Kajian Tindakan Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid LINUS dan Pemulihan




Kajian tindakan meningkatkan penguasaan kemahiran membaca murid tahun satu (LINUS) ini boleh membantu GPK dan guru LINUS dalam menangani masalah murid-murid yang tidak menguasai kemahiran membaca. Kajian ini menggunakan kaedah gabungan bunyi kata dengan teknik latih tubi.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah:
  • Latih tubi bacaan menggunakan kad huruf, kad suku kata, kad perkataan, kad frasa dan kad ayat.
  • Latih tubi bacaan menggunakan Powerpoint.
  • Permainan mencantum suku kata membentuk perkataan.
  • Nyanyian

Bahan kajian tindakan ini pada mulanya boleh di'preview' di Slideshare, tetapi kemudiannya tidak boleh mungkin kerana ia telah di'removed' atau pun telah dijadikan 'private' oleh penulisnya.

Maaf atas kesulitan.



Ruang, Sudut atau Kiosk Kelas Pemulihan Khas

Sekali lagi saya telah mengubah susunan perabot bilik pemulihan sekolah saya. Saya selalu merasa tidak puas hati dengan susunan dan keceriaan bilik pemulihan. Itu yang membuatkan saya selalu mengubah kedudukan dan susunan almari dan meja.

Sekali fikir, malas dah nak ubah tapi esoknya lain pula yang difikir. Buat masa ini saya harus berhenti mengubah kedudukan perabot memandangkan bulan puasa. Lagi pun saya perlu utamakan pembinaan BBM untuk P&P yang masih banyak perlu dibuat.

Julai 2012, bilik pemulihan khas sekolah saya lebih kemas berbanding bulan Februari 2012. Saya ada menulis tentang tajuk ini sebelum ini di sini : Bilik Pemulihan Khas Februari 2012

Pelan Lakar Kelas Pemulihan mengikut garis panduan pelaksanaan Program Pemulihan Khas Edisi Percubaan 2008
Pada hemat saya, bilik Pemulihan Khas sekolah saya di mana saya yang bertanggungjawab ke atasnya masih belum mencapai piawaian seperti yang digariskan di dalam buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas (Edisi Percubaan, 2008) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Khas, KPM.

Sehingga Julai 2012, hanya terdapat ruang P&P, ruang Bahasa Melayu, ruang Matematik dan ruang pengurusan. Ruang BM dan Matematik pula digabungkan untuk menjimatkan ruang di samping memudahkan saya mengemas bilik. Ruang Multimedia masih belum dibina kerana tiada kemudahan komputer. Walaupun terdapat TV dan Radio, ia amat jarang digunakan semasa P&P. Ruang pengamatan pula masih dalam proses (Bila nak siap hanya Allah yang tahu.... ). Mungkin cuti hujung tahun ini saya akan memberikan fokus sepenuhnya terhadap pelan lantai kelas. (saya memang lemah dalam interior decoration).



Bahagian belakang kelas/bilik yang memuatkan ruang BM dan Matematik serta ruang pengurusan untuk guru. Di sinilah tempat murid-murid saya melepaskan tension selepas berhempas-pulas belajar.

Meja guru
Dua buah almari tempat menyimpan fail, buku rujukan dan buku aktiviti serta BBM
Ruang Bahasa Melayu dan Matematik digabungkan. Bahan-bahan bacaan dan permainan seperti jigsaw puzzle, dam ular, congkak, blocks diletakkan di sini. Sepatutnya ia diasingkan.
Bahan untuk BM lebih banyak berbanding Matematik
Sempoi jer...Ruang P&P hampir menggunakan separuh daripada keluasan bilik berbanding ruang-ruang lain.
Banyak lagi saya kena touch-up bilik ini...Adush! Skirting meja pun dah koyak rabak. Baru jer buat tu, lasak sungguh murid-murid pemulihan ni..
Murid tahun 4 (PROTIM) sedang membuat aktiviti mengeja berdasarkan gambar yang ditunjukkan oleh guru menggunakan LCD projector.
LCD diletakkan di atas meja kerana tidak di mounting di siling semasa dinaiktaraf 4-5 tahun dulu. Pandai-pandailah GPK jadi technician....hu hu


Bonus Raya Tahun 2012 Untuk Penjawat Awam: Setengah Bulan Gaji

 
Seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan akan mendapat DUIT RAYA pada 9.8.2012 ini. Berita ini paling ditunggu-tunggu  rasanya...

Perdana Menteri semalam mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini.

PM berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan. Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion. 

ALHAMDULILLAH....REZEKI... Tapi tak boleh beraya sakan  jugak. Duit bonus tu akan pergi melayang kepada syarikat insuran kereta bulan 9 nanti.... hu hu hu. Nampaknya belum rezeki lagilah dapat melaram dengan Samsung Galaxy Tab/Galaxy S3/Galaxy Note.

Kaedah Mengatasi Masalah Tidak Lancar Membaca Murid-Murid Pemulihan Khas

Antara kaedah pengajaran yang boleh digunakan guru Pemulihan Khas bagi mengatasi masalah murid-murid Pemulihan Khas yang belum membaca dengan lancar:
  • Guru menunjukkan kad bergambar.
  • Semua murid menyebut nama benda yang dilihat.
  • Guru menunjukkan dan membaca kad-kad perkataan.
  • Murid akan mengikut sebutan dan bacaan guru.
  • Murid memadankan kad-kad perkataan dengan gambar.
  • Semua murid akan membaca kad-kad perkataan beberapa kali dengan bimbingan guru.
  • Kemudian, murid-murid akan membaca tanpa dibimbing.
  • Setelah mahir dalam bacaan, setiap murid akan mula menulis ayat pada buku.

Sumber rujukan: 


Abu Ada Ayam - Video Lagu ABC...Z yang Menggunakan Kaedah Fonik

Video ini memuatkan lagu abjad abc hingga z yang menggunakan kaedah fonik atau bunyi huruf.

Antara lirik lagunya:
Abu ada ayam a... a...a...
Itik ikut ibu i...i...i...
Ular usik ulat u...u...u...
Bobo main bola b...b...b..
Nani nangis n....n...n.....


Bolehkah Guru Denda atau Pukul Murid?

Guru boleh mendenda atau memukul murid untuk mengajar dengan niat untuk mengislahkan murid iaitu menjadikan murid lebih baik. Tidak boleh mendenda atau memukul dengan niat untuk melukakan, untuk menyakitkan atau atas dasar membalas dendam.

Syaratnya, denda dan pukulan itu dapat mengubah atau memberikan kebaikan kepada murid. Jika denda dan pukulan tidak memberi kesan dan murid masih tidak berubah (kategori murid degil tegar), HARAM guru memukul atau mendenda murid tersebut kerana ia tidak lagi memberi faedah kepada murid.

Kaedah Pengajaran Kemahiran Membaca Bahasa Melayu: Kaedah Kawalan Vokal Berstruktur


Kaedah Kawalan Vokal Berstruktur (KVB) adalah satu kaedah pengajaran kemahiran membaca Bahasa Melayu yang berasaskan kawalan vokal (ba, ca, da, ga, ha, ja, ka, la, ma, ..... za). 

Kaedah-kaedah lain seperti Kaedah Abjad, Kaedah Fonik, Kaedah Gabungan Bunyi Kata, Kaedah Eklektik adalah berasaskan kawalan konsonan ( ba, bi, bu, be, bo).

Kaedah KVB mendedahkan kesedaran makna dan fonik secara serentak dan berstruktur dan sistematik. Ia disesuaikan dengan perkembangan kognitif kanak-kanak. Kaedah fonik didapati lebih banyak membantu kanak-kanak dalam kemahiran bacaan awal berbanding kaedah bukan fonik. Kaedah pengajaran fonik yang bersistematik sangat baik untuk kanak-kanak prasekolah dan tadika.

Contoh pengajaran menggunakan kaedah KVB
  1. Guru memperkenalkan nama dan bunyi huruf [m], [a], [t], [s] dan [y] melalui perkataan (m,a,t,a,) dan (s,a,y,a).
  2. Murid membatangkan suku kata bermula dengan vokal /a/ (tanpa mengeja). Contoh: ma, ta, sa, ya 
  3. Murid membina perkataan. Contoh: mata, mama, saya 
  4. Murid membaca ayat mudah. Contoh: mata saya, mata mama, mata mama saya

Sumber rujukan: 

Kaedah Pengajaran Kemahiran Membaca Bahasa Melayu: Kaedah Gabungan


Gabungan Kaedah Fonik dengan Kaedah Pandang dan Sebut 

Kaedah yang dicadangkan ini menggabungkan ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ dalam satu pelajaran membaca pada peringkat awal. Kaedah pandang dan sebut juga dikenali sebagai Kaedah Seluruh Perkataan.

Kaedah gabungan yang dicadangkan ini berasaskan kepada perkara-perkara berikut:

a) Sistem ejaan bahasa Melayu adalah mengikut abjad dan fonemik – ertinya ada hubungan yang rapat di antara simbol/huruf dan bunyinya.
b) Suku kata perkataan Bahasa Melayu adalah jelas (jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain – dengan bahasa Inggeris misalnya).
c) Ciri-ciri yang baik daripada ‘kaedah fonik’ dan ‘kaedah pandang dan sebut’ boleh digabungkan.
d) Murid-murid Melayu yang baru melangkah masuk ke darjah 1 rata-rata telah pun mempunyai perbendaharaan Bahasa Melayu yang mencukupi untuk terus belajar membaca.

Melalui kaedah ini guru tidak perlu menunggu murid mengetahui semua nama huruf, bunyi huruf dan suku kata sebelum mereka membaca perkataan-perkataan atau ayat. Malahan guru tidak begitu perlu memperkenalkan dan mengajar abjad dan bunyi huruf dari a hingga z secara tertib biasa.

Kaedah gabungan ini mencadangkan murid diperkenalkan kepada bunyi beberapa huruf vokal dan konsonan, dan kemudian terus membunyikan suku kata dan perkataan-perkataan yang bermakna, dalam satu hingga dua pelajaran. Dengan cara begini dalam dua atau tiga pelajaran sahaja, murid akan terus dapat membaca beberapa perkataan dan ayat, dan ini membuatkan murid merasa bangga kerana mereka boleh membaca serta faham apa yang dibaca.

Untuk menjelaskan kaedah ini secara terperinci, lihat beberapa contoh berikut:

1. Mulakan dengan memperkenalkan bunyi dua atau tiga huruf vokal: a, o, u dengan menggunakan kad imbasan (flash card). Buat latihan membunyikan huruf ini beberapa kali, selang-seli.

2. Kemudian perkenalkan pula bunyi dua atau tiga huruf konsonan, misalnya: d, k, m dengan menggunakan kad imbasan, dan buat latih tubi beberapa kali supaya semua murid dapat melafazkan bunyi tiap-tiap lambang itu dengan jelas.

3. Gabungkan bunyi tiap-tiap huruf konsonan dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata:

  da di du ka ki k u sa si su

4. Seterusnya bina beberapa perkataan yang bermakna, misalnya:

ba..... ba.... baba
bu..... bu.....bubu
da..... da..... dada
ku..... ku..... kuku


5. Ulangi langkah ini beberapa kali, kemudian gabungkan dua perkataan menjadi ayat dan latih murid membacanya:

baba bubu
dada kuku

6. Perkenalkan gabungan lain:

a ..... ku..... aku
a..... da..... ada
i..... ni..... ini
i..... tu...... itu
bu..... ku..... buku
ba..... ba..... baba
bu..... ka..... buka
ba..... ju..... baju

7. Suruh murid-murid membaca ayat-ayat berikut daripada beberapa perkataan di atas:

aku ada buku
aku buka baju
ini buku aku
itu baju aku

8. Kemudian gantikan ‘aku’ dengan ‘baba’ dan ulang membacanya.

9. Seterusnya baca ayat-ayat ini pula:

buku dia
buku baba
buku aku/ku

10. Gantikan ‘buku’ dengan ‘baju’, ‘baju’, dan ‘kuku’ dan ulang bertubi-tubi dengan kad imbasan.

11. Perkenalkan gabungan bunyi lain pula seterusnya.

i ... bu ..... ibu
bu ... di ..... budi
u ... da ..... uda

budi ibu
budi ibuku
budi uda

di ... a ..... dia
ka ... ki ..... kaki

kaki dia
kaki ibu
kaki kuda

12. Suruh murid membaca ayat-ayat yang menggunakan berbagai-bagai perkataan yang dicipta:

ibu buku
baba uda bubu
udaku ada kuda
dia kaki kuda
buku uda

Kaedah gabungan ini boleh diajar di dalam tiga hingga empat hari, selama sejam sehari. Dalam seminggu sahaja murid-murid boleh mengenal huruf-huruf a, e, i, o : b, d, k dan membaca suku kata, perkataan-perkataan dan ayat yang dibentuk daripadanya.

Cadangan yang dikemukan ini berguna kepada guru pemulihan khas sebagai panduan dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran.


*** Artikal ini saya perolehi dan ubahsuai daripada laman blog Pelangi Petang.

Saya Pandai Membaca: Kaedah Suku Kata [Buku]



Buku Saya Pandai Membaca Kaedah Suku Kata ini dibeli oleh salah seorang ibubapa anak murid saya. Murid tersebut membawanya ke kelas pemulihan.  Murid ini memang rajin. Apabila latihan yang saya berikan sudah siap dan ditanda, dia akan sambung membuat latihan dalam buku ini.

Saya ambil kesempatan untuk membelek-belek buku ini. Persembahan buku ini agak menarik dengan ilustrasi gambar yang menarik, cantik dan kemas tersusun.

Siri buku ini mengandungi 4 judul. Sayangnya saya tidak berpeluang untuk meninjau ke semua judul buku. Adakah benar kaedah yang digunakan adalah keadah suku kata? 

Menurut penulis buku ini yang tidak disertakan namanya, program bacaan awal menggunakan buku ini akan membolehkan murid membaca dengan mudah dan tidak perlu mengeja sesepatah kata itu. Suku kata-suku kata diperkenalkan secara berperingkat-peringkat dan diulang-ulang secara latih tubi melalui kata-kata, ayat-ayat dan petikan-petikan. 

Namun apa yang saya perhatikan, petikan yang terdapat dalam buku 1 agak sukar untuk dibaca oleh murid kelas saya. Contohnya petikan "Ayah Aman Ke Pasar Mini", walhal Buku 1 lebih kepada pengenalan kepada bunyi huruf vokal dan huruf konsonan. Selepas diperkenalkan bunyi huruf vokal murid kemudian akan membaca ayat dan seterusnya petikan. 

Nampak cepat dan mudah tetapi hakikatnya apabila saya minta murid pemulihan membaca petikan, mereka masih tergagap-gagap. Apapun, saya saya fikir buku ini kurang sesuai untuk kegunaan pemulihan khas. Mungkin ia boleh dijadikan rujukan dan panduan guru dalam mempelbagaikan aktiviti dan kaedah pengajaran dalam kelas.









Kenal Baca Tulis (Info Kebatu) [Buku]

Buku Kenal Baca Tulis (Info Kebatu) membantu guru pemulihan mengajar menggunakan kiosk-kiosk di dalam kelas pemulihan khas. Ia ditulis berdasarkan sukatan Bahasa Melayu KIA2M dan KIA3M. Ia sesuai digunakan oleh murid Pemulihan Khas yang tidak mempunyai asas mengeja apatah lagi membaca. Buku di dalam  Siri Pemulihan Khas ini memuatkan bahan dan aktiviti kemahiran awal berbahasa termasuklah kemahiran lisan, membaca dan menulis.

Buku Siri Pemulihan Khas ini terdiri daripada 4 jilid yang ditulis oleh Jamaluddin bin Ahmad, Noraini binti Yaacob & Ahmad Fuad bin Jamaludin @ Din. Ia diterbitkan oleh PTS Profesional, 2007.

Jilid 1: Kandungan
  1. Huruf Kecil a hingga z
  2. Huruf Besar A hingga Z
  3. Huruf Vokal a,e,i,o,u
  4. Suku Kata Terbuka  KV
KV (a) - ba, ca, da ... za
KV (i) - bi, ci, di ... zi
KV (u) - bu, cu, du ... zu
KV (e) - be, ce, de ... ze
KV (o) - bo, co, do ... zo
KV (e) - be, ce, de ... ze
 
Jilid 2: Kandungan
  1. Suku Kata Tertutup KVK
KVK (an) - ban, can, dan ... zan
KVK (in) - bin, cin, din ... zin
KVK (un) - bun, cun, dun ... zun
KVK (on) - bon, con, don ... zon
KVK (en) - ben, cen, den ... zen
KVK (am) -bam, cam, dam ...zam
KVK (im) - bim, cim, dim ... zim
KVK (um) - bum, cum, dum ... zum
Jilid 3: Kandungan
  1. Suku Kata Tertutup KVK
KVK (ak) - bak, cak, dak ... zak
KVK (ik) - bik, cik, dik ... zik
KVK (ok) - bok, cok, dok ... zok
KVK (at) - bat, cat, dat ... zat
KVK (it) - bit, cit, dit ... zit
KVK (ut) - but, cut, dut ... zut
KVK (ar) - bar, car, dar ... zar
KVK (ir) - bir, cir, dir ... zir
KVK (ur) - bur, cur, dur ... zur
KVK (er) - ber, cer, der ... zer       
Jilid 4: Kandungan
  1. Suku Kata KVKK
    KVKK (ang) - bang, cang, dang ... zang
    KVKK (ing) - bing, cing, ding ... zing
    KVKK (ung) - bung, cung, dung ... zung
    KVKK (eng) - beng, ceng, deng ... zeng
    KVKK (ong)- bong, cong, dong ... zong
  2. Diftong 
  3. Vokal Berganding 
  4. Konsonan Berganding

Kepada sesiapa yang berminat, anda bolehlah klik pada link pada gambar di bawah ini untuk melihat kandungan buku dan contoh-contoh aktiviti yang boleh dijalankan semasa P&P.


Info Kebatu Jilid 1

Info Kebatu Jilid 2

Info Kebatu Jilid 3

Info Kebatu Jilid 4



Sudut Pandang Muhyiddin Yassin [Buku]


Saya baru sahaja selesai membaca sebuah buku bertajuk Sudut Pandang Muhyiddin Yassin yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Agak menarik juga kerana ia dihasilkan menerusi wawancara dan dipersembahkan dalam bentuk soal jawab untuk memudahkan pembaca memahami isu berkaitan sistem pendidikan yang dibangkitkan dalam masyarakat dan cara kerajaan menanganinya.

Menerusi buku ini YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi jawapan serta pandangan ilmiah berkaitan dasar dan usaha kerajaan untuk membawa rakyat dan negara ke arah pembentukan negara maju menjelang tahun 2020, dengan asasnya dimulakan melalui Transformasi Pendidikan Negara.

✅Buku ini dijual pada harga RM40.00
✅285 halaman bercetak

Sinopsis Buku


Buku ini memaparkan 14 perkara dasar membabitkan transformasi dunia pendidikan di bawah teraju YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin sejak dipertanggungjawabkan menerajui Kementerian Pelajaran Malaysia bermula April 2009. Panas dengan isu, hangat dengan kontroversi, padat dengan pandangan dan sarat dengan harapan, buku ini menjawab segala persoalan yang dibangkitkan, pertikaian yang dilempar, kekeliruan yang mengaburi matlamat dan permasalahan yang hakikatnya sudah lama selesai. Pendek kata, buku ini adalah air kepada api, memadam segala ketidakpastian, sekali gus membina akar baru untuk sama-sama menjadi tunjang menyumbang kepada Negara.

Kandungan Buku

  1. Pendidikan Prasekolah
  2. Program Literasi dan Numerasi
  3. Tawaran Baru (Bai'ah)
  4. Sekolah Berprestasi Tinggi
  5. Sekolah Amanah
  6. Dasar 1Murid 1Sukan
  7. Sejarah Subjek Wajib Lulus SPM
  8. Penetapan Had 10 Mata Pelajaran dalam SPM
  9. Transformasi Pendidikan Vokasional
  10. Isu Novel Interlok
  11. Pemansuhan PPSMI dan Dasar MBMMBI
  12. Memartabat Bahasa Melayu
  13. Memantapkan Profesion Perguruan
  14. Penilaian Menyeluruh Sistem Pendidikan Negara 

PROGRAM LITERASI DAN NUMERASI (LINUS)


Di sini saya paparkan sebahagian dari wawancara YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Program LINUS.


📌Boleh dijelaskan serba sedikit mengenai Program LINUS Tan Sri?

Ia adalah satu program PEMULIHAN yang dilaksanakan bermula tahun 2010 untuk murid-murid normal yang menghadapi masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

Matlamat LINUS adalah untuk memastikan murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi selepas tempoh 3 tahun pendidikan peringkat rendah, sekaligus membolehkan pembelajaran tahun 4 diteruskan tanpa banyak kekangan.

📌Apakah ada sasaran khusus ditetapkan sebagai perlu dicapai pada setiap tahun?

Bagi kemahiran Literasi:

Tahun 1 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 500 perkataan dan ayat mudah.

Tahun 2 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 800 perkataan serta ayat mudah  menggunakan kata sendi "dan".

Tahun 3 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 1000 perkataan serta ayat mudah dengan kata sendi "dan" dalam satu perenggan.

📌Tidakkah sebelum ini telah ada beberapa program lain yang hampir sama seperti LINUS? Apakah rasionalnya Tan Sri? 

Memang telah banyak usaha dibuat bagi memperbaiki kemahiran murid dalam aspek 3M tapi sehingga kini, ia masih juga belum dapat diatasi sepenuhnya. Justeru itulah maka kerajaan berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan sejak awal dan seterusnya dipulihkan seawal tahap 1.

Mahu tidak mahu, suka tidak suka, perkara ini memerlukan perhatian dan komitmen yang amat serius. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini kerana murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M memang kita tahu akan berhadapan dengan risiko keciciran, sekaligus juga sukar memenuhi keperluan untuk melanjutkan pelajaran dan akan menjejaskan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan yang baik.

Program-program pemulihan sebelum ini tidak gagal tetapi masih belum dapat memenuhi kehendak NKRA yang ditetapkan. Program LINUS ini boleh disifatkan sebagai usaha pemurniaan semula.

 📌Apa impak jangka panjangnya jika Program LINUS ini juga kelak tidak berjaya?

Kesannya tidak akan memberi sebarang impak kepada guru, tetapi sebaliknya akan ditanggung oleh murid, terutama bila masuk ke tahun 4. Ini kerana sesi pembelajaran pada tahun 4 mengetengahkan mata pelajaran yang lebih mencabar. Apabila murid tiada kemahiran asas dan tidak cukup bersedia, mereka akan ketinggalan dan cenderung terdedah kepada pelbagai kesan negatif.

Murid yang tidak menguasai 3M akan mengalami situasi tidak minat belajar, kurang bijak menguruskan diri dan akhirnya mereka akan terpinggir terutama apabila pihak guru sendiri mula putus asa untuk membantu mereka.

📌Bagaimana sebenarnya murid yang tidak menguasai 3M ini boleh dibantu Tan Sri?

Hal ini boleh diurus jika ada kesungguhan dan komitmen serius daripada guru besar. Ini kerana mereka berperanan besar mengelakkan pengurusan sekolah bersikap lepas tangan terhadap murid-murid yang agak ketinggalan. Dalam hal ini, guru besar berperanan memastikan komitmen guru dipertingkat kerana kita semua perlu lebih prihatin membantu murid-murid tersebut. Saya yakin, jika guru besar proaktif, guru-gurunya pasti akan memberikan sokongan kuat untuk menjayakan matlamat LINUS.

 📌Sejauh mana seriusnya masalah tiada kemahiran 3M ini Tan Sri?

Bayangkan...pada tahun 2008 sahaja, 13% atau 54,000 murid tahun 1 dikenal pasti tidak boleh membaca dan menulis.

 📌Apakah struktur kelas berubah menerusi pelaksanaan LINUS?

Terdapat 3 model utama sebagai panduan untuk memudahkan pengurusan sekolah melaksanakan program ini secara lebih berkesan mengikut kesesuain sekolah, guru dan murid masing-masing.

Model pertama, jika kelas terhad, guru aliran perdana boleh berkongsi kelas dengan guru LINUS. Model kedua, dua kelas yang mempunyai murid pemulihan boleh diubah jadual waktu harian mereka bagi subjek BM dan Matematik supaya kedua-duanya dapat dipecahkan antara kelas perdana dan kelas LINUS. Model ketiga, ia membabitkan kumpulan murid yang kecil apabila kelas dipecahkan kepada tiga, murid arus perdana, Bahasa Melayu LINUS dan Matematik LINUS.


Kemahiran Bacaan Awal Bahasa Melayu Prasekolah [Buku]


Buku Kemahiran Awal Bacaan Bahasa Melayu Prasekolah diterbitkan oleh Penerbit USM pada tahun 2011 dan dikarang oleh Naimah Yusoff, Nor Hashimah Hashim dan Hashim Othman. Ia mengandungi 122 halaman bercetak hitam dan putih.

Buku ini memperkenalkan kaedah KVB iaitu Kaedah Kawalan Vokal Berstruktur dalam pengajaran kemahiran bacaan awal. Kaedah ini bersandarkan kepada dua teori utama iaitu Teori Behavioris dan Teori Kognitif.

Topik-topik dalam buku ini menyentuh tentang perkembangan bahasa kanak-kanak, kemahiran membaca pada peringkat bacaan awal dan pelaksanaan pengajaran kemahiran bacaan awal melalui pendekatan Belajar Melalui Bermain. Buku ini juga turut dilengkapi dengan contoh aplikasi pengajaran seperti Ujian Kesedian Membaca dan Ujian kemahiran Bacaan awal.

Bijak Mengeja Mahir Membaca [Buku]





Buku Bijak Mengeja Mahir Membaca ini merupakan sebahagian daripada set buku Siri  Pemulihan Khas yang diterbitkan oleh PTS Professional Publishing, 2007. Ia merupakan buku asas bacaan dan juga buku aktiviti yang mudah digunakan untuk menguasai kemahiran membaca. Ia sesuai untuk kegunaan murid  yang lemah kemahiran membaca tetapi telah mempunyai asas mengeja. Ia dijual pada harga RM14.00.

Buku ini ditulis oleh tiga orang penulis iaitu Jamaluddin bin Ahmad, Rosmiza binti Abdul Rahman & Mohd Yusof bin Saud yang berpengalaman luas sebagai guru pemulihan, JU Negeri untuk KIA2M dan pensyarah cemerlang. Isi kandungan buku ini boleh dilihat di SINI.

Buku ini saya terjumpa secara tidak sengaja di Perpustakaan Negara Malaysia di Bahagian Pinjaman Kanak-Kanak. Ke semua buku telah diconteng oleh peminjam-peminjam sebelumnya. Setakat hari ini  saya belum  temui buku ini di kedai buku yang saya kunjungi di sekitar Kuala Lumpur. Mungkin saya boleh membelinya secara atas talian (on-line).

Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas [Buku]

Buku Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas ini merupakan buku kedua yang ditulis oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad selepas buku Pengantar Pendidikan Khas.

Kedua-dua penulis buku ini merupakan pensyarah kursus Pendidikan Khas di Universiti Sains Malaysia (USM). Buku ini mempunyai 205 halaman hitam-putih dan diterbitkan oleh Penerbit USM pada tahun 2011. Buku ini dijual dengan harga anggaran RM47 - RM49.

Buku ini membawa pembaca mengenali dan memahami kaedah dan strategi pengajaran yang berkesan untuk mendidik kanak-kanak berkeperluan khas. Pelbagai kaedah pengajaran dan intervensi dikemukakan bagi mengatasi masalah menyebut, mengeja, membaca dan mengira. Huraian yang ringkas, padat dan mudah difahami dengan disertakan contoh-contoh pengajaran dan pembelajaran yang relevan pada masa kini.

📚 Tajuk Buku: Kaedah dan Strategi Pengajaran Kanak-Kanak Berkeperluan Khas
✅ Penulis: Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad
✅ Penerbit: Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
✅ Tahun: 2011
✅ 205 muka surat
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/509zvUUnVl
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/4pqZjBVQqk
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/4fX9WsW4Bj
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/3AiLk7bmES
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/30OvXocPZR

Kandungan Buku


Buku ini mempunyai 9 bab:

Bab 1 - Teori Pembelajaran
Bab 2 - Pengajaran Mnemonik
Bab 3 - Pengajaran Scaffolding
Bab 4 - Pengajaran Terus
Bab 5 - Pengajaran Eksplisit
Bab 6 - Pembelajaran Masteri
Bab 7- Intervensi Meningkatkan Kemahiran Ejaan Murid Berkeperluan Khas
Bab 8 - Intervensi Meningkatkan Kemahiran Bacaan Murid Berkeperluan Khas
Bab 9 - Intervensi Meningkatkan KemahiranMengira Murid Berkeperluan Khas




Kandungan buku



Pengantar Pendidikan Khas [Buku]



Siapakah yang dikategorikan sebagai murid-murid berkeperluan khas? Siapakah pula yang memerlukan pendidikan khas? Anda akan temui jawapannya di dalam buku ini.

Perbincangan, kupasan dan huraian secara mendalam bagi setiap kategori murid-murid istimewa diolah di dalam buku ini dengan menggunakan ayat yang mudah, berbantukan statistik dan ilustrasi untuk memudahkan pemahaman pembaca. Aspek etiologi, ciri, punca dan sebab berlaku atau lahirnya anak-anak istimewa ini juga dibincangkan.

Turut dibincangkan ialah identifikasi awal dan cadangan teknik atau pendekatan untuk berhadapan dengan golongan seumpama ini. Buku ini diolah mengikut sukatan pelajaran universiti dan maktab perguruan tempatan. Justeru ia sangat berguna sebagai bahan rujukan serta teks wajib bagi semua warga pendidik dan pensyarah yang berkecimpung dalam bidang pendidikan khas.

Walau bagaimanapun, pendekatan yang ringkas menjadikan buku ini juga sesuai dijadikan sebagai panduan ibu bapa dan harus dimiliki oleh semua golongan masyarakat di luar sana yang prihatin untuk lebih memahami golongan istimewa ini.

Buku Pengantar Pendidikan Khas ini ditulis oleh Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad dan diterbitkan oleh Penerbit USM Pulau Pinang pada tahun 2011. Buku ini dijual pada harga anggaran RM61 - RM69 dengan 305 halaman bercetak hitam dan putih.

📚 Tajuk Buku: Pengantar Pendidikan Khas
✅ Penulis: Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad
✅ Penerbit: Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
✅ Tahun: 2011
✅ 305 muka surat
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/VhaW7BIfx
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/lJvCDCgs
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/B4k7VCZLv
🏧 Beli di sini: https://shope.ee/10dr729Of6


Kandungan Buku:


Bab 1 - Sejarah dan perkembangan Pendidikan Khas
Bab 2 - Murid-Murid Pemulihan Khas
Bab 3 - Murid-Murid Bermasalah Penglihatan
Bab 4 - Murid-Murid Bermasalah Pendengaran
Bab 5 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Disleksia)
Bab 6 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Hiperaktif - ADHD)
Bab 7 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Sindrown Down)
Bab 8 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Autisme)
Bab 9 - Murid-Murid Bermasalah Pembelajaran (Kerencatan Mental)
Bab 10 - Ketidakupayaan Fizikal
Bab 11 - Murid Pintar Cerdas dan Berbakat


Kandungan buku

Walaupun buku ini hanya menyentuh satu bab sahaja berkaitan dengan Pemulihan Khas, namun  saya berpendapat bab-bab yang lain yang berkaitan dengan Pendidikan Khas juga berguna sebagai tambahan ilmu pengetahuan kepada guru Pemulihan Khas.

Sumber: 

Guru ibarat lilin, terima kasih cikgu!


Wartawan Sinar Harian
21 Mei 2012 
 

“MAK, besar nanti adik nak jadi cikgu, adik nak didik masyarakat jadi bijak,” antara ungkapan dituturkan semasa kecil yang masih terlekat di benak fikiran penulis. Guru, cikgu, teacher, sir atau lain-lain panggilan menghiasi kamus dunia pendidikan. Sejak dahulu lagi profesion perguruan dianggap kerjaya popular dan paling utama berbanding lain.

Ingat tak ungkapan ini wahai pembaca sekalian: “Lahirnya pendeta kerana guru, lahirnya imam kerana guru dan lahirnya perdana menteri kerana guru.” Semuanya guru. 

16 Mei pastinya menjadi detik indah kepada insan bergelar guru. Ucapan terima kasih cikgu akan dilontarkan murid-murid dan pelajar sebagai tanda penghargaan di atas segala pengorbanan mendidik yang amat dibutuhkan. 

Baca lagi - klik di sini: Guru ibarat lilin, terima kasih cikgu! - Rencana - Sinar Harian

Intervensi Meningkatkan Kemahiran Mengeja

Catatan Nota

Tulisan ini adalah sambungan daripada post sebelumnya iaitu punca-punca murid lemah mengeja.

Mengeja memerlukan seseorang mengingat dan mengetahui banyak perkataan. Sekiranya arahan membaca dan mengeja diasingkan, maka kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran membaca dan mengeja serentak.

Terdapat beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat digunakan oleh guru sebagai langkah intervensi untuk membantu murid mengatasi masalah dalam kemahiran mengeja.

1. Kaedah Abjad
Kaedah ini sememangnya digunakan untuk mengajar murid mengeja. Murid perlu mengenal semua abjad sebelum murid berjaya mengeja sesuatu perkataan dengan baik. Contohnya : untuk mengeja "ibu", murid perlu kenal abjad "i", "b" dan "u".

2. Kaedah Fonik/Fonetik
Kaedah ini adalah berdasarkan bunyi sebutan dalam suku kata dan menggabungkannya dengan suku kata yang lain. Untuk mengeja sesuatu perkataan, murid perlu membunyikan huruf-huruf terlebih dahulu, kemudian membentuk suku kata dan seterusnya perkataan. Contohnya: Perkataan bola dieja [b (beh) + o (o) = bo] dan l (leh) + a (a) = la]. Kedua-dua suku kata kemudian digabungkan iaitu [bo] + [la] dan ia menjadi [bola].

3. Kaedah Elektik
Kaedah elektik adalah kaedah campuran atau gabungan di antara dua pendekatan iaitu pendekatan membina dan pendekatan cerakinan. Beberapa kaedah digabungkan seperti kaedah bunyi, kaedah abjad dan kaedah suku kata, kaedah rangkai kata, kaedah ayat. Kaedah ini adalah mengikut prinsip psikologi membaca, maka ia dapat disesuaikan dengan kehendak dan kebolehan murid untuk membaca dalam sebarang keadaan.

Cara pengajaran

Huruf: Guru memperkenalkan huruf abjad berdasarkan bunyi huruf sahaja. Contonya, a - ayam, u - ular. Guru tidak boleh memperkenalkan nama huruf abjad. 

Suku kata:  Guru mengajar suku kata menerusi perkataan. Contohnya, ba - baju, bakul, basikal, bawang.


4. Kaedah Suku Kata
Kaedah ini dimulakan dengan suku kata yang asas iaitu KV, KVK, KVKVK dan seterusnya. 

5. Teknik Perisian Komputer
Pembelajaran membaca merupakan aktiviti kognitif yang melibatkan pengutipan maklumat  daripada teks yang dibaca. Melalui penggunaan perisian komputer, bahan-bahan boleh dihasilkan bukan sahaja dalan bentuk teks malah dalam bentuk visual dan audio. Hubungan antara teks dengan imej sebagai elemen dalam proses membaca dapat dilihat menerusi teori dwipengkodan.

Teori dwipengkodan (Paivio, 1986) menjelaskan bahawa murid yang didedahkan dengan dua mod pembelajaran (melalui visual dan verbal) dapat meningkatkan ingatan dan kefahaman. Dalam teknik ini, murid diberi peluang untuk membina makna teks yang dibaca menerusi penghasilan gambaran visual.

Namun demikian, menurut Wienstein dan Mayer (1986) serta Post dan Carreker (2002), murid tidak berupaya menghasilkan gambaran visual secara efektif jika murid tidak dibantu oleh guru menerusi galakan atau pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.

6. Mendengar Perakam Suara
Murid mendengar dengan teliti dan mengulangi cara mengeja yang dimainkan oleh pita rakaman.

7. Kaedah Multisensori
Kaedah ini adalah berdasarkan kepada pengamatan terhadap pelbagai deria seperti deria visual, deria sentuhan, deria suara, dan gabungan semua deria. Kaedah ini membantu murid terutamanya murid yang mengalami masalah pembelajaran.

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2012


Rasanya sudah agak lama saya tidak update blog ini. Maklumlah para guru sibuk dengan urusan peperiksaan penggal pertama dan kemudian disusuli dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. 

Pada tahun ini saya ditugaskan mengendalikan acara pertandingan bola jaring dan sukaneka. Antara acara-acara yang dijalankan pada Sambutan Hari Guru di sekolah saya tahun ini adalah:-

  • Nyanyian lagu tema Hari Guru - Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi pendidikan Negara
  • Nyanyian lagu Kami Guru Malaysia
  • Bacaan ikrar guru
  • Perutusan Hari Guru oleh KPM dibacakan oleh PK Kurikulum
  • Deklamasi sajak oleh PK HEM & PK Ko-Kurikulul
  • Pertandingan Bola Jaring (guru perempuan vs murid perempuan)
  • Pertandingan Bola Sepak (guru lelaki vs murid lelaki)
  • Sukaneka antara guru-guru
  • Jamuan Makan
  • Persembahan guru lelaki
  • Pertukaran hadiah antara guru-guru
  • Anugerah Guru Paling Popular (lelaki & perempuan)
  • Perlawanan boling antara guru-guru

Pertandingan Bola Jaring antara Guru dan Murid Perempuan.
Guru menewaskan murid 5-1.



Guru bermain ganas, menurut kata murid2.
Ini buktinya guru bermain ganas...hu hu hu

Guru lelaki dibuli memakai
kain pelekat oleh murid lelaki..keh keh keh
Cikgu tetap mantap walau berkain pelekat. Guru menang 3-2.



Kek Hari Guru... tak rasa pun.



Sukaneka - baling belon air.

Kamilah Juara Sukaneka


Anugerah Guru Paling Popular

Perlawanan boling antara guru-guru

Pada sambutan kali ini, ada beberapa acara tidak dapat dilaksanakan kerana kesuntukkan masa. Biasalah, gurulah penganjur, guru jugalah pelaksana dan guru itu jugalah peserta. Walaubagaimana pun, sambutan tetap meriah dan memberangsangkan. 

Hadiah? Biasalah...Hari Guru dan hadiah tidak dapat dipisahkan, ibarat seperti ubat gigi dan berus gigi. Sehari sebelum hari guru, saya telah menerima sekuntum bunga daripada murid dengan ucapan Selamat Hari Guru. Murid tersebut adalah murid kelas Moral yang saya gantikan kerana gurunya bersalin.

Ramai yang mengatakan bahawa GPK adalah guru yang paling sedikit menerima hadiah daripada murid. Tahun lepas saya sudah mengalaminya. Adakah kerana GPK tidak dihargai oleh murid-muridnya? Atau murid-murid pemulihan tidak pandai menghargai guru? Malah terdapat dalam kalangan murid pemulihan merancang tidak akan hadir ke sekolah pada 16 Mei.

Tahun ini ada seorang murid pemulihan menghadiahkan saya sebuah buku nota dan liquid paper. Dialah murid yang paling "pandai" tapi paling moody yang pernah saya ajar. Dia akan belajar ikut mood dia sahaja. Bila diberikan kerja banyak sikit, dia akan mengeluh - "ala cikgu, banyaknya kena buat".....

*****

Punca - Punca Murid Lemah Mengeja


Catatan Nota

Bahan yang saya tulis ini saya perolehi melalui pembacaan sebuah buku. Buku tersebut bertajuk Kaedah dan Strategi Pengajaran kanak-Kanak Berkeperluan Khas, Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad, Penerbit USM Pulau Pinang, 2011. Walaupun ia ditulis khusus untuk murid-murid berkeperluan Khas, tetapi saya rasa ia juga sesuai untuk diaplikasikan kepada murid-murid  Program Pemulihan Khas.

Apa yang dimaksudkan dengan ejaan dan kemahiran mengeja secara terperinci boleh dibaca melalui tajuk sebelum ini  pada pautan DI SINI.


APA ITU EJAAN?

Ejaan adalah satu bentuk pelaziman melalui penulisan. Ia mempunyai 26 huruf atau abjad roman dan mengandungi lebih daripada 40 fonik.


SIAPA MURID YANG BERMASALAH DALAM EJAAN?

Murid-murid yang sering mengalami masalah dalam ejaan terdiri daripada murid disleksia, murid yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan (sumbing, gagap, masalah artikulasi dan masalah suara). Murid-murid ini tidak mahir dalam ejaan bukan kerana mereka MALAS belajar tetapi kerana mereka mempunyai masalah dalam menyebut perkataan tersebut. Contohnya murid disleksia sering melihat huruf dengan terbalik. Oleh itu, murid sering meghadapai masalah dalam ejaan.


PUNCA-PUNCA MURID LEMAH DALAM EJAAN

1. Lemah dalam pengamatan penglihatan atau visual.

Pengamatan bermaksud hasil tindakbalas keseluruhan sistem deria setelah menerima rangsangan daripada sumber lain. 

Pengamatan visual pula berkait dengan keupayaan deria penglihatan untuk menerima rangsangan dan seterusnya menghantar maklumat tersebut ke otak untuk ditafsirkan. Jika pengamatan penglihatan murid menghadapi masalah, maka perkataan atau huruf-huruf yang dilihat murid akan mengalami kesalahan dan kesilapan. Contohnya, jika murid membaca secara songsang dari belakang ke depan, murid akan keliru dan akan menyebabkan kemahiran membaca murid semakin lemah dan teruk.

Contoh: Makan dibaca sebagai nakaM


2. Tidak dapat mengingati dan membayangkan bentuk sebenar sesuatu huruf atau perkataan.

Murid tidak dapat mengecam bentuk huruf dan perkataan. Terdapat beberapa huruf yang kelihatan seakan-akan sama walaupun bunyinya adalah berbeza.

Bagi murid disleksia, masalah yang dihadapi dalam mengecam bentuk huruf dan konfigurasi perkataan sangat ketara. Simbol-simbol perkataan yang bercetak sukar diterjemahkan. Murid melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan secara terbalik. Kekeliruan inilah yang menyebabkan murid sangat lemah dalam kemahiran mengeja.

Contoh: Keliru membezakan huruf "b" dan "d", huruf "p" dan "q".


3. Masalah memori auditori dan visual.

Murid menghadapi masalah untuk mengingati bunyi dan suku kata. Mereka sering memerlukan arahan yang jelas dan mudah bagi membantu mereka mengenal pasti bunyi sesuatu perkataan dan membina kemahiran fonologi. Murid yang menguasai kemahiran ejaan dengan baik akan menyimpan perkataan dalam memori dan mengingat kembali perkataan tersebut tanpa memerlukan petunjuk visual. Manakala murid yang lemah dalam ejaan amat memerlukan latihan dan aktiviti untuk menguatkan ingatan visual.


4. Lemah dari segi Analisis pendengaran.

Murid sukar mengingat bunyi abjad, bunyi suku kata perkataan dan juga sukar menyusun atau menggabungkan suku kata bagi membunyikan perkataan. Murid juga tidak dapat mengaitkan bunyi huruf dengan huruf yang dilihat disebabkan kurang pendengaran.

Contoh: Sukar membezakan bunyi huruf vokal dan huruf konsonan.


5. Sebutan huruf yang salah.

Murid menyebut nama huruf dalam 'telo' bahasa ibunda atau 'loghat' daerah. Selain itu, murid menghadapi masalah dalam sebutan huruf "e" pepet dan "e" taling.

Contoh: "Makan" disebut "make", "perang" ( peperangan) disebut "perang" (warna).