Showing posts with label Kerjaya Guru. Show all posts
Showing posts with label Kerjaya Guru. Show all posts

Pemberian Taraf Berpencen (PTB)

Alhamdulillah, syukur pada Allah yang mengurniakan rezeki.

Pada minggu lepas, saya telah menerima surat Pemberian Taraf Berpencen yang berkuatkuasa 1 APRIL 2014. Setelah berhempas pulas 'mengejar dan berkejaran' dengan pihak PPD dan SPP maka inilah hasilnya.

Surat kelulusan PTB daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran

Saya memasuki bidang keguruan pada 2010 dan mendapat pengesahan pelantikan sebagai PPPS secara rasminya pada 4 Januari 2010. Kemudian setahun selepas itu pada 4 Januari 2011 saya disahkan dalam perkhidmatan. Kalau dikira agak lewat juga saya menerima PTB ini kerana ini merupakan tahun ke-5 perkhidmatan saya sebagai guru.


Syarat kelayakan & Prosedur Pemberian Taraf Berpencen

Rujukan #1 - Laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran 


PEMBERIAN TARAF BERPENCEN
Seseorang pegawai layak diberi taraf berpencen sekiranya telah menolak skim KWSP, telah disahkan dalam perkhidmatan dan genap tiga tahun berkhidmat yang boleh diambilkira. 

Tanggungjawab Ketua Jabatan
Ketua Jabatan hendaklah memastikan perakuan pegawai yang dikemukakan kepada Suruhanjaya disertakan dengan dokumen berikut:
  • Jadual Kelima - Borang opsyen KWSP, P.U. (A) 176/2005;
  • Jadual Keenam - Perakuan Pemberian Taraf Berpencen, P.U. (A) 176/2005; dan
  • salinan Kenyataan Perkhidmatan yang dikemaskini.

Peraturan/Pekeliling/Surat Pekeliling Yang Berkaitan


Rujukan #2 - Pekeliling SPP Bil. 4 Tahun 2008





Permohonan Tajaan Pengajian (Hadiah Latihan Persekutuan) secara separuh masa untuk guru menyambung Ijazah Master atau PHD

Kepada guru yang ingin menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah, anda bolehlah membuat permohonan  secara online bermula 26 Mac hingga 25 April 2014.

Sila klik pautan di bawah untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan:




Selamat maju jaya!

Skim PPPS dan PPPLD digabungkan menjadi Skim PPP melalui Skim Perkhidmatan Bersepadu mulai 1Januari 2014

Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) akan digabungkan kepada skim perkhidmatan bersepadu iaitu Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) berkuatkuasa 1 Januari 2014.




Antara perkara-perkara penting:

1) Gred jawatan/gred gaji skim perkhidmatan ini ialah Gred DG29, DG32, DG34, DG38, DG41/42, DG44, DG48, DG52, DG54;



2) Pemansuhan Kelayakan Masuk Pelbagai (KMP) bidang di peringkat ijazah dan diploma dalam syarat lantikan skim perkhidmatan sedia ada;

3) Penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi bagi pemegang ijazah SARJANA dan PHD yang baru dilantik.  

            SARJANA - Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM2,733.98
            PHD - Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM3,040.60




4) Kenaikan pangkat ke Gred DG38 tidak lagi dikhususkan kepada jawatan Guru Besar Cemerlang Sekolah Rendah dan Guru Besar Sekolah Kluster (Sekolah Rendah) sahaja

Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan berhubung kaedah kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan kepada PPPS dan PPPLD yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 melalui Surat JPA rujukan JPA.BK(S)255/4/5 Jld.5 (56) bertarikh 13 April 2012 – Penetapan Kaedah Pelaksanaan Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan bagi PPPS dan PPPLD di KPM. 

5) Pekeliling ini membatalkan pekeliling yang terdahulu -
    (a) skim perkhidmatan PPPS di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002.
    (b) skim perkhidmatan PPPLD di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2007.


6) Jadual gaji minimum-maksimum dan kadar kenaikan gaji tahunan.




Senarai Tugas Guru Sekolah Rendah dan Menengah Menjelang Tahun 2014

Respon seorang pensyarah berkaitan dengan Catatan Dr Mohammad Agus Yusoff Tentang SPPBS ~ Dengarlah Keluhan Para Guru.

" Saya bersetuju dengan cadangan dan desakan agar Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditambahbaik segera agar tidak MEMBEBANKAN guru lebih dari sepatutnya akibat sistem yang lembap serta sukar ditangani. Ini penting agar kuailti pengajaran guru dan emosi guru TIDAK TERGANGGU, hingga akhirnya membawa kesan negatif kepada murid. Kementerian Pendidikan Malaysia diharap membuat tindakan segera " - Ustaz Dr. Zaharuddin Abd. Rahman



Inilah antara 67 senarai tugas seorang guru sama ada guru sekolah rendah & guru sekolah menengah yang sedang dihadapi dan bakal diharungi. Harapnya semua guru seluruh Malaysia tabah menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan.

1 E-Operasi
2 E-Pangkat
3 E-Prestasi
4 HRMIS
5 SPLG
6 Eg-Tukar
7 E-Profil
8 SPPBS
9 Psikometrik
10 E-SPTS
11 APDM
12 SPS
13 SAPS
14 SARANA IBU BAPA
15 Guru Penyayang
16 Mentor Mentee
17 Minda Sihat
18 L4
19 Konsep Kendiri
20 DWEN
21 VLE-Frog
22 E-Nilam
23 Zoom A
24 EMIS
25 SSDM
26 SSQS
27 NKRA - LINUS
28 E-kehadiran
29 IQ-PSS
30 PROTIM
31 1M1S
32 Myspata
33 E-mateks for SPBT
34 E-bulk for SPBT
35 Ujian komptensi ICT
36 SISTEM SKPK PRASEKOLAH
37 penandaan buku latihan
38 gubal soalan ujian
39 penghasilan ABM
40 persediaan buku rekod mengajar
41 penetapan ETR / KPI setiap subjek
42 aktiviti persatuan
43 aktiviti sukan
44 aktiviti ko-akedemik
45 kajian tindakan
46 SPSK (johor)
47 keceriaan kelas
48 latihan kebakaran dan kecemasan
49 kem motivasi
50 kemaskini fail kurikulum
51 program susu sekolah
52 program pemulihan pengayaan
53 PEKA/PAFA
54 pelaporan guru bertugas harian
55 program sekolah selamat
56 pelaporan kantin
57 persiapan padang dan balapan
58 program akses kendiri
59 program pecutan UPSR/PMR/SPM
60 kelas tambahan cuti sekolah
61 projek hikmah
62 galeria sekolah
63 pengurusan stok dan rekod
64 pengurusan panitia
65 tidak termasuk tuntutan tugas yang diarahkan dari masa ke semasa seperti kursus, taklimat, bengkel, seminar, kolokium, simposium, dll

Tambahan:
66 PLC
67 Perancangan Strategik





Profesion keguruan perlu diberi pengiktirafan dan dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi



Profesion keguruan perlu diberi pengiktirafan dan dimartabatkan ke peringkat lebih tinggi bagi menjadikannya kerjaya rebutan setanding bidang profesional kritikal seperti doktor.

Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Hussein Ahmad, berkata usaha itu perlu bagi memastikan profesion itu mampu menarik penyertaan lebih ramai lulusan cemerlang. 

Beliau berkata, antara langkah ialah menawarkan gaji lebih tinggi setimpal beban tugas, selain menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran mencukupi serta berkesan dengan suasana kerjaya terbaik. 

“Pengiktirafan ini penting kerana tugas mendidik anak bangsa berat, selain menggalakkan individu cemerlang menjadi guru dan melahirkan lebih banyak idea hebat dalam membantu meningkatkan sistem pendidikan negara.








Pembelajaran interaktif

“Ini juga akan membantu usaha kerajaan yang meletakkan pencapaian 7A sebagai syarat kelayakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya selepas Forum Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025: Bagaimana Merealisasikannya?’ di Fakulti Pendidikan UM, di sini semalam.

Forum turut disertai dua panel lain, iaitu Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron; serta Profesor (Kurikulum) Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Nagendralingan Ratnavadivel. Ia dipengerusikan Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran UM, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Bakar Nordin.

Nagendralingan berkata, setiap guru sekolah rendah dan menengah perlu lebih bijak mewujudkan suasana pembelajaran interaktif serta aktif dan bukan pasif ketika mengajar.

“Guru harus berfikir dan mengeluarkan pendapat secara terbuka dalam mencari teknik pengajaran lebih menyeronokkan serta menarik minat dan keyakinan pelajar, selagi ia tidak menimbulkan masalah,” katanya.


Petikan sumber - Berita Harian

Jawatan Kosong Guru PPPS DG41 dan Pembantu Murid N17 di Sekolah Dalam Hospital

Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia mempelawa permohonan bagi mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 dan Pembantu Pengurusan Murid Gred N17 di Sekolah Dalam Hospital (SDH) berikut:

  • SDH Pusat Perubatan Universiti Malaya
  • SDH Hospital Selayang
  • SDH Hospital Tuanku Jaafar, Seremban


TARIKH TUTUP - 4 OKTOBER 2013


Guru PPPS DG41

Syarat Umum:
  • Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 yang sedang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia;
  • Telah disahkan dalam perkhidmatan;
  • Bebas dari tindakan tatatertib atau tindakan Mahkamah; dan
  • Mempunyai markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) yang baik untuk tiga (3) tahun terakhir

Syarat Khusus:
  • Sekurang-kurangnya telah mengajar selama lima (5) tahun.
  • Bersedia berkhidmat di SDH sekurang-kurangnya tiga (3) tahun.
  • Mempunyai kelulusan, pengalaman atau kemahiran dalam mata pelajaran teras (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik atau Pendidikan Islam) atau Prasekolah.
  • Sihat fizikal dan tidak mempunyai sakit kronik.
  • Mempunyai minat dan iltizam yang tinggi berkhidmat dalam institusi untuk murid bermasalah kesihatan.
  • Tidak mempunyai perasaan takut, alahan dan jijik dengan persekitaran hospital.




Untuk muat turun maklumat lanjut, sila klik di bawah :-

Guru di Korea Selatan berpendapatan 4 juta dollar setahun

Seorang guru Bahasa Inggeris di Korea Selatan  berpendapatan 4 juta dollar setahun! Satu jumlah pendapatan yang tidak pernah kita dengar bagi seorang guru tetapi tidak mustahil bagi Kim Ki-hoon yang lebih dikenali sebagai a rock-star teacher. Ia mengejutkan Amerika Syarikat seperti yang dilaporkan oleh Wall Street Jurnal.

Kim Ki-hoon, The $4 Million Teacher


"teaching well is hard, so why not make it lucrative?"


Kim Ki-hoon yang berpengalaman mengajar lebih 20 tahun, mengajar Bahasa Inggeris di sekolah persendirian, tutor akademi selepas waktu persekolahan yang dikenali sebagai Hagwons. Beliau dibayar gaji mengikut kepakaran yang dimilikinya pada harga yang tinggi.

Kim Ki-hoon earns $4 million a year in South Korea, where he is known as a rock-star teacher—a combination of words not typically heard in the rest of the world. Mr. Kim has been teaching for over 20 years, all of them in the country's private, after-school tutoring academies, known as hagwons. Unlike most teachers across the globe, he is paid according to the demand for his skills—and he is in high demand.

Mr. Kim mengajar Bahasa Inggeris 60 jam seminggu termasuk 3 jam syarahan. Pengajarannya dirakam dalam bentuk video dan kemudian dijual di internet pada harga $4 sejam. Selain menjadi tutor Bahasa Inggeris, dia juga merupakan penulis buku teks. Pendapatan Mr. Kim sebahagiannya berpunca daripada penjualan video pengajarannya secara online yang ditonton 150,000 kanak-kanak setahun. Beliau mengupah lebih 30 orang pekerja untuk mengurus syarikatnya yang juga menerbitkan buku-buku yang ditulisnya sendiri.

Pendidikan di Korea Selatan sangat dititikberatkan oleh ibubapa. Pada tahun lepas ibubapa di Korea Selatan membelanjakan $17 bilion untuk membayar yuran kepada akademi hagwons.

Education is serious business in South Korea, where many students attend school during the day and a private academy at night. Korean parents spend more annually on tutors than Americans spend on video games, according to the NPD Group.

Mengikut laporan Wall street Jurnal Online, terdapat pro dan kontra sistem pendidikan yang diamalkan di Korea Selatan. Kebaikannya ia menggalakkan daya saing manakalan keburukannya, pendidikan yang begitu hanya mampu dimiliki oleh keluarga yang kaya.

This shadow system (tutoring services) is both exciting and troubling. It promotes striving and innovation among students and teachers alike, and it has helped South Korea become an academic superpower. But it also creates a bidding war for education, delivering the best services to the richest families, to say nothing of its psychological toll on students. Under this system, students essentially go to school twice—once during the day and then again at night at the tutoring academies. It is a relentless grind.


Pendidikan di Korea Selatan yang sebelum ini berada di tangga ke-15 dunia kini muncul tangga ke-2 dunia dibelakang Shanghai, China. 

Antara kelebihan sistem yang diamalkan di Hagwons, akademi tutor persendirian di Korea Selatan...memang hebat. Ibubapa pelajar sentiasa dihubungi oleh guru untuk memaklumkan perkembangan pelajar. Jika ibubapa dan guru tidak berhubung, maka kegagalan adalah berpunca daripada guru itu sendiri, bukannya ibubapa.

Once students enroll, the hagwon embeds itself in families' lives. Parents get text messages when their children arrive at the academies each afternoon; then they get another message relaying students' progress. Two to three times a month, teachers call home with feedback. Every few months, the head of the hagwon telephones, too. In South Korea, if parents aren't engaged, that is considered a failure of the educators, not the family.


Sumber
  1. http://online.wsj.com/article/SB10001424127887324635904578639780253571520.html?mod=trending_now_2
  2. http://thediplomat.com/2013/08/09/kim-ki-hoon-south-koreas-cram-school-king/
  3. http://www.huffingtonpost.com/2013/08/07/kim-ki-hoon-teacher-million-salary_n_3721837.html

Tawaran mengikuti kursus dalam perkhidmatan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) ambilan 2013 guru sekolah rendah dan menengah tajaan KPM

KPM mempelawa guru-guru sekolah rendah dan menengah (PPPS/PPPLD) yang sedang mengajar subjek bukan opsyen asal untuk mengikuti Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).


PROGRAM INTERVENSI TAMBAH OPSYEN (PITO) GURU SEKOLAH MENENGAH DAN SEKOLAH RENDAH

- untuk mengatasi ketidakseimbangan antara keperluan dan penawaran guru di sekolah
- tempoh kursus 12 minggu. 
  • Sesi luar kampus (off-campus) selama 5 minggu
  • sesi sepenuh masa (face to face) dan sesi weekend of campus (5 kali Sabtu),  di IPTA/IPGK untuk 6 minggu berikutnya. 
  • Peserta akan menduduki peperiksaan pada minggu terakhir sesi sepenuh masa (face to face).

- Subjek yang ditawarkan
  • Sejarah (SEJ) sekolah menengah – Teori 
  • Kemahiran Hidup (KH) sekolah menengah – Teori & Praktikal 
  • Bahasa Melayu (BM) sekolah menengah – Teori 
  • Pendidikan Khas (PKhas) sekolah rendah dan menengah – Teori

Subjek yang ditawarkan

- Syarat kelayakan
  • Warganegara Malaysia 
  • Telah disahkan dalam jawatan pada lantikan pertama
  • Tidak berdaftar atau mengikuti sebarang pengajian atau kursus dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa/separuh masa/sambilan dengan tajaan KPM
  • Bukan opsyen dalam bidang yang dipohon
  • Mengajar sekurang-kurangnya 3 tahun berturut-turut dalam bidang yang dipohon
  • Mempunyai tahap kesihatan yang baik (calon wanita yang hamil enam bulan ke atas tidak digalakkan mengikuti kursus)
  • Memperoleh purata markah yang baik bagi Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT)
  • bebas dari tindakan mahkamah dan tatatertib
  • Tidak terlibat dengan pengawasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau penandaan kertas peperiksaan

Syarat-syarat permohonan


Kepada yang berminat boleh membaca maklumat lanjut dan memohon secara online mulai 29 Julai 2103 di alamat berikut:


Tugas Guru Semasa Cuti Akhir Tahun dan Sebelum Bermulanya Sesi Persekolahan 2013

Bermula pada 17.12.2012, saya dan semua guru yang lain diwajibkan hadir ke sekolah. Ini adalah rutin yang harus dilalui oleh seorang guru sebelum  sesi persekolahan bermula. Kebiasaannya, pada tahun-tahun sebelum ini, kami diwajibkan berada di sekolah sepanjang minggu pertama cuti akhir tahun untuk menjalankan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi kursus-kursus yang telah dihadiri pada tahun semasa. 

Pada tahun ini, Guru Besar membenarkan kami bercuti terus tetapi hadir bertugas di sekolah dua minggu lebih awal sebelum sekolah dibuka.



Agak-agaknya apa yang dilakukan oleh guru selama 2 minggu berada di sekolah? Berikut adalah catatan saya bagi menjawab persoalan tersebut:

Minggu 1
17.12.2012 - LDP KSSR tahun 3 (MT, PSV)
18.12.2012 - LDP KSSR tahun 3 (Sains, BI, PJ)
19.12.2012 - Mesyuarat Guru Kali 1/2013
20.12.2012 - Mesyuarat Induk Kurikulum Kali 1/2013
21.12.2012 - Mesyuarat Induk HEM Kali 1/2013
                    - Mesyuarat Induk Kokurikulum Kali 1/2013

Semua mesyuarat tersebut mengambil masa antara 3 - 4 jam.

Minggu 2
26.12.2012 - Mesyuarat Panitia Kali 1/2013 (BM, BI, SNS, Aga, BA)
27.12.2012 - Mesyuarat Panitia Kali 1/2013 (MT, KT, PSK, KH)
28.12.2012 - Mesyuarat Panitia Kali 1/2013 (PSV, MZK, MORAL, PJK)
31.12.2012 - Mesyuarat Pendidikan Khas
                    - Mesyuarat Prasekolah
                    - Persediaan kelas, bilik-bilik khas dan bilik guru
                    - Penghantaran Buku Rekod Mengajar


Buku Rekod Mengajar Tahun 2013

Itulah dia rutin seorang guru setiap tahun!


Guru Mentor Program Pembangunan Guru Baharu

Alhamdulillah 'in-house training'/LADAP tentang Guru Mentor Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) telah dijalankan petang tadi.

Saya kongsikan sedikit pengisian LADAP tersebut. Jika anda berminat untuk dapatkan 'soft copy', sila tinggalkan e-mail di ruangan komen. 

Apa Itu Program Pembangunan Guru Baharu...???

Pada 10 September 2012, Isnin saya telah menghadiri taklimat Guru Mentor Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) di PPD. Saya menggantikan guru 'senior' yang tidak dapat hadir. 

Sebelum pergi, saya tertanya-tanya apa bendanya PPGB ini lalu saya minta tolong Mr. Google. Maklumlah saya tidak pernah mendengar tentang program ini.

Alamak! Saya mahu tarik dirilah....

Semasa taklimat di PPD, penceramah di'tembak' oleh guru bertalu-talu.  Daripada 31 buah sekolah, hanya beberapa buah sekolah sahaja yang tahu tentang kewujudan program ini. Saya pun dapat tahu tentang PPGB ini setelah dibantu oleh Mr Google yang baik hati.

Ramai guru-guru "naik angin" selepas ditunjukan contoh-contoh folio dan folder yang telah dihasilkan oleh guru baharu dan guru mentor daripada sekolah rintis. Hati saya semakin kecut bila ditunjukkan contoh Buku Log Guru Mentor

Saya mula menggaru-garu kepala yang sebenarnya tidak gatal pun.

Aishh... kenapa saya? Itulah soalan yang berbisik-bisik dibibir guru-guru.

__________________________________________________________________

Secara ringkas, Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB) ini dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) khusus untuk guru-guru baharu yang pertama kali ditempatkan mengajar di sekolah menengah dan rendah mulai tahun 2011. Bermula tahun 2012, pelaksanaan PPGB akan dipantau sebanyak 2 kali setahun. 

Program ini akan berjalan selama setahun bermula dari hari pertama guru baharu ditempatkan (posting). Guru-guru baharu akan dibimbing oleh guru mentor yang dilantik pihak sekolah. Bimbingan dan tunjuk ajar meliputi aspek pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah, pengurusan tugas dan program sekolah, pelaksanaan ko-kurikulum dan beberapa aspek yang berkaitan dengan hal ehwal murid.

BPG mendefinisikan PPGB sebagai satu program pembelajaran melalui bimbingan yang berstruktur berasaskan sekolah untuk menyokong pembangunan profesionalisme Guru Baharu bagi meningkatkan kualiti guru dalam profesion keguruan.

Kursus Kepimpinan 2012

Seronok sungguh para fasilitator (guru-guru) berkursus kepimpinan di Warisan Sembilang Training Centre, Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor pada 30 Mac yang lalu. 

Apa tidaknya, makanan sedap, tempat tidur selesa dengan berhawa dingin bagai menyucuk-nyucuk tulang sum-sum, boleh menikmati suasana pantai bila waktu senja (pantai tidak boleh mandi-manda sebab berlumpur) sambil boleh jalan-jalan cari makan ikan bakar di sekitar persisir pantai. Ikan bakar yang popular di sini tentulah Aroma Ikan Bakar. Sayangnya saya tidak pula sempat mencubanya.

Pemandangan depan Kem Warisan Sembilang.
Banyak lopak air kerana hujan.

Pemandangan Pantai Remis. Pantai yang berlumpur.

Pantai Remis yang berlumpur. Ketika ini air laut surut.

Nak makan? Jangan risau. Macam-macam kedai ada.












Membeli-belah? Boleh juga. Ada gerai menjual barangan seperti bantal dan baju.


Agak-agaknya apa yang dibuat oleh mereka tu? Hrmm...musykil.


Pakai cantik-cantik tapi kena main lumpur, kesian!

Rupa-rupanya acara sukaneka isi air laut ke dalam botol!


Aktiviti Sukaneka - Lari dalam guni. Lompat si katak lompat!

LDK di dewan. Kumpulan Satria GTI sedang membentangkan idea mereka.


Acara menyanyi lagu NAJWA LATIF - Cinta Muka Buku.



SBPA dan PRU-13 : Apa Kaitannya?


Saya mendapat maklumat menyatakan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU-13) bakal berlangsung paling lewat pada bulan JUN nanti. Dan apa pula kaitannya PRU-13 dengan SBPA (Saraan Baru Perkhidmatan Awam)?

Cuba baca di bawah ini:

JIKA ISU INI TAK SELESAI, JANGAN HARAP PRU-13 BOLEH DIADAKAN...

Utusan Malaysia
Oleh Zaini Hassan
22/2/2012



ISU ini amat sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu ladang lembu dan lain-lain. Jika isu ini tidak selesai, jangan diharap pilihan raya boleh diadakan.

Ia membabitkan isu gaji kira-kira 1.3 juta kakitangan awam, yang kesemuanya, termasuk keluarga mereka layak mengundi. Ingat lagi kisah ‘penyapu’ di Selangor? Negeri itu jatuh antara sebabnya kerana penjawat-penjawat awam termasuk DO, ADO sehinggalah ke peringkat peon, begitu marah kerana dihina.

Jangan cari pasal dengan golongan ini. Mereka ialah kumpulan pelaksana dan tulang belakang kepada dasar-dasar kerajaan. Jika mereka marah mereka boleh bertukar warna menjadi Mr. Blue atau Mr. Green seperti dalam watak filem Incredible Hulk. Dan itu amat bahaya.

Dalam hal ini Perdana Menteri sememangnya cukup sedar. Satu tindakan cepat sedang diambilnya. Memang PM sendiri tahu jika isu ini tidak selesai maka Pilihan Raya Umum Ke-13 ini tidak boleh dilaksanakan. Maka itu, YAB PM telah mengarahkan sebuah jawatankuasa petugas khas (task force) semakan semula gaji duduk berbincang dengan Cuepacs mengenai hal ini, setelah Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman sendiri mengamuk.

Setakat ini sudah tiga kali task force ini berbincang. Hari ini sekali lagi rundingan akan dilangsungkan. Kali ini ia akan membabitkan cadangan lima perkara daripada Cuepacs sendiri. Omar akan mengetuai perbincangan itu bagi pihak kesatuan tersebut dengan wakil-wakil dari JPA, Pejabat Peguam Negara, Perbendaharaan dan agensi-agensi lain.

‘‘Kita mahu rundingan ini diselesaikan sebelum 30 Mac ini,” kata Omar kepada saya semalam.

Omar seperti biasa cukup bertenaga. Cakapnya juga cukup tegas. Dalam rundingan itu, beliau diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh kumpulan 54 (pengurusan dan profesional) ke bawah untuk membawa suara dan nasib mereka ke atas.

Kumpulan-kumpulan itu termasuklah: Jawatankuasa khas Gred 54 ke bawah PTD dan Pegawai Tadbir; Persatuan Pensyarah Universiti Profesor Madya Ke Bawah; Persatuan Jurutera Kebangsaan; Kumpulan Doktor-doktor Pakar Gred 54; Kumpulan Anggota Keselamatan Polis; Kumpulan Gred 54 Teknikal selain gabungan Cuepacs sendiri terdiri daripada Kumpulan Pelaksana 1 dan 2.

Hari ini saya mahu menyiarkan sepucuk surat yang dihantar kepada saya oleh seorang penjawat awam. Bunyinya agak keras. Tapi ditulis secara profesional, bernas, ada logik mengenai gaji baru mereka di bawah skim baru SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam).

Begini bunyi surat itu. Semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua.

Struktur perkhidmatan di bawah SBPA terbahagi kepada empat:
* Kumpulan Premier (Strategic and key positions (Turus): KSN, KSU)
* Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama dan Gred Khas: JUSA C, B dan A)
* Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Gred 41 hingga Gred 54)
* Kumpulan Pelaksana (Pegawai dengan kelayakan masuk PMR hingga Diploma)

Kumpulan pegawai yang mendapat kenaikan gaji paling banyak ialah kumpulan Premier dan JUSA. Difahamkan semua KSU diberikan opsyen bersara dan seterusnya berkhidmat secara kontrak. Persaraan pula dikira sehingga umur 60 tahun. Ini bermakna semua KSU akan mendapat pencen dan gaji selain daripada faedah persaraan lain seperti gratuiti. Pencen sahaja, mengikut jadual gaji SBPA untuk kumpulan ini akan menjangkau puluhan ribu ringgit. Apakah rasionalnya keputusan ini memandangkan kebanyakan KSU telah pun berada di akhir tempoh perkhidmatan? Gaji kumpulan Premier ini difahamkan sama besar atau lebih besar daripada CEO di GLC atau di perbadanan-perbadanan swasta.

Isu penting SBPA ialah ketidakadilan yang amat ketara dari segi kenaikan gaji. Contohnya kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus! Sementara kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara RM100 dan RM200 (ada yang lebih rendah) dengan peratus kenaikan di antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus sahaja.

Difahamkan di bawah skim baru ini, Premier 1 akan menerima gaji sebanyak RM60,000 sebulan tanpa elaun; Premier 2 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 3 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 4 RM35,000 tanpa elaun. Tunggakan pampasan adalah antara RM800,000 dan RM1 juta.

Secara logiknya peratus kenaikan di antara kumpulan tidak boleh terlalu berbeza kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan pendapatan serta mengundang rasa tidak puas hati penjawat awam yang 80 peratus terdiri daripada kumpulan pelaksana.

Ketidakpuasan hati kumpulan pelaksana ini, ditambah dengan keluarga masing-masing, mampu menumbangkan kerajaan.

Sebagai rumusan SBPA telah menidakkan semua usaha kerajaan untuk menonjolkan kerajaan sedia ada sebagai a caring government. SBPA dibuat secara tergesa-gesa, tidak telus dan merupakan the biggest blunder Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam sejarah Malaysia.

Pihak JPA tidak perlu lagi memberi taklimat di sana sini mengenai SBPA tetapi mengakui bahawa SBPA sebenarnya tidak adil, tidak telus dan JPA perlu mengambil langkah positif untuk memperbaikinya.

Adalah menjadi satu tindakan yang bodoh, sia-sia dan akan menjadi bahan ketawa umum dan dunia untuk masih lagi mempertahankan bahawa SBPA merupakan satu sistem saraan yang baik dan mampu membawa negara kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab (merangka dan meluluskan tangga gaji itu) bagi menunjukkan kerajaan bertegas serta prihatin kepada kesejahteraan semua kumpulan penjawat awam dan rakyat.

Dengan kepincangan SBPA yang tidak masuk akal dan tidak terfikir oleh kebanyakan penjawat awam ini patutkah Kumpulan Premier, di antaranya terlibat secara langsung dalam penggubalan SBPA, dibayar pencen beserta gaji yang sebegitu tinggi?

Sekiranya dikatakan bahawa SBPA disediakan oleh pihak konsultan, maka apakah peranan kumpulan JUSA dan Premier yang merupakan pemegang strategic dan key positions dalam perkhidmatan awam?

Begitu bunyi surat itu. Benar juga apa yang dijelaskan itu. Ia umpama langit dengan bumi atau antara atap rumbia dan atap genting. Ia juga umpama strata rakyat di India, yang terlalu daif dan yang terlalu kaya.

Yang mendapat imbuhan maha-besar itu hanyalah kira-kira 4,000 kakitangan berbanding 1.3 juta lain yang sedang marah. Dan difahamkan peruntukan untuk membayar kos kepada 4,000 itu merupakan 2/3 daripada keseluruhan peruntukan untuk kesemua kakitangan kerajaan.

Kita berharap rundingan itu akan mencapai satu kata-putus yang menang-menang. Jika tidak, menurut Omar: ‘‘Ia akan menjadi satu isu yang amat kritikal. Dalam road show kami, kakitangan telah memberi kata dua…''

Kita berharap kata dua itu tidak seperti kata-kata Dr. David Banner sebelum dia bertukar warna menjadi Incredible Hulk: ‘‘...don‘t make me angry. You wouldn‘t like me when I’m angry. (Jangan buat saya marah. Saya tidak akan sukakan saya jika saya marah.)

Saya berharap satu formula yang lebih bertamadun dapat dirangka demi kesejahteraan semua pihak, terutamanya kepada kerajaan semasa.

Ingatlah YAB PM telah bekerja amat keras, janganlah kerana skim yang tidak masuk akal ini akan menyebabkan apa yang beliau usahakan rosak sebelanga.

Mesyuarat Pertama Semakan SBPA Selepas Tahun Baru Cina

Utusan Malaysia
18/1/2012

PUTRAJAYA 17 Jan. - Mesyuarat pertama pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka diadakan selepas Tahun Baru Cina.

Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pasukan petugas yang dianggotai pelbagai pihak itu akan mengenal pasti beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam.

''Anggota pasukan petugas akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA, mereka akan membuat rumusan dan kita akan bertemu untuk berbincang mengenainya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

Pasukan tersebut dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam; Jabatan Peguam Negara; Kementerian Kewangan; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta pegawai kementerian yang berkaitan.

Mereka diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan. Penyerahan surat pelantikan kepada semua anggota pasukan petugas oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan akan berlangsung di sini, esok.

Ditanya gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya wakil kesatuan itu turut dilantik menganggotai pasukan itu, Ismail berpandangan, kehadiran wakil CUEPACS mencukupi untuk mewakili kakitangan awam pelbagai bidang.

Mengenai tempoh dua bulan yang diperuntukkan kepada pasukan untuk menyelesaikan semakan semula, katanya, beliau yakin segala isu berbangkit akan dapat dirungkai mengikut had masa yang ditetapkan.

''Kita kena lihat sama ada isu-isu berbangkit itu mudah atau rumit. Kalau mudah tentunya kita akan dapat menyelesaikannya dengan cepat, namun saya pasti segala-galanya akan selesai mengikut had masa yang ditetapkan,'' katanya.

Wakil Guru Dilibatkan Dalam Perbincangan SBPA


 
Utusan Malaysia
15/01/2012 12:17am

SHAH ALAM 14 Jan. – Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) yang mewakili kira-kira 430,000 guru di seluruh negara meminta agar dilibatkan secara menyeluruh dalam perbincangan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Pengerusinya, Jemale Paiman berkata, skim itu banyak memberi kesan kepada guru terutama dalam kenaikan gaji dan laluan kerjaya.

Skim itu juga dilihat turut meminggirkan guru senior dalam perjawatan dan tidak mementingkan faktor pengalaman dan kemahiran dalam bidang tugas serta tanggungjawab mereka, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mesyuarat mengenai SBPA bagi perkhidmatan pendidikan bersama presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri pemimpin dari 26 kesatuan dan persatuan guru Kementerian Pelajaran. Pada majlis itu MPKPG turut menyerahkan memorandum kepada Omar berhubung cadangan penambahbaikan pelaksanaan SBPA bagi perkhidmatan pendidikan. – BERNAMA