Sudut Pandang Muhyiddin Yassin [Buku]


Saya baru sahaja selesai membaca sebuah buku bertajuk Sudut Pandang Muhyiddin Yassin yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Agak menarik juga kerana ia dihasilkan menerusi wawancara dan dipersembahkan dalam bentuk soal jawab untuk memudahkan pembaca memahami isu berkaitan sistem pendidikan yang dibangkitkan dalam masyarakat dan cara kerajaan menanganinya.

Menerusi buku ini YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi jawapan serta pandangan ilmiah berkaitan dasar dan usaha kerajaan untuk membawa rakyat dan negara ke arah pembentukan negara maju menjelang tahun 2020, dengan asasnya dimulakan melalui Transformasi Pendidikan Negara.

✅Buku ini dijual pada harga RM40.00
✅285 halaman bercetak

Sinopsis Buku


Buku ini memaparkan 14 perkara dasar membabitkan transformasi dunia pendidikan di bawah teraju YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin sejak dipertanggungjawabkan menerajui Kementerian Pelajaran Malaysia bermula April 2009. Panas dengan isu, hangat dengan kontroversi, padat dengan pandangan dan sarat dengan harapan, buku ini menjawab segala persoalan yang dibangkitkan, pertikaian yang dilempar, kekeliruan yang mengaburi matlamat dan permasalahan yang hakikatnya sudah lama selesai. Pendek kata, buku ini adalah air kepada api, memadam segala ketidakpastian, sekali gus membina akar baru untuk sama-sama menjadi tunjang menyumbang kepada Negara.

Kandungan Buku

  1. Pendidikan Prasekolah
  2. Program Literasi dan Numerasi
  3. Tawaran Baru (Bai'ah)
  4. Sekolah Berprestasi Tinggi
  5. Sekolah Amanah
  6. Dasar 1Murid 1Sukan
  7. Sejarah Subjek Wajib Lulus SPM
  8. Penetapan Had 10 Mata Pelajaran dalam SPM
  9. Transformasi Pendidikan Vokasional
  10. Isu Novel Interlok
  11. Pemansuhan PPSMI dan Dasar MBMMBI
  12. Memartabat Bahasa Melayu
  13. Memantapkan Profesion Perguruan
  14. Penilaian Menyeluruh Sistem Pendidikan Negara 

PROGRAM LITERASI DAN NUMERASI (LINUS)


Di sini saya paparkan sebahagian dari wawancara YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Program LINUS.


📌Boleh dijelaskan serba sedikit mengenai Program LINUS Tan Sri?

Ia adalah satu program PEMULIHAN yang dilaksanakan bermula tahun 2010 untuk murid-murid normal yang menghadapi masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

Matlamat LINUS adalah untuk memastikan murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi selepas tempoh 3 tahun pendidikan peringkat rendah, sekaligus membolehkan pembelajaran tahun 4 diteruskan tanpa banyak kekangan.

📌Apakah ada sasaran khusus ditetapkan sebagai perlu dicapai pada setiap tahun?

Bagi kemahiran Literasi:

Tahun 1 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 500 perkataan dan ayat mudah.

Tahun 2 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 800 perkataan serta ayat mudah  menggunakan kata sendi "dan".

Tahun 3 - boleh membaca, menulis dan memahami sekurang-kurangnya 1000 perkataan serta ayat mudah dengan kata sendi "dan" dalam satu perenggan.

📌Tidakkah sebelum ini telah ada beberapa program lain yang hampir sama seperti LINUS? Apakah rasionalnya Tan Sri? 

Memang telah banyak usaha dibuat bagi memperbaiki kemahiran murid dalam aspek 3M tapi sehingga kini, ia masih juga belum dapat diatasi sepenuhnya. Justeru itulah maka kerajaan berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan sejak awal dan seterusnya dipulihkan seawal tahap 1.

Mahu tidak mahu, suka tidak suka, perkara ini memerlukan perhatian dan komitmen yang amat serius. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini kerana murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M memang kita tahu akan berhadapan dengan risiko keciciran, sekaligus juga sukar memenuhi keperluan untuk melanjutkan pelajaran dan akan menjejaskan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan yang baik.

Program-program pemulihan sebelum ini tidak gagal tetapi masih belum dapat memenuhi kehendak NKRA yang ditetapkan. Program LINUS ini boleh disifatkan sebagai usaha pemurniaan semula.

 ðŸ“ŒApa impak jangka panjangnya jika Program LINUS ini juga kelak tidak berjaya?

Kesannya tidak akan memberi sebarang impak kepada guru, tetapi sebaliknya akan ditanggung oleh murid, terutama bila masuk ke tahun 4. Ini kerana sesi pembelajaran pada tahun 4 mengetengahkan mata pelajaran yang lebih mencabar. Apabila murid tiada kemahiran asas dan tidak cukup bersedia, mereka akan ketinggalan dan cenderung terdedah kepada pelbagai kesan negatif.

Murid yang tidak menguasai 3M akan mengalami situasi tidak minat belajar, kurang bijak menguruskan diri dan akhirnya mereka akan terpinggir terutama apabila pihak guru sendiri mula putus asa untuk membantu mereka.

📌Bagaimana sebenarnya murid yang tidak menguasai 3M ini boleh dibantu Tan Sri?

Hal ini boleh diurus jika ada kesungguhan dan komitmen serius daripada guru besar. Ini kerana mereka berperanan besar mengelakkan pengurusan sekolah bersikap lepas tangan terhadap murid-murid yang agak ketinggalan. Dalam hal ini, guru besar berperanan memastikan komitmen guru dipertingkat kerana kita semua perlu lebih prihatin membantu murid-murid tersebut. Saya yakin, jika guru besar proaktif, guru-gurunya pasti akan memberikan sokongan kuat untuk menjayakan matlamat LINUS.

 ðŸ“ŒSejauh mana seriusnya masalah tiada kemahiran 3M ini Tan Sri?

Bayangkan...pada tahun 2008 sahaja, 13% atau 54,000 murid tahun 1 dikenal pasti tidak boleh membaca dan menulis.

 ðŸ“ŒApakah struktur kelas berubah menerusi pelaksanaan LINUS?

Terdapat 3 model utama sebagai panduan untuk memudahkan pengurusan sekolah melaksanakan program ini secara lebih berkesan mengikut kesesuain sekolah, guru dan murid masing-masing.

Model pertama, jika kelas terhad, guru aliran perdana boleh berkongsi kelas dengan guru LINUS. Model kedua, dua kelas yang mempunyai murid pemulihan boleh diubah jadual waktu harian mereka bagi subjek BM dan Matematik supaya kedua-duanya dapat dipecahkan antara kelas perdana dan kelas LINUS. Model ketiga, ia membabitkan kumpulan murid yang kecil apabila kelas dipecahkan kepada tiga, murid arus perdana, Bahasa Melayu LINUS dan Matematik LINUS.



Terima Kasih

2 comments:

  1. salam kak..best buku ni..cner nk dptkan?...akak beli ktner?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm. Saya pinjam di Perpustakaan Negara. kalau nak beli, boleh beli secara on-line di sini - http://www.itnm.com.my/catalogue/buku/sudut_pandang_muhyiddin_yassin/. Mungkin buku ini ada dijual di kedai-kedai buku spt MPH, Popular atau Kinokuniya.

      Delete