Catatan ini saya perolehi daripada buku di atas.
Keturunan
Masalah disleksia telah sedia ada dalam gen keluarga kanak-kanak disleksia. Hal ini telah dibuktikan oleh Hallgren (1970) yang membuat kajian ke atas 12 kes pasangan kembar monozygote dan mendapati kesemua keluarga 12 kes tersebut menghadapi masalah dalam bacaan dan ejaan semasa zaman kanak-kanak.
Bagi pendapat John Bradford (1999) pula, simptom disleksia juga terdapat pada keluarga yang mempunyai anggota kidal. Menurut beliau, ibu bapa yang disleksia tidak secara automatik menurunkan gangguan ini kepada anak-anak atau anak kidal yang dikenal pasti disleksia.
Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika, 80% daripada kesemua subjek yang dikaji mempunyai latar belakang anggota keluarga yang mengalami masalah pembelajaran dan 60% memiliki anggota kidal.
Pemakanan
Berdasarkan beberapa penyelidikan, kajian, dan penemuan, terdapat beberapa unsur
penyedap makanan,
bahan awet dan
pewarna tiruan yang dipercayai serta dikenal pasti boleh
mengganggu otak jika diambil secara berlebihan dalam tempoh yang lama. Gangguan terhadap otak ini terjadi bukan melalui reaksi imunologi, tetapi kesan bahan pencemar atau racun yang terkandung dalam bahan-bahan makanan. Antaranya adalah
Salicylates,
tartazine (
zat pewarna makanan), nitrat,
monosodium glutamate (MSG), antioksidan, ragi, laktosa, benzoate dan seumpamanya.
Bawaan (Congenital)
Masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak boleh berlaku sejak dilahirkan. Dalam tempoh lima tahun pertama selepas dilahirkan, seseorang kanak-kanak yang sering mengalami selsema dan jangkitan kuman pada bahagian tenggorok, boleh mempengaruhi pendengaran dan perkembangannya dari semasa ke semasa hingga boleh menyebabkan kecacatan. Keadaan ini hanya dapat dipastikan melalui pemeriksaan intensif yang terperinci daripada doktor pakar.
Masalah pendengaran yang dihadapi sejak dilahirkan akan menyebabkan otak yang sedang berkembang akan sukar menghubungkan bunyi atau suara yang didengar dengan huruf atau kata yang dilihatnya. Padahal, perkembangan pendengaran berkait rapat dengan perkembangan kemampuan bahasa yang akhirnya menimbulkan masalah jangka panjang, terutama jika disleksia ini tidak ditangani dengan segera khususnya daripada doktor pakar.
Perkembangan Otak
Disleksia berlaku secara berkembang sedikit demi sedikit. Bahagian-bahagian tertentu dalam otak tidak berapa matang atau dengan kata lain pertumbuhannya tidak seimbang lalu menyebabkan bahagian otak yang mengawal bacaan dan ejaan tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya.
Berlaku kecelaruan dalam dua hemisfera cerebral untuk menguasai kemahiran bacaan dan ejaan. Pada kebiasaannya hemisfera kiri yang menguasai bacaan. Oleh sebab hemisfera ini lemah, maka terjadilah keterbalikan huruf dan perkataan yang dialami oleh kanak-kanak disleksia.
Lain-lain:
- Komplikasi otak
- Gangguan pesepsi penglihatan
- Trauma semasa kecil
- Kelahiran pramatang
- kekurangan zat makanan
- Jangkitan kuman ketika ibu hamil
- Gangguan emosi
Sumber rujukan:
- Zainal Kassan, Suhaila Abdullah. (2010). Pendidikan Disleksia. Puchong : Penerbit Multimedia.