Apakah Program Pemulihan Khas?

Catatan Nota

Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh KPM semenjak tahun 1960-an lagi untuk membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran, iaitu menguasai kemahiran asas 3M.


Definisi Program Pemulihan Khas

Satu program pendidikan disediakan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, mengira (3M) yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus.” (Jabatan Pendidikan Khas, KPM, 2008 )

“ Pendidikan Pemulihan ialah tindakan-tindakan pendidikan khas yang digunakan untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran, kanak-kanak pemulihan menghadiri kelas khas dalam sekolah biasa, atau pusat pemulihan khas secara sambilan, atau menyertai kumpulan yang diundurkan dari kelas biasa untuk diajar oleh seorang guru pemulihan.”
(National Association for Remedial Education ‘NARE’ Great Britain - 1977)

“ Pemulihan dalam KBSR ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira”. (Panduan Am KBSR - 1982)

“Suatu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid-murid yang menghadapi kesulitan pembelajaraan khususnya dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira sebagai kemahiran asas yang menjadi fokus KBSR”.


Murid Pemulihan Khas

Murid yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif”. (Jabatan Pendidikan Khas, KPM, 2008 )

Rasional

PPK dijalankan di sekolah adalah kerana bilangan murid yang ramai di dalam sesebuah kelas agak menyukarkan guru untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Majoriti kelas KBSR pada masa ini mempunyai bilangan murid antara 35-45 orang. Hal ini berlawanan dengan konsep kelas kondusif yang seharusnya mempunyai bilangan murid antara 25-30 orang sahaja.

PPK pada dasarnya bertujuan untuk memastikan murid-murid menerima layanan individu mengikut kadar perkembangan kognitif mereka.

Kumpulan Sasaran

Program Pemulihan Khas dijalankan untuk menampung keperluan-keperlaun murid di dalam kelas biasa yang menghadapi masalah-masalah berikut, bukan masalah kecacatan akal atau terencat akal.

1) Masalah pembelajaran akibat :
    a) ketidaksesuaian bahan dan teknik pengajaran guru
    b) sering tidak hadir ke sekolah
    c) cuai menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran
    d) leka dan lambat

2) Masalah-masalah yang menghalang pembelajaran :
    a) masalah peribadi
    b) masalah psikologi
    c) kurang kecerdasan (lambat berfikir, cepat lupa, sukar memahami dan lemah pengamatan)

 
Buku Panduan GPK