaja dan akan kembali ke kelas mereka semula untuk mempelajari mata pelajaran lain.


Murid pendidikan Khas
Murid Pendidikan Khas pula ialah murid kelainan upaya (OKU) yang telah mendapat pengesahan daripada doktor perubatan dan diberikan elaun. Murid-murid ini belajar sepenuh masa di kelas Pendidikan Khas.


Pemulihan Khas

Program Pemulihan Khas secara definisinya adalah satu jenis pendidikan yang cuba memenuhi kehendak murid yang menghadapi masalah pembelajaran iaitu kegagalan belajar yang tidak dapat ditentukan, di antara faktornya termasuklah persekitaran dan pengalaman hidup masing-masing. Program Pemulihan Khas mengutamakan prinsip "menyelesaikan masalah seawal mungkin" supaya masalah tidak menjadi kronik dan berterusan sehingga ke tahap 2 sekolah rendah dan ke peringkat sekolah menengah.

Perbezaan minat, bakat, pengalaman dan gaya belajar individu murid mengakibatkan segolongan mereka lebih lambat atau ‘terkebelakang’ menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakan sebayanya. Sekiranya mereka tidak diberikan pemulihan, mereka mungkin gagal memperoleh pendidikan yang perlu dan potensi mereka akan terbenam. Justeru, melalui Program Pemulihan Khas keperluan-keperluan murid berpencapaian rendah dapat dikenal pasti dan dipenuhi.


Objektif Program Pemulihan Khas
Setelah mengikuti program ini dalam masa yang ditentukan murid boleh :
  • Menguasai kemahiran asas 3 M
  • Meneruskan pembelajaran dikelas biasa
  • Menambah sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran
  • Memberi peluang mereka berinteraksi dengan masyarakat untuk meluahkan perasaan mereka.

Pendidikan Khas

"Pengajaran yang bercorak individu yang direka untuk memenuhi keperluan-keperluan pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. Pendidikan Khas menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak dapat disediakan dalam kurikulum yang baku atau biasa." (Culcutta,R.A., Tompkins J.R.Fundamentals of Speacial Education, 1999)

Pendidikan khas ialah satu bidang profesion yang berkaitan dengan kaedah, teknik dan penyelidikan yang tersendiri.

Pendidikan Khas bererti program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid-murid khas. Ini termasuk penggunaan bahan-bahan khas, peralatan khas, teknik pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan dan keupayaan murid.

Kanak-kanak yang menyimpang dari kanak-kanak biasa dari segi mentalnya, kebolehan deria, fizikal dan urat saraf, tingkahlaku sosial dan emosi, keupayaan berkomunikasi, kecacatan pelbagai yang menyebabkan ia memerlukan modifikasi dalam amalan-amalan sekolah atau memerlukan perkhidmatan khas bagi membolehkan ia berkembang ke peringkat kemampuan maksimanya. 


Sekolah Khas

"Special School’ means a school providing special education treatment for pupils under a disability" (Bahagian 1, Akta Pelajaran 1961)


Apa itu Ejaan dan Mengeja?

Catatan Nota




Berdasarkan buku yang saya baca iaitu Kaedah dan Strategi Pengajaran kanak-Kanak Berkeperluan Khas yang ditulis oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad, ia menyatakan bahawa kanak-kanak lebih cenderung membaca daripada mengeja.

Ini menunjukkan bahawa mengeja suku kata adalah lebih sukar berbanding membaca perkataan. 

Hal ini kerana ejaan adalah kaedah yang terlalu kompleks untuk dipelajari oleh kanak-kanak. 

Tambahan pula membaca hanya melibatkan proses menafsirkan kod dengan jalinan perkataan sedangkan mengeja adalah proses mengeluarkan kod dengan peka dan betul.


EJAAN DAN MENGEJA : APAKAH MAKSUDNYA?

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005),
  • Ejaan ialah kaedah atau cara menulis perkataan dengan huruf.
  • Mengeja ialah perbuatan membunyikan (menulis) huruf-huruf secara berturut-turut dalam sesuatu perkataan.

CARA UNTUK MENGEJA

Terdapat dua cara untuk mengeja iaitu:
  1. Menyebut nama huruf secara berturut-turut yang terdapat pada sesuatu suku kata atau perkataan dan membunyikan suka kata/perkataan itu.
  2. Menulis huruf untuk membentuk suku kata atau perkataan.

CARA MENYEBUT HURUF

Terdapat dua cara menyebut huruf untuk menjadi suku kata dan perkataan:

1. Menyebut huruf dalam perkataan itu satu demi satu tanpa hentian dan tanpa menyebut suku kata  dalam perkataan itu. 

Misalnya, “bola” dieja b – o – l – a. 
Gambaran ringkasnya ialah huruf → perkataan.

2. Menyebut huruf, diikuti dengan penyebutan suku kata dan seterusnya menyebut perkataan.  

Contohnya, “bola” dieja “b” “o”, diikuti penyebutan suku kata “bo”. Seterusnya disebut pula nama huruf “l” “a”, diikuti dengan penyebutan suku kata “la”. Akhirnya disebut perkataan “bola”. 

Gambaran ringkasnya ialah huruf → suku kata → perkataan.


KAEDAH PENGAJARAN KEMAHIRAN MENGEJA

Terdapat beberapa kaedah pengajaran mengajar kemahiran mengeja:

1. Kaedah Abjad
Berdasarkan kaedah abjad, murid menyebut nama huruf. Bagi mengeja dengan abjad Rumi, cara yang kedua kerap digunakan. Hal ini kerana cara yang pertama dianggap tidak lengkap.


2. Kaedah Fonik dan Fonetik
Ia merupakan kaedah bunyi sebutan dalam suku kata dan menggabungkannya dengan suku kata yang lain.


3. Kaedah Elektik
Ia merupakan kaedah campuran yang menggabungkan pendekatan binaan dan cerakinan.


4. Kaedah Suku Kata
Pengajaran dimulakan dengan suku kata yang asas iaitu KV, KVK, KVKK. Murid akan ditekankan dengan kemahiran membatang suku kata.


Berdasarkan pengalaman saya sebagai Guru Pemulihan Khas, murid-murid Pemulihan Khas sering mengeja sesuatu perkataan terlebih dahulu sebelum dapat menyebut perkataan tersebut. Ia seperti sudah menjadi kelaziman mereka semasa membaca. 

Pada pendapat saya, apabila murid mengeja perkataan sebelum membaca, ia bermaksud murid belum lancar membaca. 

Saya selalu menyarankan murid-murid supaya mengeja perkataan jika perlu sahaja dan menggalakkan murid menyebut perkataan tanpa perlu mengeja jika perkataan tersebut telah biasa dijumpai atau dibaca.

Siapakah Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran?

Catatan Nota

Terdapat pelbagai definasi tentang masalah pembelajaran. 

Kepelbagaian ini wujud disebabkan oleh bidang ini kian berkembang, unik dan mempunyai ciri-ciri semulajadi yang menarik untuk dihalusi (Hardman, Drew & Egan, 2005).

Ringkasnya, kanak-kanak bermasalah pembelajaran merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah dalam menguasai bahasa, pertuturan, membaca, menulis, menaakul dan mengira disebabkan oleh sistem saraf terutama otak yang tidak berfungsi.

Masalah ini tidak mempunyai kaitan dengan kanak-kanak yang menghadapi masalah kesukaran belajar akibat masalah pendengaran, masalah motor, kerencatan, masalah penglihatan, masalah emosi, masalah persekitaran, masalah budaya mahu pun masalah ekonomi.

Kementerian Pelajaran malaysia mentakrifkan kanak-kanak bermasalah pembelajaran sebagai kanak-kanak yang gagal di sekolah, iaitu mereka yang tidak dapat mempelajari subjek yang dipelajari dengan mudah oleh kanak-kanak sebaya pada sesuatu peringkat persekolahan.

Sebelum ini istilah 'lembam' diguna pakai namun istilah ini digantikan dengan istilah kanak-kanak bermasalah pembelajaran untuk kebaikan perkembangan psikologi anak. Apabila dikaitkan dengan ujian IQ (Kecerdasan), kanak-kanak bermasalah pembelajaran mempunyai IQ 80-90 (Kirk, 1972).

Selepas tahun 1980-an, istilah masalah pembelajaran mula digunakan bagi menggantikan istilah cacat akal. Ia mula diperkenalkan melalui Laporan Warnock, 1978 bagi merujuk kepada murid-murid berkeperluan khas. Murid-murid bermasalah pembelajaran memerlukan metodologi pengajaran yang menggalakkan mereka berinteraksi dan ini bergantung kepada keupayaan guru bagi mengenalpasti cara murid itu bertingkahlaku (Nind & Hewett, 1998).


Sudut - Sudut Pembelajaran Di Dalam Kelas Pemulihan Khas

Salam semua.

Antara sudut atau ruang yang telah saya buat adalah:
  • sudut Matematik
  • sudut bacaan @Mini Perpustakaan
  • sudut akses kendiri
  • sudut maklumat 
  • sudut pengurusan
  • Sudut multimedia diletakkan bersama dengan sudut bacaan bersama TV dan Radio
  • Sudut pengamatan entah bila nak dibuat!

Untuk tahun ini sahaja sudah 2 kali saya ubah susun atur kedudukan sudut-sudut. Pening saya dengan perangai saya sendiri kerana kerap mengubah susun atur perabot dalam kelas sehingga kakak staff pembersihan asyik sakat saya bila berjumpa. Katanya saya sudah pecah rekod dunia!

Berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan Program pemulihan Khas, edisi percubaan, 2008, terdapat 6 ruang di dalam kelas Pemulihan Khas iaitu:
  1. Ruang pengurusan
  2. Ruang P&P
  3. Ruang multimedia
  4. Ruang bahasa
  5. Ruang Matematik
  6. Ruang pengamatan
Ruang P&P yang sangat ringkas

Saya menggunakan tayangan slaid semasa P&P

Ruang di mana saya letakkan bahan bacaan dan permainan

Murid diberi pilihan sama ada ingin membaca atau bermain selepas P&P tamat. 
Namun saya fikir saya perlu asingkan ruangan ini supaya ia tidak mengganggu murid 
yang ingin membaca.

pemulihan
Almari ini saya gunakan untuk menyimpan fail, buku, alat tulis dan BBM. 
Saya fikir saya perlukan rak khusus untuk penyimpanan fail kerana almari ini 
kurang sesuai.

Ekonomi Token Dalam Pengurusan Tingkah Laku

Catatan Nota: Ekonomi Token

Pengenalan

Seorang guru atau pasangan suami isteri, seringkali merasa kebingungan bagaimana harus mengawal tingkahlaku anak. Kadang kala guru dan ibu bapa merasa kecewa dengan tingkah laku anak. Mereka agak kebingungan bagaimana cara menghentikan perilaku negatif anak.


Reaksi guru atau ibu bapa yang sering kita jumpa adalah membentak, meninggikan tekanan suara, berteriak, bahkan melakukan kekerasan fizikal terhadap anak-anak seperti mencubit, menampar, menarik rambut, memukul atau menekan bahagian tubuh anak. Tindakan kekerasan ini baik dari segi fizikal atau mental kini dikenali sebagai buli (bullying).


Anak kecil masih belajar yang mana perkara yang baik dan yang mana perkara yang buruk. Apabila kita hanya memberikan reaksi negatif saja pada anak, maka banyak risiko dan kesan yang buruk akan muncul. Konsep kendiri, keyakinan diri, self-efficacy anak akan menjadi lemah, anak menjadi agresif, berperilaku kasar, mengalami gangguan dalam perkembangan, dan mungkin anak-anak akan mengalami gangguan jiwa apabila terus-menerus menerima kekerasan mental atau pun fizikal.


Anak juga perlu dihargai, seperti kita merasa perlu dihargai atas pekerjaan atau perilaku baik yang kita lakukan (golden rules), kita sering berpikir kita ingin diperlakukan orang seperti kita memperlakukan orang dengan baik, begitu pula anak-anak juga ingin dihargai dengan diberikan penghargaan. Ekonomi Token adalah satu teknik yang amat baik dalam mendidik anak-anak berkelakuan yang sewajarnya.


Apakah Ekonomi Token?

Ekonomi Token adalah program modifikasi tingkahlaku yang dirancang untuk meningkatkan tinglahlaku yang diingini dan mengurangkan tingkahlaku yang tidak diingini melalui penggunaan Token (tanda-tanda). Individu akan menerima token setelah menunjukkan tingkahlaku yang diingini manakala token akan ditarik balik sekiranya individu menunjukkan tingkahlaku yang tidak diingini. Token yang dikumpulkan kemudian ditukar dengan peneguh (back up reinforcer)seperti hadiah atau penghargaan.


Apakah Tujuan Token Ekonomi?



Kitaran Token Ekonomi

Tujuan utama Ekonomi Token adalah untuk meningkatkan tingkahlaku yang diinginkan dan mengurangkan tingkahlaku yang tidak diinginkan. Ekonomi Token sering digunakan di rumah sakit jiwa atau pusat pemulihan akhlak untuk mengawal tingkahlaku individu yang tidak dapat diramalkan atau agresif. Bagaimanapun, tujuan yang lebih utama adalah untuk mengajar tingkahlaku yang sesuai dan ketrampilan-ketrampilan sosial yang positif dan wajar.


Bagaimana ingin memulakan Token Ekonomi?
 
Mengenali dengan jelas tingkahlaku yang ingin diubah. Definisikan perilaku tersebut secara spesifik, dapat diamati (observable) dan dapat diukur supaya implementasinya berterusan.
 
Pilih jenis token yang akan digunakan. Token adalah satu keadaan atau benda yang mempunyai nilai (value) yang boleh dikumpul dan ditukar yang menjadi sokongan kepada sesuatu peneguhan tingkahlaku. Banyak benda yang dapat di pakai sebagai token. Anda dapat menggunakan wang mainan, kelereng, kacang, kancing, sticker. Pilih token yang mudah untuk dihitung, dapat dilihat, disukai, sukar untuk dipalsukan dan selamat digunakan.
 
Pilih peneguh (back-up reinforcer) atau hadiah yang boleh ditukar dengan token . Pilih hadiah yang dapat ditukar dengan token yang telah dkumpulkan. Hadiah ini tidak perlu mahal, contohnya seperti wang saku tambahan atau waktu santai atau istimewa (privilage), memberikan makanan kesukaan atau boleh menonton rancangan TV kesukaan. Kejayaan strategi Ekonomi Token bergantung kepada tawaran yang menarik atau kenikmatan daripada mendapat motif peneguhan.
 
Hitung berapa nilai token untuk suatu perilaku. Anda perlu tetapkan berapa nilai token untuk suatu tingkahlaku yang diinginkan. Contohnya datang awal ke kelas bernilai 1 token, mengangkat tangan sebelum bertanya bernilai 1 token, menyelesaikan semua soalan dengan betul 5 token.

Berapa harga untuk hadiah yang akan ditukar dengan token. Anda juga perlu mengatur berapa harga hadiah yang dapat ditukar dengan jumlah token. Misalnya 100 token dapat ditukar dengan wang saku tambahan sejumlah RM 2, menonton TV kesukaan bernilai 10 token, main game di komputer 10 token. Anda perlu mengatur dan menjaga ketetapannya.
 
Buatlah Bank Token. Anda perlu mengorganisasikan token untuk anak murid atau anak-anak anda. Anda perlu mencatat atau mengorganisasikannya secara teratur, oleh itu anda memerlukan Bank Token. Bank Token boleh berbentuk Toples untuk token yang berupa kancing, kelereng, atau benda lain yang tidak dapat ditempal. Ia juga boleh berupa papan atau kertas yang dapat ditempal atau ditulis. 

Token perlu ditempatkan di tempat yang dapat dilihat oleh semua supaya penyelewengan dapat dielakkan.

Tentukan bila waktu penukaran token. 

Menentukan waktu untuk menukar token yang sudah dikumpulkan anak-anak. Anda perlu membuat kesepakatan dengan anak-anak bilakah mereka dapat menukarkan token secara berkala.
Implementasikan Program ini.

Jelaskan program Ini. Anda harus menjelaskan bagaiman program ini akan dilaksanakan.
Berikan Token beserta pujian. Ketika mengimplementasikan Ekonomi Token, pujian harus selalu diberikan untuk perilaku positif yang diinginkan. Pada masa anak menunjukkan perilaku yang diinginkan, token dan pujian harus diberikan dengan cepat dan tidak boleh ditunda.

Kurangi token dan kekalkan pujian. Untuk perilaku baru yang positif token hendaklah diberikan. Token dikurangkan apabila perilaku tersebut sudah mula dimiliki oleh anak, namun pujian tetap diberikan sebagai peneguhan apabila anak menunjukkan perilaku yang benar. Token tetap diberikan untuk perilaku-perilaku baru yang harus dikuasai oleh anak. Hal ini dilakukan supaya anak tidak bergantung pada token sehingga anak dapat belajar pada kehidupan sosial sebenar.
 
Buat penyesuaian yang diperlukan. Untuk menjaga motivasi dan minat anak, sesuaikan harga untuk hadiah yang akan ditukar dengan token dan sesuaikan sasaran aras kesukaran tingkahlaku. Hal ini perlu dilakukan supaya anak terus terlibat dalam Ekonomi Token. Apabila perilaku terlalu mudah atau terlalu sulit maka anak akan tidak bermotivasi untuk terlibat aktif dalam program ekonomi token. Anda harus membuat keseimbangan di dalam program token supaya sesuai dengan kemampuan, minat dan motivasi anak-anak.



Carta Token



Carta Token



Menu ganjaran



Ganjaran (peneguh)

Langkah-Langkah Pelaksanaan Token Ekonomi (tambahan).

Kenalpasti terlebih dahulu tingkahlaku yang mahu diubah.
 
Lakukan satu 'baseline' untuk mengetahui apakah yang diperlukan untuk mengubah tingkahlaku tersebut dengan berkesan.
 
Kenalpasti peneguhan yang sesuai berdasarkan dapatan daripada 'baseline'. Peneguhan yang sesuai biasanya bersifat 'extrinsic' seperti ganjaran wang ringgit, markah tambahan atau hadiah. Yang penting peneguhan itu mestilah dapat menggalakkan kepada perubahan tingkahlaku.
 
Pilih token yang mahu digunakan. Token biasanya adalah dalam bentuk benda yang boleh mewakili sesuatu peneguhan itu. Contohnya seperti 'sticker', cop, plastik coin ataupun kad.
 
Kenalpasti bantuan sedia ada. Ini bergantung pada situasi. Kalau ada, ada... Kalau tiada pun tak pe.. Tapi bantuan sedia ada biasanya adalah orang yang boleh membantu dalam proses perubahan tingkahlaku itu misalnya seperti sukarelawan, guru, ataupun saya.
 
Pilih satu tempat atau lokasi yang sesuai. Biasanya ini bergantung kepada apakah dan siapakah sasaran kita yang mahu diubah tingkahlakunya. Jika pelajar sekolah tempatnya di bilik darjah atau sebaliknya. Biasanya dalam mengunakan kaedah token ekonomi modifier tidak memiliki banyak pilihan.
 
Dalam hal ini adalah penting untuk pastikan peneguhan yang dijanjikan memang benar-benar wujud. Selain itu, modifier perlu menjelaskan prosuder penukaran dan kegunaan token dengan jelas dan yang penting mesti ada rekod atau catitan yang menandakan jumlah token yang diberi.


SUMBER:
  1. Jenson, W. R., Sloane, H., & Young, R. (1988). Token economies. Applied behavior analysis in education: A structured teaching approach. New York: Prentice Hall.
  2. Sulzer-Azaroff, B., & Mayer, G. R. (1996). Applying behavior-analysis procedures with children and youth. New York: Holt, Rinehart, and Winston.
  3. Alberto, P.A., & Troutman, A. C. (1986). Applied behavior analysis procedures for teachers: Influencing student performance (4th ed.). Columbus, OH: Charles E. Merrill Publishing.
  4. Walker, H. M., & Buckley, N. (1974). Token reinforcement techniques. Eugene, OR: E-B Press.
  5. http://obedan.wimamadiun.com/2008/03/05/ekonomi-token-tips-mendidik-anak-kreatif/
  6. http://psikotube.blogspot.com

Apa Itu Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran?

Catatan Nota
Catatan ini merujuk kepada buku berikut:


Definisi

Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendefinisikan murid yang mengalami Masalah Pembelajaran sebagai murid yang mempunyai masalah kognitif yang dianggap boleh diajar dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal.

Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran merupakan kanak-kanak yang telah dikenalpasti dan disahkan oleh pakar Profesional klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu proses pembelajaran.

Kecacatan yang dialami boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian kanak-kanak dalam kebolehan berikut:
  • Kebolehan Kognitif
  • Tingkah Laku Sosial / Perkembangan Sosial
  • Pengguasan Bahasa ( Lisan / Pertuturan)
  • Keupayaan Membaca
  • Kemahiran Perkembagan (Development Skills)
  • Kemahiran Matematik
  • Terdapat pelbagai kategori murid bermasalah pembelajaran seperti;
  • Sindrom Down
  • Autisme
  • Hiperaktif -ADHD
  • Terencat akal minima
  • Kurang upaya dalam pembelajaran (learning disabilities)
  • Kurang upaya dalam pembelajaran khusus contohnya disleksia.
  • Antara kecacatan yang dialami oleh Kanak-Kanak Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran;
  • Lembam ( akibat kecacatan otak)
  • Autistik
  • Dowm Sindrom
  • Terencat Akal Ringan
  • Terencat Akal Sederhana
  • Hiper Aktif
  • Hipo Aktif
  • Cerebral Palsy
  • Emosi / Tingkah Laku
  • Pertuturan
  • Epilepsi
  • Pelbagai Kecacatan
  • Sindrom Down

Merupakan kecelaruan genetik yang menyebabkan kerencatan akal pada kanak-kanak. Ia berpunca dari lebihan kromosom pada pasangan kromosom ke 21 yang juga dikenali sebagai Trisomo 21. 

Individu ini mempunyai ciri-ciri fizikal yang jelas yang biasa dilihat seperti mata sepet, hidung penyek, bertubuh rendah, lidah yang tebal dan panjang (menyebabkan kesukaran mereka bertutur) dan jari tangan yan pendek (menyebabkan kesukaran memegang pensel dan gunting). 

Ujian pra natal bertujuan mengesan kecacatan semasa janin yang biasa dijalankan adalah amniocentesis, Chorionic Villus Biopsy (CVB) dan Chorionic Villus Sampling (CVS).


Autisme


Istilah autisme berasal dari perkataan autos yang bermakna diri sendiri dan isme bermaksud aliran. Kanak-kanak Autisme bermaksud kanak-kanak yang berada di dalam dunianya sendiri. 

Ia biasanya mula dikesan pada kanak-kanak yang berusia 3 tahun disebabkan oleh kecelaruan neurologikal yang mengganggu fungsi otak. Individu ini biasanya sukar diajak bercakap dan suka menarik tangan orang lain bila meminta sesuatu, mengeluarkan bahasa sendiri yang sukar difahami oleh orang lain dan meniru perbualan ataupun nyanyian tanpa memahami maksudnya. 

Mereka suka mengulangi percakapan orang lain secara berulang-ulang yang dikenali dengan istilah ekolalia. Kebiasaannya mereka tidak suka bermain dengan orang lain (lebih suka menyendiri dengan menyorok) dan lebih sukakan objek-objek yang berputar seperti kipas angin ataupun kertas yang ditiup angin. 

Penggunaan Ritalin bertujuan untuk merawat masalah kurang tumpuan dan hiperaktif selain vitamin B6 dan Magnesium untuk meningkatkan kesedaran dan tumpuan/perhatian kanak-kanak.


Hiperaktif (Attention Deficit-Hyperactivity Disorder, ADHD)

Istilah hiperaktif merujuk kepada kanak-kanak yang bertingkahlaku terlampau aktif dan mengganggu. Tingkahlaku mereka yang aktif dan sukar diramal memberi gangguan kepada proses pengajaran guru di sekolah mahupun penjagaan harian di rumah. 

Paling ketara mereka bersikap agresif (contohnya memulakan pergaduhan dan pertengkaran), cuai menyiapkan tugasan, tidak mahu mendengar apabila kita bercakap dengannya selain mengelak membuat tugasan yang memerlukan pengekalan daya mental. 

Kanak-kanak ADHD memerlukan sokongan dari ibubapa dan guru dalam belajar mengurus perasaan marah dan tekanan. 

Ganjaran terlebih dahulu sebelum memberi hukuman. Selain itu sikap tegas terhadap murid, memberi maklumbalas impromptu dan bersifat pemaaf boleh membantu mendidik murid ADHD.


Disleksia

Disleksia diterangkan sebagai keadaan di mana seorang murid mengalami masalah membaca yang serius, yang berkait-rapat dengan gangguan urat saraf. 

Mereka kelihatan normal tetapi kecelaruan pada bahagian otaknya menyebabkan mereka sukar untuk membaca, menulis, mengeja mahupun mengendalikan nombor yang tidak selaras dengan tahap pencapaiannya walaupun telah diajar berkali-kali. 

Kanak-kanak ini berisiko menghadapi masalah emosi dan tingkahlaku kerana kecewa dengan pencapaian mereka dalam akademik yang tidak selaras dengan umur mereka. 

Punca disleksia tidak diketahui tetapi faktor genetik, biologi (kesukaran ketika dilahirkan) juga kematangan (lelaki lambat matang dari perempuan) dikatakan menjadi faktor penyumbang kepada disleksia. 

Antara kaedah pengajaran dan pembelajaran yang disarankan untuk kanak-kanak disleksia adalah melalui pendekatan multisensori; menggabungkan beberapa deria seperti auditori, visual, oral dan kinestetik.


Sumber:

Senarai Tugas Guru Pemulihan Khas

Catatan Nota 

Senarai Tugas Guru Pemulihan Khas
  • Merancang dan melaksanakan program pemulihan khas mengikut prosidur yang telah ditetapkan.
  • Membantu guru-guru mata pelajaran dalam hal mengenalpasti murid-murid yang memerlukan pengajaran pemulihan.
  • Berjumpa dan berbincang dengan guru mata pelajaran, guru bimbingan, ibubapa, doktor, pegawai kebajikan dan pihak-pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tingkah laku, tabiat, kesihatan dan lain-lain keterangan mengenai latar belakang murid.
  • Bertindak sebagai setiausaha Jawatankuasa Program Pemulihan Khas serta menjadi ahli Jawatankuasa Kurikulum Sekolah dan mengadakan latihan perkembangan staf di peringkat sekolah atau daerah.
  • Tugas-tugas yang berkaitan dengan kebajikan murid- murid.


Peranan GPK Dalam Program LINUS

Salah satu subbidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Pendidikan ialah Literasi dan Numerasi (LINUS). Matlamat LINUS iaitu untuk memastikan semua murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran boleh menguasai kemahiran literasi dan numerasi.

Bagi memastikan sub-NKRA ini mencapai matlamatnya, murid LINUS Tegar, iaitu yang tidak menguasai Konstruk 1 dan Konstruk 2, akan dibimbing oleh Guru Pemulihan Khas. Justeru itu, Guru Pemulihan Khas perlu mengajar murid LINUS Tegar selain daripada murid-murid pemulihan Tahun 2 dan Tahun 3. Murid yang menguasai konstruk 3-7 dalam BM dan 3-9 dalam Matematik, akan dipulihkan oleh guru-guru BM dan Matematik.

Guru Pemulihan Khas hendaklah mengajar murid LINUS Tegar tidak melebihi 15 orang pada setiap sesi pembelajaran selepas Saringan 2 dilaksanakan. Walau bagaimanapun, semua Guru Besar hendaklah memastikan jumlah masa mengajar yang ditetapkan bagi Guru Pemulihan Khas adalah tidak kurang dari 900 minit dan tidak melebihi 1020 minit seminggu (termasuk waktu persediaan).

Surat Siaran, Perlaksanaan Program Literasi Dan Numerasi (Linus) Tahap 1 Di Sekolah Rendah, Bil. KP(BPK) 400-32/6Jld.3(61), bertarikh 22 April 2010.


Punca dan Bidang Kuasa

Surat siaran Bahagian Sekolah-sekolah KPM. Bil. KP(BS)8594/Jld.11/(32)bertarikh 22Jan. 1985. (Guru Khas Pendidikan Pemulihan)
Surat siaran Bahagian Sekolah-sekolah KPM. Bil.KP(BS)8502/5/PK/Jld.V(26) bertarikh 28Jan.1986.(Kelas Khas Pemulihan Di Sekolah Rendah)
Surat siaran Bahagian Sekolah-sekolah KPM. Bil.KP(BS)8502/PK/Jld. V(29) bertarikh 17Mac.1986 (Pengawasan dan Penyeliaan Program Pemulihan)

Senarai Semak Tugas-Tugas GPK

1) Instrumen/Ujian yang dijalankan
  • Mengumpul maklumat murid Pemulihan Khas (Borang Pencalonan Murid)
  • Menjalankan Ujian-ujian Diagnostik BM (Lisan, Bertulis, Praktik)
  • Menjalankan Ujian-ujian Diagnostik MT
  • Menjalankan Ujian Pelepasan IPP2M
  • Merekod dan menganalisis Ujian-ujian yang dijalankan kepada murid
  • Menjalankan tindakan susulan ke atas murid (berjumpa/berbincang dengan ibu bapa)
  • Mengusulkan murid menjalani pemeriksaan doktor
  • Mengumpulkan rekod ujian/peperiksaan murid dalam arus perdana
  • Mengadakan perbincangan dengan pihak pentadbir/mesyuarat dari semasa ke semasa tentang masalah murid
  • Melapor pencapaian murid kepada pihak pentadbir/ mesyuarat dari semasa ke semasa


2) Pengurusan Fail dalam Pemulihan Khas
  • Menyedia/ melengkapkan Fail Induk dan diletakkan di pejabat pentadbiran sekolah 06/04/013
  • Fail Guru – 06/04/013/01(Melengkapkan segala maklumat guru/sijil kursus)
  • Fail Maklumat Program– 06/04/013/02 (Melengkapkan carta organisasi/ AJK/ Pekeliling/Takwim/Borang/ Jadual waktu kelas)
  • Fail Surat Menyurat – 06/04/013/03 (Surat-surat dari sekolah/PPD/JPNS/KPM)
  • Fail Minit Mesyuarat – 06/04/013/04 (Surat panggilan/agenda mesyuarat/minit mesyuarat)
  • Fail Murid – 06/04/013/05(Senarai nama murid/borang pencalonan)
  • Fail Diagnostik BM&MT – 06/04/013/06 (Ujian Diagnostik BM-Lisan/Praktik/Bertulis, Ujian Diagnostik MT
  • Fail Pelepasan BM&MT – 06/04/013/07 (Ujian IPP2M/Ujian Pelepasan MT dan lain-lain)
  • Fail Analisa Ujian – 06/04/013/08 (Borang Rekod Ujian Diagnostik BM/MT/ Ujian & Peperiksaan dalam arus perdana)
  • Fail Lembaran Kerja – 06/04/013/09 (Lembaran kerja BM & MT)
  • Fail Kertas kerja – 06/04/013/10 (Kertas kerja/ pamplets/ laporan program)
  • Fail LINUS – 06/04/013/11(Maklumat LINUS/
  • Fail Individu murid
 
3) Pengurusan Program LINUS
  • Menyedia/ melengkapkan Fail LINUS 06/04/013/011
  • Menjadi AJK program LINUS di sekolah
  • Memahami keperluan/masalah murid dalam menguasai Konstruk 1 & Konstruk 2
  • Merancang aktiviti P&P yang sesuai bagi Konstruk 1 & Konstruk 2
  • Mengadakan pertemuan/perbincangan dengan ibu bapa/ penjaga murid
  • Tindakan susulan kepada murid untuk menjalani pemeriksaan doktor
  • Menyediakan BBM yang sesuai dengan keperluan murid
  • Membuat pemerhatian ke atas murid samaada di dalam/ di luar kelas.
  • Latihan bertulis disediakan sesuai dengan kebolehan murid Sumber : Borang Pemantauan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Apakah Program Pemulihan Khas?

Catatan Nota

Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh KPM semenjak tahun 1960-an lagi untuk membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran, iaitu menguasai kemahiran asas 3M.


Definisi Program Pemulihan Khas

Satu program pendidikan disediakan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, mengira (3M) yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus.” (Jabatan Pendidikan Khas, KPM, 2008 )

“ Pendidikan Pemulihan ialah tindakan-tindakan pendidikan khas yang digunakan untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran, kanak-kanak pemulihan menghadiri kelas khas dalam sekolah biasa, atau pusat pemulihan khas secara sambilan, atau menyertai kumpulan yang diundurkan dari kelas biasa untuk diajar oleh seorang guru pemulihan.”
(National Association for Remedial Education ‘NARE’ Great Britain - 1977)

“ Pemulihan dalam KBSR ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira”. (Panduan Am KBSR - 1982)

“Suatu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid-murid yang menghadapi kesulitan pembelajaraan khususnya dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira sebagai kemahiran asas yang menjadi fokus KBSR”.


Murid Pemulihan Khas

Murid yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif”. (Jabatan Pendidikan Khas, KPM, 2008 )

Rasional

PPK dijalankan di sekolah adalah kerana bilangan murid yang ramai di dalam sesebuah kelas agak menyukarkan guru untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Majoriti kelas KBSR pada masa ini mempunyai bilangan murid antara 35-45 orang. Hal ini berlawanan dengan konsep kelas kondusif yang seharusnya mempunyai bilangan murid antara 25-30 orang sahaja.

PPK pada dasarnya bertujuan untuk memastikan murid-murid menerima layanan individu mengikut kadar perkembangan kognitif mereka.

Kumpulan Sasaran

Program Pemulihan Khas dijalankan untuk menampung keperluan-keperlaun murid di dalam kelas biasa yang menghadapi masalah-masalah berikut, bukan masalah kecacatan akal atau terencat akal.

1) Masalah pembelajaran akibat :
    a) ketidaksesuaian bahan dan teknik pengajaran guru
    b) sering tidak hadir ke sekolah
    c) cuai menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran
    d) leka dan lambat

2) Masalah-masalah yang menghalang pembelajaran :
    a) masalah peribadi
    b) masalah psikologi
    c) kurang kecerdasan (lambat berfikir, cepat lupa, sukar memahami dan lemah pengamatan)

 
Buku Panduan GPK